Assalammualaikum!
Kecacatan dan keupayaan seseorang itu pelbagai rupanya. Bersyukurlah, Akak hanya OKU penglihatan, walaupun ramai yang melihat merasakan kasihan, tapi sebenarnya, menjadi buta lebih seronok dari menerima kecacatan lain. Itulah pendapat ikhlas Akak berdasarkan pengalaman hidup lebih 40 tahun, selama ini.
Ramai yang berkata, biar cacat anggota, jangan cacat mata, boleh juga bawa kereta. Pentingkah bawa kereta di hari ini? Dengan harga minyak yang naik tak tentu masa, harga parking yang tidak munasabah, relevan kah sebuah kereta? Di pejabat Akak, ada seorang kawan yang cacat anggota. Pada setiap tengah hari, dia akan datang ke bilik operator telefon untuk berkawan dengan kami yang cacat penglihatan. Dari situ, banyak rintihan/keluhannya yang agak ketahui. Tapi, beliau, sperti kita juga, redha di atas kurniaan Tuhan. Berikut adalah sebuah artikel yang dipetik dari Laman KL Today. Bersyukurlah, kecacatan kita yang OKU penglihatan, masih boleh melancong dan bergaul mesra dalam premis yang tidak terlalu di ubahsuai.
Ramlan (bukan nama sebenar), yang menjalani kehidupan sebagai orang kurang upaya (OKU), melahirkan perasaan tentang betapa sukar bagi beliau untuk masuk ke dalam bank dan restoran kerana tempat-tempat ini tidak mempunyai kemudahan asas untuk golongan cacat fizikal. “Setiap kali bila hendak menjalankan transaksi di kaunter bank atau makan bersama keluarga di restoran, saya menghadapi kesukaran kerana tiada cerun serta laluan kerusi roda atau lif dan rel pegang bagi mereka yang kurang upaya”, kata Ramlan.
Ramlan juga menyatakan kesukaran setiap kali hendak mengeluarkan wang dari mesin wang automatk (ATM).
“Kebanyakan ATM terletak dalam bangunan bank atau dalam stesen minyak. Memang susah nak masuk ke tempat sebegini kerana lokasinya tidak mesra kepada OKU,” kata Ramlan, seorang pesakit polio yang terpaksa mengguna kerusi roda untuk bergerak.
Ini adalah dilema atau masalah besar yang dihadapi oleh mereka yang kurang upaya fizikal di negara ini kerana kebanyakan bank serta restoran adalah tidak mesra OKU.
TIDAK MAHU PERGI BERCUTI
K.Muthu, yang kudung kaki kanannya kerana terlibat dalam kemalangan, berkata beliau agak sukar untuk pergi bercuti bersama keluarga di destinasi pelancongan dalam negara kerana kebanyakan hotel tidak mempunyai kemudahan bagi OKU.
“Tak banyak (hotel) yang punya kemudahan untuk OKU, jadi saya rasa susah untuk pergi melancong. Tidak banyak hotel yang ada laluan kerusi roda. Tidak dinafikan memang ada beberapa hotel menyediakan kemudahan tersebut tetapi bagaimana dengan tandas serta bilik mandi yang sesuai.
“Saya sukar nak mandi dan guna tandas (di hotel), jadi saya tidak mahu pergi melancong dan lebih suka tinggal sahaja di rumah”, kata beliau.
Walaupun terdapat Akta Orang Kurang Upaya (OKU), masih terdapat banyak bank, restoran serta hotel yang tidak menyediakan kemudahan untuk OKU seperti pintu yang besar dan sesuai, laluan kerusi roda, lif dan tandas OKU.
“Malah ada juga hotel di destinasi pelancongan yang tidak ada lif. Jadi bagaimana mereka yang kurang upaya seperti saya hendak pergi bercuti dan melancong”, kata beliau.
AKTA ORANG KURANG UPAYA
Akta Orang Kurang Upaya diluluskan di Parlimen pada 24 Dis 2007 dan diwartakan pada 24 Jan 2008 sebelum dikuatkuasa pada 7 Julai 2008.
Menurut peguam-peguam, ramai OKU merungut bahawa Akta OKU 2008 hanya sebagai akta bercorak pentadbiran dan bukan penguatkuasaan kerana akta tersebut tidak mempunyai kuasa dan tiada tindakan penalti bagi mereka yang tidak mematuhi dan mendiskriminasi OKU.
Tuan punya restoran di Rawang, Ismail Kassim berkata: “Saya tidak sedar wujudnya undang-undang tersebut, bagaimanapun restoran saya terletak dalam bangunan lama dan sukar untuk membuat perubahan bagi tujuan mesra OKU”.
Kata beliau, kebanyakan bangunan yang menempatkan restoran dan bank telah didirikan lebih 10 tahun lepas sebelum Akta OKU dikuatkuasakan.
Seorang lagi tuan punya restoran, di Kota Damansara, yang hanya mahu dikenali sebagai Vijay berkata restoran beliau mempunyai tempat duduk khas di tingkat bawah bagi OKU dan sesiapa yang kurang upaya akan diberi bantuan oleh pekerja restoran bila mereka singgah untuk makan.
“Bagaimanapun kami jarang sekali menerima kunjungan mereka yang kurang upaya tapi kalau mereka datang kami akan beri bantuan. Kami akan cuba tolong seberapa yang boleh”, kata Vijay sambil menambah ketiadaan kemudahan asas bagi OKU mungkin menyebabkan mereka dari golongan ini sukar untuk mengunjungi restorannya.
Tiada undang-undang yang dengan nyata menetapkan setiap bangunan perlu dilengkapi dengan kemudahan kepada OKU dan mungkin atas sebab itu banyak bangunan awam serta persendirian tidak mempunyai kemudahan asas tersebut.
– BERNAMA
No comments:
Post a Comment