Sabtu, Januari 16 2010.
Sehari bersama MAB Cyber Club
Seperti yang diwar-warkan dalam beberapa email daripada beberapa
mailing list sebelum ini, pada hari ini, Sabtu, Januari 16, Unit ICT
MAB bersama Kelab Cyber MAB akan menganjurkan 3 program berturut-turut,
memakan masa sehari penuh
1. perbincangan mengenai sejauhmanakah laman web kerajaan, benar-benar
mesraOKU?
2. Pamiran praktikal tongkat pintar bersama Binary Colledge.
3. Pengenalan terhadap Open Source software: NVDA.
Seperti yang anda sedia maklum, Kak Ai tidak akan melepaskan peluang
untuk menyibukkan diri dalam program seperti ini. Berikut adalah
catatan kasar program bersama siri: "apa kata Kak Ai?". Tulisan ini
adalah pendapat tulus Kak Ai yang hanya dipengaruhi oleh 'mood' semasa.
1. perbincangan mengenai sejauhmanakah laman web kerajaan, benar-benar
mesraOKU?
Program bermula pada jam 9.00 pagi. Pada peringkat awal, penyertaan
agak lengang, tanpa disertai oleh satu pegawai kerajaan pun. Di
pertengahan majlis, 3 orang pegawai kerajaan, iaitu: Abang Along
Zahari, Halwa Maskat dan En. Ismail Omar turut menghadirkan diri.
Kesemua peserta yang hadir adalah Celik IT walaupun tahap keupayaan
masing-masing berbeza. namun demikian MAB Cyber Club merasa bangga
dengan kehadiran Abang Joe, all the way, dari Bumi Kenyalang.
Program dikendalikan oleh 2 orang pegawai dari MAMPU, iaitu En. Zahir
dan En. Azlan, dengan dibantu oleh Cikgu Rahim dan Cikgu Fadzlin dari
MAB. Pegawai-pegawai dari MAMPU itu bercerita tentang keperihatinan
MAMPU terhadap golongan OKU penglihatan dan warga emas. Antara langkah
yang telah dibuat ialah: mengadakan 'option button' untuk mengubah saiz
text. MAMPU juga bercadang untuk mengadakan 'text reader' di kesemua
laman web kerajaan.
Setelah membuat sedikit taklimat, En. Azlan mula memancing maklumbalas
dari peserta dengan melontarkan satu soalan pekeliling yang subjektif:
"Apakah 'web accessibility' pada pemahaman anda?" Kesemua peserta
memberi input ikhlas berdasarkan pengalaman peribadi dan tahap
keupayaan masing-masing. Kak Ai sedikit gugup, kerana sebenarnya Kak Ai
kurang melayari laman web serius seperti laman web kerajaan. Kak Ai
lebih berminat melayari laman web santai berbentuk ilmiah yang kreatif.
laman web kerajaan yang Kak Ai layari hanyalah:" www.bnm.gov.my" untuk
mendapat info terkini mengenai isu kewangan dan mendapatkan nisbah
terkini tukaran wang asing. Kesemua jawapan yang diberi adalah tepat
walaupun sedikit stereotype, namun jawapan yang benar-benar berpotensi
untuk membantu soal selidik itu ialah: jawapan dari Abang Joe: "setiap
laman web semestinya sama dilihat oleh orang celik dan dibaca oleh
'screen reader'. Macam fotostat."
Perbincangan diteruskan dengan Cikgu rahim dan Cikgu Fadzlin
menunjukkan beberapa contoh laman web yang tidak begitu mesra-oku
kerana samada salah HTML coding atau tidak dilabel dengan betul.
Antaranya ialah: laman web MAMPU sendiri. Kami juga berkesempatan
melayari laman web" www.kpwkm.gov.my" dan e-filing. Nampaknya e-filing
benar-benar tidak accessible kerana 'edit box'nya tidak berlabel.
Setelah itu Madi mengajak hadirin melayari" www.kelantanfm.gov.my" yang
terlalu bising dengan 'life streaming' sehingga mengganggu bunyi
'screen reader' yang dke dua-duanya dikeluarkan dari 'sound card' yang
sama. Abang Joe pula menarik perhatian hadirin dengan menonjolkan laman
web www.celkom.com.my yang tidak accessible. Perbincangan ditutup
dengan Cikgu Rahim mencadangkan agar kesemua pembina laman web
hendaklah mematuhi "Web Contents Accessibility Guidelines' yang
terdapat di" http://www.w3.org/TR/2008/REC-WCAG20-20081211/" dan "
www.evengrounds.com".
apa Kata Kak Ai? Program seperti ini sungguh memberi info amali yang
sebenar. Sesungguhnya info amali lebih kuat pengaruhnya dari theory di
atas kertas. Terima kasih, MAMPU!
2. Pamiran praktikal tongkat pintar bersama Binary Colledge.
Sessi ini dijadualkan pada jam 11.00 pagi. Tajuk "tongkat pintar"
sememangnya menarik ramai hadirin. Maklumlah, tongkat dan OKU
penglihatan tidak dapat dipisahkan. sebenarnya, program ini tidaklah
berkisar sepenuhnya tertumpu kepada "tongkat pintar". Program yang
sebenar ialah bersama Binary Coledge untuk membincangkan hasil dari
Brainstorming bersama mereka, 6 bulan yang lalu. Oleh itu mereka
didatangkan untuk membincangkan:
1. tongkat pintar,
2. RFID Tiles,
3. Friendly Social Networking.
Sessi ini telah dikendalikan oleh: En. Malik dan En. Arafat dari Binary
Coledge dengan Cikgu Rahim sebagai perantara. En. Malik melaporkan
bahawa "tongkat pintar" yang sepatutnya dijanjikan siap pada Disember
12, 2009 kini berada di peringkat 80 peratus siap. Pada mulanya, Kak Ai
agak kecewa apabila En. Malik memberitahu bahawa mereka memohon maaf
kerana tidak mampu membawa tongkat prototype itu ke majlis penerangan.
Kak Ai yakin ramai lagi hadirin yang kecewa. tapi, tiba-tiba Cikgu
Rahim mententeramkan keadaan dengan memberitahu tongkat pintar yang
ditunggu dalam perjalanan ke MAB. Sementara itu, En. Malik memberitahu
sedikit maklumat tentang tongkat itu. tongkat pintar itu dilengkapi
dengan 'buzzer' dan vibrator untuk mengesan halangan. tongkat pintar
ini dilengkapi dengan batteri berkuasa 9 volt yang chargeable. Body
atau casing tongkat yang sebenar belum ditentukan lagi, dan untuk
pamiran, body tongkat yang digunakan ialah body tongkat buatan Amerika.
Pemilihan body tidaklah menjadi masalah, asalkan alat mekanikal itu
bersesuaian dengan saiz body tongkat. Walaupun tongkat ini dilengkapi
dengan sensor dan batteri, ianya tahan lasak dan khalis hujan kerana
alat mekanikal yang digunakan terletak di bahagian dalam tongkat, agak
terlindung. Majlis juga diberitahu bahawa alat sensor yang dibekalkan
berupaya mengesan halangan dalam jarak 20 kaki. Namun demikian, mereka
telah mngubahsuainya untuk mengesan halangan dalam jarak 15 inci. Walau
bagaimanapun, segala pengubahsuaian boleh dilakukan dengan komputer
melalui USB yang terdapat pada tongkat pintar tersebut. Hebatkan!
Sehingga waktu makan tengah hari, tongkat yang ditunggu tidak juga
kunjung tiba, maka majlis bersurai sementara untuk makan tengah hari.
Apa Kata Kak Ai? Binary Coledge pakai jam dunia lain. Dulu MAB Cyber
Club jemput mereka untuk jamuan hariraya pada jam 10.00 pagi, mereka
sampai pada jam 1.00 tengah hari! Issh! Issh! Issh! Mereka bukannya
orang Malaysia, faham, fahamlah!
Setelah menjamu selera dan sollat zohor, Kak Ai bersama pengiring-
pengiring setianya, rokiah dan Kak Azlin kembali ke bilik mesyuarat.
Ketika itu hadirin berbisik mengatakan bahawa tongkat prototype itu
akan diedarkan untuk diraba. Percubaan untuk menggunakannya hanya akan
dilakukan di ruang legar perkarangan MAB. Mendengarkan berita itu, Kak
Ai menunggu dan terus menunggu, tapi tongkat itu tidak juga diedarkan.
Majlis masih rancak dengan Q&A, dan yang menarik minat Kak Ai ialah
cadangan dan perbahasan dari Mr. Yam. Mr. Yam mencadangkan agar tongkat
itu dapat dilengkapkan sensor yang boleh mengesan halangan di bahagian
atas, "head level obstacles". En. Malik menjanjikan sesuatu. Cikgu
Rahim mencadangkan agar Mr. Yam dijemput membarisi panel penilaian
peringkat akhir tongkat pintar. Tongkat pintar ini akan disiapkan dalam
masa 2 bulan lagi. Dan harga yang dibayangkan ialah: rm90 sebelum
subsidi 50 peratus dari MAB, sekiranya dikeluarkan dalam jumlah yang
banyak.
En. Arafat dan En. Malik meneruskan majlis dengan memberi taklimat
tentang RFID tiles dan' Friendly social networking', malangnya Kak Ai
tidak memberi perhatian. Perasaan rindu untuk bertemu dengan tongkat
pintar mengatasi segala-galanya. Kak Ai tidak fokus. Cuma yang Kak Ai
ingat, ada yang meminta 'add on' radio di dalam social networking itu.
Dalam keadaan Hadirin mula bosan dan resah gelisah, saat yang ditunggu
pun akhirnya tiba juga. Para hadirin dipersilakan ke ruang legar
perkarangan pejabat MABuntuk mencuba tongkat pintar. Setelah beberapa
minit menunggu, akhirnya, Kak Ai dan kroni berpeluang mencuba tongkat
tersebut.
Bagaimanakah bentuk fizikal tongkat pintar itu? Tongkat ini beroda di
hujung bahagian bawah, ini bermakna, tongkat ini telah di design untuk
tidak di hempuk-hempap seperti selalunya. tongkat ini dimestikan
didirikan secara menegak. Terus-terang, Kak Ai belum berminat dengan
cara itu. Kak Ai lebih suka cara tradisional tongkat dijulurkan
kehadapan. Di bahagian keratan 1 atau tangkai, terdapat sesuatu objek
bulat menyerupai stesen radio yang tidak boleh dipulas. objek itu ialah
'buzzer' untuk mengeluarkan "beep" apabila berjumpa halangan. di
keratan ke dua pula ialah vibrator/gegar yang hanya dapat dirasa. Kalau
tak silap, gegar dan beep adalah 'option' yang boleh diubahsuai untuk
keselesaan peribadi. Seperti yang disangka, tongkat itu akan sekaligus
bergegar dan berbunyi apabila dia mengesan halangan di hadapan. Apabila
halangan di hadapan berbentuk tangga menurun, lubang, longkang, tongkat
itu akan berhenti lembut seperti tersangkut. anda mestilah menolaknya
secara manual dan ketika itu, barulah diketahui apakah halangan yang
sebenar. Kak Ai cuba menuruni beberapa anak tangga dan terus mencuba
dalam beberapa keadaan sehingga 'battery low".
Apa Kata Kak Ai? Setakat ini, tongkat pintar tidaklah sehebat mana.
Harap-harap bila siap, ianya lebih berfungsi lagi. Kalau setakat itu
sajalah keupayaannya, InsyaAllah Kak Ai belum tergerak hati untuk
memilikinya.
3. Pengenalan terhadap Open Source software: NVDA.
Akhirnya, program terakhir pun bermula. Sambutan untuk program ini juga
sungguh memberangsangkan. walaupun ramai yang membawa lap-top sendiri,
namun komputer masih tidak mencukupi, oleh itu Kak Ai berkongsi
komputer dengan sahabatnya, Kak Azlin. Cikgu Rahim dan Cikgu Fadzlin
telah mengendalikan kursus pengenalan NVDA. Perjalan kursus berjalan
lancar, kerana semua peserta adalah Celik ICT. Itulah untungnya
sekiranya iklan disebarkan melalui e-mail, hanya mereka yang celik ICT
saja tahu untuk menyertainya. Sekiranya iklan kursus disebarkan melalui
telemaklumat, pasti berduyun-duyun yang berminat untuk turut serta,
walaupun tidak tahu menaip. Program ini ditutup dengan sessi mengopy
NVDA ke dalam pen drive masing-masing.
Apa Kata Kak Ai? Terima kasih MAB kerana menganjurkan program
informatif seperti ini! Sessi bersama MAMPU dan mengenali NVDA sungguh
menyeronokkan. Namun demikian Kak Ai sedikit kecewa dengan tongkat
pintar. Kak Ai lebih berharap agar diadakan sessi Q&A selepas mencuba
produk. Apa-apapun, En. Malik adalah salah seorang ahli di dalam
mailing list MAB Cyber Club. Segala cadangan dan pertanyaan bolehlah
diposkan ke:" mabcyberclub@googlegroups.com" dan hendaklah diingat, En.
Malik adalah seorang Pakistani yang menggunakan Bahasa inggeris sebagai
bahasa perantara.
P.s Turut dilampirkan ialah e-mail mengenai sessi brainstorming bersama
Binary Coledge yang pernah Kak Ai hantar 6 bulan yang lalu. Jika ada
masa, cuba bandingkan dengan e-mail di atas, maka anda akan tahu
mengapa Kak Ai tidak begitu tergoda dengan tongkat pintar yang 80
peratus siap. .
Romie Merak <romie3x@gmail.com> Sat, Sep 5, 2009 at 10:05 PM
Reply-To: mabcyberclub@googlegroups.com
To: share <share@ncbm.org.my>
salam sejahtera. pada hari ini telah diadakan sessi "percambahan
fikiran" brainstorming, di antara Binary Coledge University dan Club
Cyber, MAB. sessi brainstorming ini berkisar kepada 3 innovative baru
yang sedang diusahakan.
alat pertama ialah: I Cane.
I Cane atau Intelligent Cane adalah smart cane alternatif kepada
tongkat putih yang kita ada. I cane ini dilengkapi dengan 3 butang dan
sebuah kompas penentu arah. fungsi 3 butang itu ialah untuk memberi
amaran kepada pemakainya perihal halangan/rintangan yang berdekatan.
sekiranya halangan itu berada disebelah kanan, butang kanan akan
bergegar. dan begitulah keadaan fungsi bebutang gegar yang lain iaitu
untuk kiri dan bahagian tengah. kompas pula digunakan untuk petunjuk
arah, umpamanya qiblat, untuk orang-orang muslim. tongkat berlipat 4,
dengan kepanjangan cm100 - cm130. ia menggunakan kuasa rechargeable
batteri.
setelah berbincang, mesyuarat telah sepakat untuk membuat beberapa
pengubahsuaian terhadap I Cane tersebut.
1. I cane mestilah dilengkapkan dengan alat amaran bahaya di bahagian
bawah seperti lubang dan longkang atau seumpama dengannya.
2. I Cane mestilah dilengkapi dengan reflector warna yang tidak mungkin
pudar, meskipun I Cane sudah lusuh.
3. I cane mestilah dilengkapi dengan sound transmitter, untuk
memudahkan pencarian. contoh: alarm kereta yang dipicit. walau
bagaimanapun pihak Binary belum sepakat lagi samada akan menggunakan
teknik "high pitch frequency" seperti menepuk tangan untuk mencari
tongkat atau menggunakan teknik picit gadget seperti yang disebut di
atas. untuk keselamatan, se eloknya teknik picit gadget, kerana setiap
I cane akan hanya mengenali atau response kepada transmitter induknya.
4. I Cane akan menggunakan rangkaian magnetik untuk melipatnya, tidak
lagi tali getah seperti tongkat konvensional.
innovasi ke dua pula ialah social networking yang mesra-buta. social
networking ini tidak menggunakan image atau graphic. malah ia
menggunakan pembaca screennya yang tersendiri.
innovasi yang ke tiga ialah 1 gadget istimewa yang disebut: RFID t
Tiles.
RFID tiles adalah berbentuk 2 sticker. cara sticker ini berfungsi
ialah: pertama setiap tag tiles di jalan/bangunan akan dibungkus dengan
sticker ini. sticker ini tahan lasak dan kuat bertahan. 1 lagi sticker
akan dilekatkan kepada permukaan kasut si buta. cara RFID Tiles
berfungsi ialah: apabila kasut yang memakai sticker memijak tiles yang
mempunyai sticker, si pemakai akan menerima isyarat melalui blue tooth
handphone nya. contoh: "Traffic light. Jalan Sultan Abdul Samad on the
right, Jalan Travers on the left." begitu jugalah di dalam bangunan
yang menggunakan tiles itu ti atas karpet kecil penanda pintu dan lif.
RFID tiles memang inteligent sekali dengan menggunakan sistem seperti
bar code.
cadangan: sticker dilekatkan kepada bas, agar pemakai sticker akan
menerima isyarat nombor bas melalui blue tooth handphone nya.
cadangan lain: agar binary universiti mengusahakan sebuah perisian
map/peta yang boleh communicate dengan GPRS hand phone.
setakat inilah sahaja laporan saya mengenai sessi brainstorming bersama
Binary Coledge Universiti. sama-samalah kita menanti
kedatangan/kelahiran produk-produk inteligent yang disebut di atas. I
Cane mungkin akan dirasmikan pada 4 12 bersempena hari cacat sedunia.
apa-apa pun kita mengharapkan yang terbaik dan mengucapkan jutaan
terima kasih kepada binary coledge yang sudi merekacipta produk mesra-
buta. setelah selesai dan diluluskan, MAB akan dipertanggungjawabkan
untuk menjadi ejen pengedar bagi rantau ini. pihak club Cyber juga
ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada kesemua peserta yang
telah mengambil bahagian terutama sekali kepada Allan Wong yang telah
banyak sekali memberi input yang praktikal. Saudara Allan juga telah
dijemput untuk menganggotai panel penyelidik bersama Binary Coledge.
Kami yakin dan percaya serta berharap bahawa Saudara Allan Wong mampu
memikul tanggungjawab itu.
No comments:
Post a Comment