Total Pageviews

Ramai Yang Meminati: Anda bagaimana pula?

Pages

Kenalilah dunia ciptaan sahabat-sahabatku:

Salam segunung rindu untuk kekasih di hujung talian:

Kasih manusia sering bermusim, madah helahnya tiada bertepi;
Dengan harapan kubina impian,
kau sentuh runtuh tinggal kenangan.
Biarpun hatiku retak seribu,
kau tetap kukunci di dalam hatiku.

Love me but, leave me not,
Kiss me but, miss me not,
Hit me but, hate me not,
Remember me but, forget me not.

Teman!
Di taman ini aku menantimu bersama segunung rindu yang sarat. entahkan bila ketemu penawarnya. Aku kehilangan, yang tinggal hanyalah kerinduan.
Di sini, akumengukir syair di atas air, meniti buih mengejar pelangi. Beralaskan mimpi syahdu kelmarin, kini menjadi igauan siangku. rindu ini di manakah noktahnya? Cinta ini bilakah ajalnya?
Ketahuilah sesungguhnya secebis kasih membuat kita sayang. seucap janji membuat kita percaya. sekecil luka akan membuat kita kecewa. tetapi, sebuah persahabatan akan selamanya bermakna."
rinduku padamu tak bisa pudar, kasihku padamu belum tercemar.

Apakah yang anda cari?

Saturday, January 9, 2010

Siapakah M. Hayat?

Siapa Sebenarnya M Hayat?
Oleh:
Mohd Nazri bin Nawi, Bachok, Kelantan

Dipetik dari: Majalah SBM May-Ogos 2006


Mat Darus bin Sulaiman
(M. HAYAT)

Sebutir bintang di hujung jari, menari-nari mengetuk abjad-abjad huruf di mesin taip. Jari-jemari itu menari-nari mengukir bakat, melahirkan cetusan idea, hingga mengharumkan namanya di persada dunia penulisan kreatif. M Hayat, atau nama sebenarnya Mat Darus Sulaiman, seorang penulis yang tidak upaya penglihatan. Dilahirkan pada 30 Januari 1952 di kampung Gual Nibong, Gual Periuk, Pasir Mas, Kelantan. Sulaiman bin Ngah bapanya, telah meninggal dunia semasa beliau masih kecil lagi. Ibunya, Halimah binti Mohd Daud mengambil alih tanggungjawab sebagai seorang ibu dan ketua keluarga dalam mencari sesuap nasi demi untuk meneruskan penghidupan ini, menjaga dan membesarkan beliau adik beradik.

Anak ketiga daripada tujuh beradik ini mempunyai bakat yang besar biarpun hilang upaya penglihatan sejak berusia empat tahun lagi. Meskipun insan seni ini tidak berpeluang mendapat pendidikan formal di sekolah biasa atau di sekolah khas, namun jauh di sudut hatinya tersimpan satu hasrat, satu cita-cita untuk menjadi seorang penulis yang berjaya, setanding atau sebarisan dengan penulis-penulis tersohor yang lain, yang sempurna pancainderanya.

Minatnya terhadap dunia penulisan khususnya bidang sastera sejak berusia empat belas tahun lagi, lantaran itu beliau belajar mengeja daripada adik-adiknya yang masih bersekolah ketika itu. Kemudian belajar menaip daripada Mohd Sayuti Omar, rakan karib sekampung dengannya yang kini merupakan seorang penulis buku politik yang tidak asing lagi di negara kita.

Setapak demi setapak beliau mengatur langkah ke arah mencapai cita-cita murninya. Pada tahun awal tujuh puluhan beliau mula menulis secara serius. Pembabitan beliau dalam dunia penulisan kreatif banyak menghasilkan karya berbentuk puisi dan manuskrip drama radio. Puisi-puisinya pernah menghiasi dada akhbar dan majalah, begitu juga manuskrip-manuskrip dramanya pernah dilakonkan menerusi corong radio. Drama pertama beliau berjudul “Pertemuan” pernah disiarkan di radio Kota Bharu seawal tahun tujuh puluhan.

Selain berkarya, beliau bergerak cergas dalam persatuan penulis seperti Persatuan Penulis Kelantan (PPK), Persatuan Penulis Gual Periuk (PENGUPER), yang telah melahirkan ramai penulis tersohor di negeri Kelantan seperti Nor Hisyam Mustafa, Mohd Sayuti Omar, Mukhtar Mustafa, M Hayat dan ramai lagi. Beliau pernah diundang sebagai penceramah dalam bengkel penulisan anjuran persatuan tersebut khususnya dalam bidang penulisan skrip drama radio. Beliau juga aktif dalam Pertubuhan Orang-Orang Cacat Penglihatan Malaysia Kawasan Kelantan (SBM) sebagai Setiausaha yang ketika itu baru bertapak di Negeri Kelantan. Kemudian memegang jawatan pengerusi selama dua puluh tahun, iaitu mulai tahun 1986 hingga kini. Beliaulah antara orang yang telah banyak berjasa untuk memajukan SBM Kawasan Kelantan seperti yang ada pada hari ini. Kepemimpinannya adalah sangat disanjung dan disenangi oleh kalangan ahli-ahlinya.

Pada zaman kegemilangannya sekitar tahun-tahun 1970an, beliau bagaikan seorang artis, sering dikunjungi para wartawan untuk memaparkan karyanya di akhbar-akhbar dan majalah, menjalinkan hubungan yang rapat dengan juruhebah-juruhebah dan penerbit-penerbit yang mengelolakan rancangan sastera di radio. Di waktu itu, penggiat sastera memang mendapat tempat di mata masyarakat umum, jiwa anak-anak muda sezamannya bisa dilenturkan dengan kesenian dan keindahan sastera, justeru itu, seperti penulis-penulis lain tersohor beliau tenggelam dalam kebanjiran peminat. Saban hari bertimbun-timbun kad ucapan mahupun surat daripada peminat datang bertamu, Azman adiknyalah yang membaca untuknya dan membalasnya setakat mana yang sempat. Saya juga ketika itu salah seorang yang meminati hasil-hasil karyanya tetapi tidak berpeluang untuk mengenali lebih dekat lagi siapa empunya nama M Hayat.

Di kemuncak kegemilangannya itulah, di suatu majlis deklamasi puisi anjuran Persatuan Penulis-Penulis Kelantan yang berlangsung di Taman Indra Putera (Kota Darul Naim) bermulanya detik perkenalannya dengan seorang gadis yang ketika itu merupakan peserta deklamasi puisi. Pertemuan yang bermakna itu disusuli pula dengan terukirnya bibit-bibit cinta antara dua insan hingga ke jinjang pelamin.

Pada 17 Oktober 1982 beliau mendirikan rumah tangga bersama Pakhriah Binti Daud. Hasil perkongsian hidup yang lebih bermakna itu beliau telah dikurniakan lima orang cahaya mata, tiga lelaki dan dua perempuan. Nazahiah Fadhlina, Mohd Amilin, Ahmad Murshid, Marahaini dan Ahmad Mukhlis. Kini dua orang cahaya matanya telah mula menampakkan kejayaan dalam hidup mereka, Nazahiah Fadhlina, anak sulungnya baru tamat pengajiannya di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang dan sedang menunggu panggilan bertugas sebagai guru. Mohd Amilin, anaknya yang kedua sedang menuntut di Universiti Melaya dalam jurusan Pengajian Melayu. Yang lain masih bersekolah. Ahmad Murshid, baru di tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Perdana, Tangok, Bachok. Marahani, anak keempatnya, baru darjah tiga di Sekolah Kebangsaan Jelawat, Bachok, manakala anak bongsunya, Ahmad Mukhlis baru berusia tiga tahun. Itulah zuriat yang membawa sinar bahagia dalam rumah tangganya.

Sebagai seorang suami dan bapa kepada anak-anaknya, beliau tidak lupa akan tanggungjawabnya dengan meraih rezeki daripada hasil penulisannya. Sebagai seorang penulis terbilang milik masyarakat, beliau terus berkarya lebih giat lagi dengan ditemani dan dibantu oleh isterinya. Puan Pakhriah tidak jemu-jemu menyemak manuskrip-manuskrip yang ditaipnya sebelum dihantar ke penerbit. Jika kita mengikuti perkembangan rancangan-rancangan radio pada tahun-tahun tujuh puluhan dan lapan puluhan pasti kita masih ingat lagi drama-dramanya popular di kala itu seperti drama keluarga bersiri berjudul “Sebuah Rumah Sebidang Tanah”, “Keluarga Pak Awang”, dan drama masyarakat yang disiarkan setiap hari oleh radio satu iaitu drama berjudul “Budi Disemai Bakti Dituai”. Bagi menjayakan drama-drama itu, beliau diundang sebagai penulis panel untuk menghasilkan manuskrip-manuskrip drama tersebut bersama penulis-penulis lain yang tersohor.

Selain daripada itu, masihkah kita ingat pada rancangan Gurindam Kencana? Di mana rancangan itu memaparkan drama purba yang diiringi dengan syair, dan disiarkan secara bersambung pada setiap minggu, “Awang Kerapu” itulah manuskrip drama yang pernah dihasilkan oleh beliau. Rancangan “Melodi Romentika” dan “Irama Bersajak” adalah rancangan yang memuatkan puisi dan lagu terbitan stesen Radio Angkasapuri, banyak juga penglibatan beliau dalam menyumbangkan penghasilan skrip. Siri Drama Takwa, sebuah drama berunsur Islam yang memaparkan kisah perjuangan Rasulullah dan para sahabatnya, terbitan stesen Radio Kota Bharu banyak sekali menerima penghasilan manuskripnya.

Di sepanjang pembabitan beliau dalam dunia penulisan kreatif, lebih beratus-ratus buah manuskrip drama radio dan berpuluh-puluh buah puisi telah dihasilkan. Namun putaran waktu pantas berlalu, meninggalkan sisa-sisa kenangan yang abadi di sudut memorinya bersama kegemilangan bagaikan sebutir bintang di langit biru. Meskipun M Hayat telah bersara daripada dunia penulisannya, namun hayatnya masih ada, meneruskan kehidupannya. Beliau masih berbakti pada pertubuhan ini. Kesungguhan, ketabahan, kecekalan dan ketekunan mengukir keharuman namanya di masa silam menjadi idola kepada saya untuk meneruskan warisan kesusasteraan ini kerana M Hayat pernah berpesan, ”Di mana ada jalan, di situ ada ruang dan kecacatan bukan penghalang.”

No comments: