Total Pageviews

Ramai Yang Meminati: Anda bagaimana pula?

Pages

Kenalilah dunia ciptaan sahabat-sahabatku:

Salam segunung rindu untuk kekasih di hujung talian:

Kasih manusia sering bermusim, madah helahnya tiada bertepi;
Dengan harapan kubina impian,
kau sentuh runtuh tinggal kenangan.
Biarpun hatiku retak seribu,
kau tetap kukunci di dalam hatiku.

Love me but, leave me not,
Kiss me but, miss me not,
Hit me but, hate me not,
Remember me but, forget me not.

Teman!
Di taman ini aku menantimu bersama segunung rindu yang sarat. entahkan bila ketemu penawarnya. Aku kehilangan, yang tinggal hanyalah kerinduan.
Di sini, akumengukir syair di atas air, meniti buih mengejar pelangi. Beralaskan mimpi syahdu kelmarin, kini menjadi igauan siangku. rindu ini di manakah noktahnya? Cinta ini bilakah ajalnya?
Ketahuilah sesungguhnya secebis kasih membuat kita sayang. seucap janji membuat kita percaya. sekecil luka akan membuat kita kecewa. tetapi, sebuah persahabatan akan selamanya bermakna."
rinduku padamu tak bisa pudar, kasihku padamu belum tercemar.

Apakah yang anda cari?

Thursday, December 17, 2009

Alfatihah Untuk Yang Pergi.

Kepangkuan anakku, Afif yang sering kurindu. Mama harap kau bahagia dalam dakapan bidadari yang mencukup kan susumu. Demi Allah yang menghidupkan dan mematikan makhluknya, kau dipinjamkan sebentar cuma. Tinggallah mama di sini, merindu dan terus merindu hingga ke akhir nanti.

Afif, sayang. Sejak dua bulan akhir ini, beberapa orang ayahnda kawan Mama telah kembali ke rahmatulah. Peristiwa bermula pada oktober 12, dengan pemergian ayahnda kawan mama, Kak Azlin. Walaupun yang pergi itu ialah ayahnda Kak Azlin, mama turut merasa sedihnya. Apa tidaknya, ayahnda Kak Azlin adalah seorang yang baik hati, tapi sayang hatinya tidak terbuka untuk memeluk islam seperti Kak azlin.

Lebih kurang 10 hari selepas pemergian ayahnda Kak Azlin, seorang lagi kawan mama kehilangan ayahndanya. Kawan mama yang ini bernama, Kak Siew Lee. Nasib baik Kak Siew Lee cukup wang untuk terbang ke Sabah, menghadiri pengkebumian ayahndanya. Kak Siew Lee dan ayahndanya tidaklah berugama islam, namun, mama tetap bersimpati sebagai seorang insan. Mama dapat rasakan kasih-sayang ayahnda Kak siew Lee kepadanya. Sewaktu kami sama-sama bersekolah di Sekolah Rendah Princess Elizabeth, Johore Bahru, ayahnda Kak Siew Lee telah membelikan sebuah mini compo untuknya. Untuk pengetahuanmu, mini compo adalah alat hiburan mewah di tahun 70-an! Dan apabila Kak Siew Lee menjejakkan kakinya di menara gading, ayahndanya telah menghadiahkannya sebuah computer. Pada zaman itu, computer adalah keperluan mewah yang sememangnya mahal. Begitulah lebih kurang yang dapat Mama nilaikan secara kasar kasih-sayang ayahnda Kak Siew Lee kepadanya.

Anakku, lambakkan harta bukanlah ukuran kasih-sayang. Mama hanya menilai secara rambang. Sebenarnya, Mama pernah bersua dengan ayahnda Kak Siew Lee di pejabat SBM, brickfields, beberapa tahun yang lalu. Pada pendapat Mama, dia seorang tua yang sangat penyayang. Entah berapalah umurnya, Mama kurang periksa. Yang pasti, Kak Siew Lee akan bersara pada tahun hadapan.

Tidak berapa lama selepas itu pula, seorang lagi kawan Mama menerima nasib yang sama. Ayahnda Kak Ros menderita cancer. Itulah yang Mama fahamkan dari tulisan ‘text mood’ pada ‘skype’ Kak Ros. Beberapa hari selepas itu, Mama mendapat berita bahawa ayahnda Kak ros telahpun kembali ke rahmatullah. Mudah-mudahan rohnya dicucuri rahmat.

Semalam, 15 Disember, menambahkan satu lagi hari sedih di dalam diary Abang Joe. Kini giliran ayahndanya pula dijemput mengadap penciptanya. Syukurlah, ayahnda Abang Joe berpeluang menunaikan haji sebelum menemui ajalnya. Tidak seperti Kak Azlin, Kak Siew Lee dan Kak Ros, yang adalah kawan sekolah Mama, Abang Joe adalah kenalan cyber Mama. Mama hanya berkesempatan menemuinya sebanyak 3 kali, dan mungkin tidak akan ketemu lagi kerana Abang Joe tinggal jauh di Bumi Kenyalang. Dalam email-email Abang Jo yang sebelumnya, tidak pernah dia menceritakan tentang penderitaan ayahndanya. Ajal dan maut adalah ketentuan dari ilahi. Tentu Abang Joe terkejut menerima berita kematian itu. Betapa berat mata memandang, sudah pasti lebih berat lagi bahu yang memikul!

Dan pada 13 Disember yang lalu, adik kepada salah seorang kawan Mama bernama Cikgu Saifuddin telah meninggal dunia dalam keadaan yang amat menyayat hati. Adik Cikgu Saifuddin ialah seorang driver teksi. Dia disamun, dibelasah lalu disumbat ke dalam bonet teksinya. 2 buah motor telah mengekori teksi tersebut kerana ternampak tangan terkeluar dari bonet. Mereka menghubungi polis, tapi belum sempat polis tiba, Khairul telah berjaya meloloskan dirinya dari bonet teksi lalu terjun dan menemui ajalnya di situ juga. Kasihan ibu tiri Cikgu Saifuddin. Dia di dalam keadaan stroke sewaktu menerima berita kematiannya. Berita tentang nasib malang Khairul ini telah dilaporkan di dalam akhbar http://mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2009/12/14/...

Dan kisah yang menyayat hati ini juga banyak diabadikan di dalam beberapa blog

: http://twitter.com/mstaronline/status/6646334591 http://www.facebook.com/note.php?note_id=201128624237http://best1of4.wordpress.com/2009/12/14/

Untuk pengetahuanmu, dalam tahun 2009 ini, seramai 38 orang rakan Mama yang OKU penglihatan telah meninggal dunia. Ada juga yang kurang ajar membuat lawak jahat seperti: “Bas ke batu 2 ada lagi 2 tempat kosong! Bersiaplah untuk ke sana!” Biarpun lawak itu berupa peringatan, Mama tidak tahan telinga mendengarnya.

Di saat bersimpati dengan kesedihan kawan-kawan, Mama mula terkenangkan ayah, ibu yang jauh di Kelantan. Sudah lama Mama tidak menemui mereka. Tanpa disedari, Mama terus menghantar SMS kepada Adik Noor yang berada di kampong. Jawapan yang diterima biasa saja, tapi cukup untuk menitikkan air mata pembaca.

“ayah demam. Dia ingat Akak. Akak dah lama tak balik. Akak marah pada sesiapakah?”

Ya! Mama ingat lagi. Kali terakhir Mama bertemu dengan ayah pada 2 tahun lepas ketika dia menghantar Adik Ijah ke kolej di KL. Ayah bertamu di rumah ini untuk beberapa hari. Kali terakhir Mama bertemu ibu pula pada 3 tahun yang lalu. Ibu datang ketika Mama melahirkan kamu. Tapi sayang! Ibu terlewat untuk melihat cucu comilnya. Yang tinggal hanyalah gambar di handphone Adik Noor. Soal balik kampong adalah dilemma besar di hati Mamamu. Hati Mama berperang di antara kasih dan kewajipan. Oleh itu Mama mengenepikan perasaan sendiri, dengan berqiblatkan islam. Selaku seorang isteri solehah, syurganya terletak di telapak kaki suami. Setelah 13 tahun mendirikan rumah-tangga bersama, Abah masih tidak dapat menyesuaikan dirinya dengan keluarga dan kampong Mama. Sepanjang tempoh itu, abah ke kampong Mama Cuma 2 kali. Pertama untuk menikah. Dan pada kali ke-dua, ketika Abang Asyid terpaksa menjalani pembedahan di hospital USM Kubang Kerian, beberapa tahun yang lalu. Untuk pengetahuanmu, Abang Asyid adalah abang sebapa denganmu.

Walaupun Mama dibenarkan untuk kembali ke kampong sendirian, tapi Mama menyedari kesusahan Abah yang ditinggalkan. Abah tidak sihat, dan tidak boleh makan sembarangan. Untuk pengetahuanmu, sejak beberapa bulan yang lalu, Abah telah mengidap gastritis yang kronik akibat alahan pada ubat darah tingginya. Walaupun ubat itu telah ditukar, namun kesannya masih belum pulih lagi. Abah terpaksa makan sebelum asid di dalam perutnya membuak. Seandai pantang itu dilanggar, Abah akan muntah-muntah dan hilang selera. Dikeranakan penyakit Abah yang baru ini, pantang-larang makanan terhadap Abah mula bertambah. Abah terpaksa mengelakkan makanan berminyak dan garam kerana darah tinggi. Abah juga terpaksa menghindari makanan bergula kerana diabetic. Abah terpaksa melupakan laut kerana ghaot. Dan pada kali ini, Abah terpaksa menghindari makanan pedas dan masam kerana gastritisnya. Berat sungguh penderitaan Abah dan Mama seikhlas hati amat bersimpati dengannya. Abah bukan saja terpaksa berpisah dengan roti canai kesayangannya, Abah juga hilang ceria terhadap makanan. Dan yang amat menyedihkan lagi, Abah tidak lagi berupaya mengerjakan puasa sunatnya kerana gastritis! Di atas kesedaran itu, Mama rela memasakkan makanan Abah untuk sepeninggalan Mama berkerja.

Afif! Perjalanan dari KL ke Kelantan menggunakan bas mengambil masa 9 jam sehala. Walaupun perjalanan menggunakan kapal terbang tidaklah sebegitu lama, tapi, harga tambang kenderaan dari lapangan terbang Pengkalan Chepa ke Bachuk menyamai tambang bas separuh harga dari Kelantan ke KL. Afif! Mama rindukan ayah. Tapi Mama tidak mahu menyesal sekiranya apa-apa terjadi pada Abah! Inilah dilemma yang menghantui Mama selama ini.

No comments: