Total Pageviews

Ramai Yang Meminati: Anda bagaimana pula?

Pages

Kenalilah dunia ciptaan sahabat-sahabatku:

Salam segunung rindu untuk kekasih di hujung talian:

Kasih manusia sering bermusim, madah helahnya tiada bertepi;
Dengan harapan kubina impian,
kau sentuh runtuh tinggal kenangan.
Biarpun hatiku retak seribu,
kau tetap kukunci di dalam hatiku.

Love me but, leave me not,
Kiss me but, miss me not,
Hit me but, hate me not,
Remember me but, forget me not.

Teman!
Di taman ini aku menantimu bersama segunung rindu yang sarat. entahkan bila ketemu penawarnya. Aku kehilangan, yang tinggal hanyalah kerinduan.
Di sini, akumengukir syair di atas air, meniti buih mengejar pelangi. Beralaskan mimpi syahdu kelmarin, kini menjadi igauan siangku. rindu ini di manakah noktahnya? Cinta ini bilakah ajalnya?
Ketahuilah sesungguhnya secebis kasih membuat kita sayang. seucap janji membuat kita percaya. sekecil luka akan membuat kita kecewa. tetapi, sebuah persahabatan akan selamanya bermakna."
rinduku padamu tak bisa pudar, kasihku padamu belum tercemar.

Apakah yang anda cari?

Sunday, January 17, 2010

Jangan Menangis Lagi, “Azlina, Sayang”

Jangan Menangis Lagi, “Azlina, Sayang”
Oleh:
Yong Chwan Fwu

dDipetik dari: Majalah SBMJanuari-April 2008

“Azlina! Azlina sayang! Sudahlah! Jangan menangis lagi. Air matamu sangat berharga ibarat mutiara di lautan!” pujuk Mustaza sambil mengesat air mata Azlina.

“Tak mau!... tak mau!... saya mau ikut Abang Mus!” ronta Azlina, memeluk erat tangan Mus, enggan melepaskannya pergi.

“Azlina! Dengar cakap Abang, sayang. Esok Abang datang lagi, ya!”

“Tak mau! Saya mau ikut Abang Mus!”

Azlina tidak mengendahkan rayuan Mus. Bahkan, tangisannya semakin kuat mendesak, menyimbahkan air hening, mencurah-curah seperti hujan panas yang turun, menghangatkan lagi rasa simpati Mus untuk meninggalkannya. Sungguhpun ini bukan kali pertama Azlina menangis. Pendek kata setiap kali apabila hendak berpisah dengan Mus, dia pasti menitiskan air mata. Ini membuatkan Mus berasa serba salah, bimbang akan dipersalahkan oleh keluarga Azlina. Namun, apakan daya kerana Azlina masih terlalu kecil untuk dibawa bersama. Azlina baru sahaja memasuki alam pra sekolah, berbanding Mus merupakan seorang murid darjah lima dan belajar di salah sebuah sekolah berdekatan dengan rumah Azlina. Jadi, sudah tertulis perjalanan yang terpaksa ditempuhinya saban hari telah mempertemukan mereka.

Ibu bapa Azlina juga tidak pernah mencegah persahabatan yang terjalin. Sebaliknya, sentiasa mendidik anak-anak mereka agar saling hormat-menghormati sesama manusia dan jangan menghina sesiapa meskipun orang itu mempunyai kekurangan. Barangkali, kebetulan ayah Azlina merupakan seorang pendidik. Maka, nilai murni ini tumbuh subur dalam keluarga mereka.

“Jika kita tak mahu dipandang rendah, kita juga jangan memandang rendah orang lain!” pesan ayah Azlina.

Sikap kesederhanaan yang diamalkan menyebabkan Mus berasa selesa bergaul dengan mereka. Mus juga tidak pernah dianggap sebagai orang asing. Tetapi dilayan seperti anggota keluarga sendiri. Justeru, yang membebankan fikirannya kini ialah Azlina menangis dan tangisannya terasa kian nyilu menusuk kalbunya.

“Saya mau ikut Abang Mus!... saya mau ikut Abang Mus!” ronta Azlina, tersedu-sedan.

“Azlina! Azlina budak baik kan? Dengar nasihat Abang, jangan nangis lagi, ok. Nanti esok abang belikan coklat!” pujuk Mus lagi, mengusap-usap kepala Azlina.

“Tak mau! Saya mau ikut Abang Mus!” bantah Azlina, berpaut rapat pada tangan Mus.

Heaah, Mus menghela nafas panjang. Dia buntu entah apa lagi yang harus dilakukan. Berbagai-bagai ikhtiar telah dicuba. Tapi, tetap gagal mengawal tangisan Azlina. Lalu, dia membongkok dan melepaskan sebentar jari-jari kecil Azlina yang mencengkam untuk menyentuh jam Braille yang melingkari pergelangan kirinya. Alangkah terperanjatnya Mus tatkala menyedari dia sedang ketinggalan waktu. Tiba-tiba, perasaan takut pula menakluki, takut akan dimarahi oleh kakak pengasuh. Detik ini, hati Mus benar-benar teruji. Dia mesti memilih satu antara dua; merelakan Azlina menangis atau bersedia menerima hukuman gara-gara balik lewat ke asrama.

“Jika aku bersedia menerima hukuman,… ah, aku memang sudah lambat.” fikir Mus, berdebar-debar. “Mungkin inilah pengorbanan yang mampu aku lakukan untuk Azlina.”

“Er, kena rotan sakit tau?” Gertak perasaan Mus sendiri. “Jadi, wajarkah aku membiarkan Azlina menangis seorang diri?”

“Awak sudah makan, Mus?” tanya ibu Azlina, muncul dari bahagian belakang rumah.

“Belum, aunty. Saya terus dari sekolah tadi.” jawab Mus, sopan.

“Makan di rumah kami dulu Mus. Nanti tak payah susah-susahkan kakak tukang masak lagi!” pelawa ibu Azlina sambil mencapai Azlina daripada tangan Mus.

“Terima kasih banyak, aunty. Lain hari saja. Makanan sudah tersedia di asrama.” Tolak Mus, takzim. Setelah itu, langkah demi langkah pendek mula diheret untuk menjarakkan diri daripada Azlina yang dikasihinya, menyerahkannya untuk diuruskan oleh ibunya.

“Pandailah emaknya menenteramkannya.” Kata hati Mus.

Sesudah melangkah beberapa meter, Mus mendapati jangkaannya meleset. Dia mendapati semakin lebar jarak fizikal di antara mereka, semakin nyaring membingitkan di telinganya tangisan Azlina meraung.

“Azlina! Azlina anak mak, berhentilah menangis!” kedengaran sayup-sayup suara ibu Azlina menenangkannya. “Nanti esok Abang Mus datang bermain dengan Azlina lagi, ya!”

Apabila sudah melepasi jangkauan kawasan rumah Azlina, ketika Mus sedang berdiri di pinggir jalan utama yang bakal disusurinya, tiba-tiba rasa kesal meresapi fikiran. Lantas, ada rasa ingin berpatah arah.

“Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan… alang-alang aku sudah terlambat, Azlina masih menangis di belakang aku.” Suara hati Mus semakin mendominasi. Tapi, digagahi juga dirinya untuk melangkah kerana teringat ajaran cikgu di sekolah, sebagai seorang warga Negara yang berdisiplin, kita perlu patuh kepada semua peraturan. Oleh itu, pulang ke asrama tidak mengikut jadual waktu yang telah ditetapkan juga merupakan suatu keingkaran kepada peraturan. Bertitik tolak dari pendapatnya itu, suara Azlina menangis senyap sebentar haru-birunya dan perasaan kecut pula mengalih komposisi di dalam sukma. Serentak, dia mengarahkan kakinya supaya lebih pantas mengayuh langkah.

“Ah, biar lambat sikit. Asalkan jangan lambat banyak. Tahulah apa yang patut aku lakukan nanti,” Kata hati Mus lagi. Dan, sebaik memasuki perkarangan bangunan asrama, dia mengetahui kakak pengasuh sudah sedia menunggu. Perasaan getir bertambah gentar, bergetar. Apakah bentuk balasan yang bakal dihadapinya?

“Sekolah awak tamat pukul berapa?” Tanya pengasuh itu, garang.

“Pukul 1.00, Kak!” jawab Mus, tercungap-cungap.

“Habis tu, sekarang dah pukul berapa?” soalnya lagi.

Dengan lagak kononnya sedang kepenatan, Mus segera meraba jam Braille di tangan. Kemudian menjawab, “1.15 petang, kak!”

“Baru pukul 1.15 petang kata awak!” pengasuh merangkap pembantu asrama itu meninggikan suaranya.

“Betullah, kak. Nah, tengok ni!” tingkah Mus seraya memperlihatkan jam tangannya kepada kakak pengasuh yang digeruninya itu.

“Cuba pegang betul-betul jam awak itu!” pengasuh itu menyuruh, berdiri selari dengan Mus kini. Mus sekali lagi membaca putaran jarum jamnya.

“Alamak!... yalah hoi!... heaah!” Mus tidak putus-putus mengeluh, meneruskan sandiwaranya. Sangkanya, tipu muslihat yang dilakonkan pasti akan berhasil mengaburi fikiran pembantu asrama itu.

“Jadi, dah jam berapa sekarang ni, Mus?”

“Saya tak perasan jam saya mati, kak!” jelas Mus, penuh yakin.

“Kalau betul jam awak mati sekalipun, takkanlah boleh menyebabkan awak pulang selewat ini.” Pengasuh kanak-kanak itu terus mempertikaikan. “Awak jangan pura-pura, Mus. Saya sudah masak sangat dengan perangai awak. Awak mesti ada melencong ke tempat lain bukan?”

Fikiran Mus semakin bingung. Helahnya sengaja mengundurkan pergerakan jarum jam bagai telur di hujung tanduk. Sambil, kepalanya ligat berpusing berusaha menggerudi dalih lain untuk disogokkan kepada pengasuh itu.

“Saya merupakan orang terakhir meninggalkan kelas tadi kak. Saya sengaja tidak mahu bersesak-sesak dengan orang celik. Tambahan pula, semasa loceng baru dibunyikan, kereta pun banyak di jalan raya…bahaya, kak!”

“Eh, Mus! Saya dulu makan garam tau. Kalaulah nak cakap bohong pun, kenalah belajar dulu!” pembantu asrama berusia akhir 20an itu meleretkan leterannya. Akhirnya, Mus terpaksa mengakui kesalahannya.

“Saya singgah di rumah kawan, kak!” kata Mus dengan suara terketar-ketar.

“Mus, mulai hari ini awak jangan cuba nak tipu saya. Ingat! batu, tiang lampu, pokok dan apa-apa saja pun boleh jadi mata telinga saya, faham…pergi makan lekas!” tengking pengasuh itu, bertambah bengis. Telinga Mus turut dipulas dan ditariknya beberapa kali.

Dengan langkah longlai, Mus berjalan menuju dapur. Sambil lirik kesal dan sesal berirama di dalam kotak sanubari, bertindak mengamankan dirinya sendiri.

“Kalau aku tahu telingaku akan kena pulas, aku pasti akan tinggal lebih lama lagi di rumah Azlina.” Mus mengomel seorang diri. Walau bagaimanapun, ini bukan hukuman pertama yang pernah diterima oleh Mus. Punggung dan betisnya juga biasa dihinggapi rotan kerana kenakalannya suka memanjat pokok, main parit, lastik burung dan macam-macam lagi kesalahan lain. Anehnya, rasa serik tidak pernah berputik. Hukuman berganti hukuman belaka dan tetap tidak menguntumkan bunga-bunga keinsafan.

“Kamu semua memang tak masuk ajar seperti saya mencurahkan air di atas daun keladi sahaja.” Rungut pembantu asrama itu, mati akal.

“Orang tak nampak macam kita ni jika tak alami sendiri segala perkara, alamatnya lebih teruk daripada katak di bawah tempurunglah kita ni!” kata abang-abang dan kakak-kakak senior seolah-olah merestui kenakalan Mus. Natijahnya, Mus semakin nakal dan kenakalannya juga semakin menjadi-jadi. Soalnya, mungkinkah ini sekadar kenakalan biasa seorang budak lelaki yang kadang-kadang boleh menjadi melampau jika tidak dibendung dengan bijaksana sejak dari dini usianya lagi? “Melentur buluh biarlah dari rebungnya.”

Apabila henjutan perasaan Mus mulai reda, suara tangisan Azlina kembali mencuit tumpuan, menggoncang emosinya.

“Menangis ialah sejenis senaman bagi kanak-kanak!” Mus tidak ingat di mana dan siapa yang pernah berkata demikian. Namun, sengaja diulang suara di dalam hati, sekadar ingin menyenangkan diri. Setakat pengetahuannya, terlalu banyak menangis juga tidak sihat. Kesedaran ini timbul sejajar dengan kehadiran seorang kawan baru di sekolahnya tempoh hari. Rakan barunya itu telah menjadi buta akibat terlalu banyak menangis, meratapi pemergian ayah tercinta. Implikasinya, rasa gusar kembali menjenguk fikiran, khuatir kalau malapetaka serupa akan menimpa Azlina.

“Setiap minit ada seorang kanak-kanak yang menjadi buta di dunia ini.” itu laporan Sight Savers International yang pernah diceritakan oleh seorang guru di sekolah Mus dan maklumat itu kini sungguh merisaukan hatinya. Sebab itu, air mata Azlina perlu disekat segera daripada terus tertumpah sia-sia. Maknanya, kekerapan pertemuan mereka terpaksa dihadkan kepada hari Sabtu dan ahad sahaja. Tetapi, hasrat mulia yang mengandung nilai timbang rasa sukar dilaksanakan. Azlina, anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik ini sering mengintai kelibat Mus dari serambi rumahnya tiap-tiap hari selepas waktu persekolahan. Begitu juga Mus, rasa rindu sentiasa menghendap di bawah cuping telinganya, mendengar kemungkinan namanya ada diseru oleh suara manja Azlina.

“Abang Mus!... Abang Mus!...”

Mus tiada pilihan melainkan tunduk kepada gesaan perasaan kedua-dua belah pihak. Maka, tangisan Azlina tetap berkesinambungan, mengisi paksi waktu terlorek, mengiringi tahun berganti tahun berlalu, seolah-olah bumi ini bertambah pantas beredar di orbit. Tanpa disedari, Azlina telah melangkah ke tahun satu sementara Mus pula dinaikkan ke tingkatan satu, sekaligus memanjangkan umur mereka menjadi semakin matang kini. Dalam jangka masa beberapa tahun ini, tangisan Azlina sudah jarang-jarang kedengaran. Tangisannya cuma berkumandang sekali-sekala sahaja akibat terjatuh ketika bermain kejar-kejar dengan Mus.

“Tolong!!!... Abang Mus tolong!!!” Azlina menjerit kesakitan.

“Azlina! Azlina sayang! Cukuplah menangis. Bangkitlah,… bangkit, Azlina!” Mus memberikan perangsang sambil jarinya menggosok-gosok lembut bekas calar pada lutut Azlina. Azlina berasa senang menikmati layanan mesra yang ditunjukkan oleh Abang Mus. Kemesraan yang terpamer telah melalaikan seketika mereka kerana persahabatan mereka seperti juga pantai, ada pasang surutnya. Kemesraan yang jernih ada kalanya menjadi keruh. Ketika usia begini, Azlina suka merajuk kerana Mus tidak mengizinkannya ikut serta dalam permainan bola sepak.

“Azlina masih kecil kan?... Nanti pengsan kena bola macam mana?” pujuk Mus, menepuk-nepuk perlahan bahu Azlina.

“Tidak,… Azlina sudah besar!” rengeknya, geram. Sambil matanya ghairah menonton aksi rancak perlawanan bola sepak, Azlina berharap usianya cepat meningkat dewasa. Dan, harapannya menjadi nyata apabila melihat diri sudah berpindah ke sekolah menengah yang sama dengan Mus. Kecuali, Azlina baru mendaftar sebagai pelajar tingkatan satu. Mus pula sedang bersiap-siap hendak menghadapi peperiksaan STPM. Walau apa pun, mereka mempunyai agenda peribadi yang lebih istimewa. Jurang fizikal di antara mereka telah berjaya dirapatkan. Kini, pusat pertemuan tidak terbatas di rumah Azlina semata-mata. Malah, meliputi kawasan-kawasan lain yang dibenarkan, yakni kemudahan kepada persahabatan mereka supaya semakin diakrabkan.

“Abang Mus! jom kita pergi jalan-jalan!” ajak Azlina pada suatu hari selepas waktu persekolahan.

“Nak ke mana, sayang?”

“Wisma saberkas!”

“Wisma Saberkas? Hmm,… tunggulah petang sikit… cuaca panas ni... Kawan abang baru saja hilang motosikal jenis YAMAHA LAGENDA QKV 2388 di situ pada 11 Mac 2005 yang lalu.” Terang Mus, mengendurkan seketika niat Azlina.

“Habis tu?” Tanya Azlina.

“Nantilah dulu!” sahut Mus.

Ekoran daripada respons Mus itu, perasaan kecewa Azlina tetap tenang tidak melenting kerana mengetahui bukan mudah untuk Mus berenggang dengannya. Mus juga tidak akan jemu berebut peluang bersiar-siar dengannya. Cuma, masa dan ketikanya sahaja yang berbeza. Perasaan kecewanya juga tidak terkacau apabila terpandang kerampingan tubuh awal remajanya yang memikat di mana ketinggiannya menyamai paras telinga Mus telah menyerlahkan lagi keidealan mereka ketika berjalan bersama.

“Kita main catur, nak tak? Kelak abang tunjukkan cara checkmit orang dengan empat langkah saja,… [1 e4 ---. 2 Sc4 ---. 3 Qf3 ---. 4 Qf7]m. Tapi, teknik ini sudah diketahui oleh ramai orang. Jika mahu, banyak lagi teknik lain yang perlu dipelajari.” Mus mengesyorkan. Azlina bersetuju. Sementara itu, di rumah pula ibu bapa Azlina tidak berasa was-was selagi anak mereka berkawan dengan Mus. Mus juga diyakini tidak akan mengkhianati kepercayaan yang bulat-bulat telah diserahkan kepadanya.

“Kredibiliti lebih mahal daripada intan berlian.” Desis hati Mus. Oleh kerana sikapnya yang positif itu, justeru tidak memeranjatkan kalau Mus merupakan sumber inspirasi kepada mereka.

“Mus boleh berjaya sebab dia rajin berusaha. Dalam banyak hal, dia lebih baik berbanding dengan ramai pelajar biasa yang lain!” komen ayah Azlina. “Awak pun boleh berjaya jika rajin macam Abang Mus.”

“Ya, ayah!” jawab Azlina. Sambil, nasihat ayahnya masih bertalun di dalam kamar minda, dia kagum menyaksikan jari-jemari Mus yang masih sempat menelaah buku pelajaran yang dicetak dengan tulisan titik timbul di samping menggerakkan buah-buah catur. Lantas, perasaan takjub yang melonjak kehairanan segera mengangkatnya bangun dari kerusi dan berdiri di sisi kiri Mus pula.

“Sedang baca apa, Abang Mus?” Tanya Azlina ingin tahu.

“Buku kenegaraan!” sahut Mus, ringkas.

“Nanti, boleh Azlina tolong bacakan nota ni? Mata digital scanner tak kenal tulisan tangan!” sambung Mus lagi, meminta bantuan Azlina. Sambil dia menghulurkan beberapa helai kertas bersaiz A4 kepada Azlina.

“Azlina belum mampu baca buku tingkatan enam, Abang Mus. Buku tingkatan enam susah!” Azlina mengadu, merendah diri. Namun, diambilnya juga gumpalan kertas yang tersusun kemas itu daripada Mus.

“Itu tak menjadi masalah, Azlina. Baca saja apa yang tertulis!” kata Mus, meyakinkan.

Tanpa membuang masa, bibir nipis Azlina lancar menterjemahkan teks pengajian am tersebut kepada bentuk audio yang dapat dimanfaatkan oleh Mus. Dan, begitulah hari-hari berikutnya, Azlina tetap taat mengabdikan diri menjadi pembaca sukarela kepada Mus. Hatta, peranannya bertambah mustahak ketika guru pembantu Mus menjalankan tugas-tugas rasmi di luar sekolah atau Mus ingin memperkayakan lagi bahan rujukannya. Sebagai timbal balas Mus akan mengajar Azlina mata pelajaran Sejarah dan Bahasa Malaysia. Azlina tidak menghadapi kesukaran untuk memahami segala tunjuk-ajar yang disampaikan kerana ia menyanjung tinggi kepakaran linguistik yang dikuasai oleh Mus… Muslah idolanya. Selain itu, Mus juga adalah seorang penyajak dan pemidato yang handal di sekolah. Bakat semula jadi ini bertepatan dengan cita-citanya ingin menjadi seorang peguam di kemudian hari.

“Jangan jadi loyar buruk sudahlah, Abang Mus!” gurau Azlina, ketawa kecil. Mus turut ketawa. Tinta keseronokan yang mewarnai setiap ruang dan masa yang dijalani mengheret detik waktu terasa laju meluru. Setelah sekian lama mendapat jolokan sebagai sepasang belangkas, maka masa hiba untuk berjauhan pun datang bertandang. Mus terpaksa berpisah dengan kekasihnya sejurus selepas keputusan STPM diumumkan. Ini kerana dia telah ditawarkan untuk melanjutkan pengajian di salah sebuah universiti di seberang Laut Cina Selatan, di Semenanjung Malaysia. Mus menyambut berita itu dengan perasaan bercampur-aduk; gembira kerana itu merupakan idaman setiap pelajar dan sedih kerana air mata Azlina kembali bertali arus di alur pipinya.

“Jangan lupakan Azlina di sini ya, Abang Mus!” Azlina meratap, pilu.

“Azlina! Azlina sayang! bilik sanubari ini hanya untukmu!” janji Mus sambil tangannya sekali lagi direnjis air bening yang menitis. “Azlina, percayalah! Sungguhpun jasad kita terhantar jauh, namun hati kita tetap bercantum ibarat air yang takkan putus walau ditetak.”

“Bila kita akan mengulang kaji pelajaran bersama lagi, Abang Mus?” rintih Azlina, sebak.

“Azlina sayang! Kecanggihan teknologi komunikasi dan informasi membolehkan kita terus mengulang kaji pelajaran bersama menerusi internet!” Mus menjelaskan. “Kita juga masih boleh berhubung melalui …”

Mus hampir terlajak kata. Mujur, perasaan sedarnya tangkas mengingatkan bahawa penggunaan telefon bimbit adalah dilarang sama sekali di sekolah. Perbualan berantarakan telefon juga amat mahal, hanya akan menambahkan lagi beban kewangan keluarga Azlina. Mus tahu berapa sangat gaji ayah Azlina. Oleh itu, cuma menekankan penggunaan internet sahaja.

“Kelak, boleh kita berbalas pantun lagi ya!” usaha Mus berlanjutan untuk meredakan kocakan perasaan Azlina.

“Buah ciku si buah delima,
dibawa belayar ke Teluk Datu;
perginya aku tidaklah lama,
penuh ilmu pulanglah aku.”

Semasa di perantauan, hati Mus terasa asing bagai pulau di tengah lautan. Begitu juga Azlina, kesepian tetap menyelubungi meski tiap-tiap hari berbual dengan Mus di dalam chatroom. Berikutan itu, mereka terdedah kepada bahaya hasutan rakan yang iri hati melihat keintiman mereka.

“Er, carilah teman baru!” kata mereka. “Kalau susah sangat tu, saya pun sudi jadi penggantinya.”

“Biduk berlalu kiambang bertaut!” Azlina mahupun Mus tetap berpegang teguh kepada sumpah setia yang telah dilafazkan sejak dahulu kala. Sebagai seorang yang bertanggungjawab, acap kali menjelang cuti kampus, Mus tidak menyimpang ke mana-mana. Sebaliknya, segera kembali ke Kuching bagi menemui Azlina sambil melerai rantai kerinduan yang membelenggu.

“Abang Mus! Tahukah betapa rindunya hati ini!” kata Azlina, meluahkan isi hatinya.

“Azlina! Azlina sayang! Cita rasa kita serupa bak telur dibelah dua!” balas Mus sambil membelai-belai rambut Azlina yang lurus mencecah pinggul.

Empat tahun berjuang, saat-saat gemilang pun tiba apabila Mus telah menamatkan pengajiannya dan pulang dengan menggenggam segulung ijazah sarjana muda undang-undang.

“Ijazah ini adalah hadiah istimewa buat Azlina.” Bisik hati Mus. “Tanpa doa dan sokongan Azlina, mungkin aku tidak seperti aku hari ini.”

“Tahniah, Abang Mus!” sambut Azlina, bangga. Lebih menggembirakan, Mus sudah pulang ke pangkuannya. Tarikh yang dinanti-nantikan ini menambahkan lagi serinya kerana Azlina juga akan memulakan kursus matrikulasi di sebuah IPTA di negeri ini tidak lama lagi. Arakian, giliran Mus pula harus bertindak sebagai mentor bagi merangsang kecemerlangan akademik buah hatinya itu.

“Orang tuaku berharap aku ni bakal seorang jurutera!” Azlina memberitahu pada suatu petang, semasa mereka sedang makan angin di Reservor Park.

“Baguslah! Kalau jambatan runtuh, boleh saya saman Azlina!” usik Mus, tersenyum lebar. Azlina pula mengekel, memang menghiburkan hati Mus. Sebenarnya, di dalam ruyung hati Mus ada tersimpan maksud tersirat, ingin mengajak persahabatan yang termaktub untuk berpadu sebaik Azlina lulus dari universiti kelak. Azlina tidak menolak dan keluarganya juga tidak membangkang. Mereka yakin Mus berupaya mengemudi masa depan yang dibina ke arah cemerlang, gemilang dan terbilang.

“Jika nak kenal perangai seseorang, lihatlah perangai ibu bapanya!” kata ayah Azlina dan petua ini telah diguna pakai oleh Mus sebagai panduan untuk menilai seseorang. Tentang perwatakan Azlina, Mus telah mengenali keluarga Azlina hampir dua dekad lamanya. Mus tahu ibu, bapa serta kedua-dua orang kakak Azlina baik-baik semuanya. Mus juga bagus orangnya. Mereka saling mengenali antara satu sama lain yang telah membantutkan benih keraguan daripada tumbuh di laman setia kawan yang sejati. Kesannya, hajat di hati semakin mengembang, harapan semakin menghampiri realiti, pada masa sama menyuntik kekuatan kepada kedua-dua mereka; Azlina yang melanjutkan pengajian, dan Mus yang sedang menjalani chambering di salah sebuah firma guaman. Namun, alim ulama pernah berkata, “manusia hanya merancang dan Tuhanlah yang menentukan segala-galanya.”

Ketika di universiti, Azlina telah terlibat dengan kegiatan kumpulan tertentu. Mus tidak menegah kerana yakin Azlina sudah cukup dewasa untuk menilai yang mana bata dan permata, yang mana salah dan betul. Malangnya, Mus telah tersilap andaian. Sikap tidak kisah Mus akhirnya telah memakan diri sendiri. Dia gagal mengesan usaha ahli-ahli kumpulan tersebut yang sedang meracuni pohon percintaan mereka yang rimbun daunnya.

“Carilah teman baru yang lebih cocok dengan awak dari kalangan ahli-ahli kita!” hasut mereka, mempengaruhi. “Mus tu tidak nampak dan tentu tidak dapat ikut rentak prinsip budaya kelompok kita.”

Proses indoktrinasi yang diterapkan secara organisasi itu telah meletakkan Azlina berada di persimpangan dilema, antara kekasih dan semangat berkumpulan. Pada peringkat awalnya, pendirian Azlina tidak tergugat. Tapi, apabila perkataan itu disebut berulang kali, padahnya ialah jambatan kasih yang menyambungkan kedua-dua belah tebing perpaduan mereka pun roboh,… kasih Azlina berubah,… tamparan hebat buat Mus. Dengan hampa berbaur marah, Mus memerhatikan sahaja Azlina berlalu pergi dibawa oleh teman barunya. Ayah dan ibu Azlina juga tidak mampu menghalang kerana terpaksa menghormati keputusan anak mereka.

“Benar kata orang, hati wanita ibarat kerak nasi, segera lembut bila disiram dengan air.” Keluh Mus, kesal. “Biarlah mereka bersukacita di atas penderitaan aku.”

“Setiap perjuangan menuntut pengorbanan dan akulah mangsanya. Hakikat ini terpaksa kutelan semata-mata kerana aku buta!” tambah Mus lagi, sedih. “Kenapa tidak digubal Akta Orang Kurang Upaya di negara ini bagi menangani ketidakadilan yang maharajalela?”

Kemudian, Mus memutuskan untuk membawa diri berhijrah ke ibu kota. Alasannya tidak sanggup lagi diganggu oleh igauan indah yang kini tinggal kenangan mengerikan. Di sana di celah-celah rimba batu, dia berharap seteguk kedamaian akan segera menjelma, sungguhpun angin lalu masih memuput, mensisir suram senja berarak. Sejurus itu, dia terdengar khabar berita Azlina menangis kerana terkilan.

“Abang Mus!... Abang Mus!... kenapa ini harus berlaku?” bentak Azlina, sayu. Serta-merta, tangan Mus terasa panas, membayangkan kehangatan air mata Azlina yang mengalir.

“Sejak kecil aku mendengar Azlina menangis dan sampai hari ini dia masih lagi menangis!” kata hati Mus, juga sebak. “Azlina menangis sebab dia memilih untuk menangis.”

Mus walaupun sukar, tetapi pasrah. Dia merelakan tangisan Azlina lenyap dari ingatan kerana menganggap sudah kehilangan hak terhadap kolam air mata yang melimpah. Lantaran itu, membubuhi titik noktah pada rentetan peristiwa dan memberi peluang kepada kedua-dua mereka untuk membuka lembaran baharu dalam diari kehidupan masing-masing. Azlina! Mus kini sendiri.

No comments: