Total Pageviews

Ramai Yang Meminati: Anda bagaimana pula?

Pages

Kenalilah dunia ciptaan sahabat-sahabatku:

Salam segunung rindu untuk kekasih di hujung talian:

Kasih manusia sering bermusim, madah helahnya tiada bertepi;
Dengan harapan kubina impian,
kau sentuh runtuh tinggal kenangan.
Biarpun hatiku retak seribu,
kau tetap kukunci di dalam hatiku.

Love me but, leave me not,
Kiss me but, miss me not,
Hit me but, hate me not,
Remember me but, forget me not.

Teman!
Di taman ini aku menantimu bersama segunung rindu yang sarat. entahkan bila ketemu penawarnya. Aku kehilangan, yang tinggal hanyalah kerinduan.
Di sini, akumengukir syair di atas air, meniti buih mengejar pelangi. Beralaskan mimpi syahdu kelmarin, kini menjadi igauan siangku. rindu ini di manakah noktahnya? Cinta ini bilakah ajalnya?
Ketahuilah sesungguhnya secebis kasih membuat kita sayang. seucap janji membuat kita percaya. sekecil luka akan membuat kita kecewa. tetapi, sebuah persahabatan akan selamanya bermakna."
rinduku padamu tak bisa pudar, kasihku padamu belum tercemar.

Apakah yang anda cari?

Monday, March 22, 2010

Surat buat Nadia.

Surat Buat Nadia
oleh  Amy Suzani Ainuddin, Pengkalan Cepa, Kelantan

Di petik dari: Majalah SBM september - Disember 2004.

NADIA, sewaktu kakak menulis surat ini, malam sudah pun larut. Masih ramai yang belum tidur waktu ini. Masing-masing dengan persoalannya. Yang belajar, tekun dengan buku. Yang berehat makan-makan di kantin bawah yang masih belum ditutup itu juga ramai. Malah ada juga yang melepaskan kebosanan dengan menyanyi atau memetik gitar mengikut irama yang mereka minati. Semuanya dengan telatah masing-masing, dik.

            Suasana menjelang peperiksaan di kampus ini memang selalu begitu, Nadia. Malam bukan lagi masa yang harus ditumpukan untuk menghayati mimpi-mimpi indah di dalam tidur semata-mata. Dan untuk itu, kakak juga harus akur pada keadaan ini. Malah sememangnya malam ini mata kakak masih belum mengantuk. Sedang untuk mengulang kaji pelajaran terasa begitu malas dan membosankan. Lalu kakak tulis surat ini buat Nadia. Semoga Nadia gembira menerimaanya.

           Apa khabar Nadia serta keluarga kita di sana? Kakak harap semuanya dalam kesejahteraan serta dalam lindungan Allah selalu. Buat kakak di sini usahlah dirisaukan. Pandai-pandailah kakak menjaga diri dan kesihatan kakak. Yang sering kakak bimbangkan sebenarnya ialah Nadia. Masihkah Nadia sakit-sakit lagi? Kakak harap tidak.

             Jagalah kesihatan Nadia baik-baik. Tahun depan Nadia bakal menduduki peperiksaan yang penting. Peperiksaan yang bakal menjanjikan tempat buat Nadia di menara gading ini. Jangan belajar hingga terlalu larut, Nadia. Itu tidak bagus untuk kesihatan dan matamu. Yakinlah kepada kebolehan dan kemampuan Nadia. Kakak percaya Nadia pasti akan berjaya.

             Nadia tahu, di sini, di menara yang kakak diami sekarang ada ramai pelajar yang nasibnya lebih malang daripada Nadia. Tetapi, mereka mampu belajar dengan baik, malah lebih baik daripada pelajar-pelajar biasa. Ada antara mereka yang langsung tidak dapat melihat keindahan alam ciptaan Tuhan ini. Dunia mereka gelap, Nadia. Mereka ke sana ke mari dengan berpandukan tongkat. Tetapi yang jelas, mereka adalah pelajar-pelajar cemerlang yang dibanggakan.

            Kakak tidak bohong, Nadia. Apa yang kakak ceritakan ini semuanya benar. Malah mereka kini sebenarnya telah menjadi teman-teman kakak yang akrab. Entah kenapa, setiap kali kakak terpandang mereka, kakak akan terkenangkan diri Nadia. Sekali gus kakak akan segera bersyukur kerana nasib yang menimpa Nadia tidak seburuk nasib yang menimpa mereka. Sekurang-kurangnya Nadia masih boleh melihat walaupun dengan sangat terbatas.

            Kali pertama kakak kenal dengan salah seorang daripada mereka ialah pada penghujung bulan Januari yang lalu. Dia sedang berjalan sendirian ke dewan kuliah. Kakak ikut perlahan di belakangnya. Sengaja kakak buat begitu kerana kakak mahu memerhatikan dia. Entah bagaimana tiba-tiba sewaktu hendak menuruni tangga, dia tersilap langkah. Dia terjatuh ke dalam longkang di tepi tangga itu.

              Ah! Sungguh kasihan kakak melihatnya, Nadia. Waktu itu kakak terkenang peristiwa semasa Nadia masih kecil dahulu. Nadia terjatuh semasa bermain-main. Badan Nadia luka. Dan kerana itu kakak telah dimarahi mama kerana dikatakan tidak mengawasi Nadia. Nadia tentu masih ingat kan?

          Dia bersusah payah untuk bangun semula. Tanpa kakak sedari, kakak sudah pun memegang tangannya, membantu dia bangun. Mujur dia tidak cedera. Dan yang lebih mengagumkan kakak ialah dia tetap tenang menghadapi situasi itu. Wajahnya yang lembut itu nampak begitu jernih dan tenang bagai tidak ada apa-apa yang telah terjadi kepadanya.

              “Terima kasih,” katanya sambil mahu terus berlalu dari situ.
             “Saya Najua. Saudara?” kakak cuba menghalang dia daripada terus pergi. Ingin sekali kakak mengenalinya dengan lebih dekat.

                  Seketika dia terdiam. Kakak tidak tahu kenapa? Mulanya kakak sangka dia tidak sudi menyambut salam perkenalan kakak. Tetapi akhirnya dia menjawab juga, “Saya Zahari. Tapi panggil saja Zahar.”

                Itulah perkenalan pertama kakak dengannya. Hari yang berlalu, kakak semakin kerap menemaninya. Malah kakak telah mendaftarkan diri untuk menjadi salah seorang pembaca sukarela kepada orang-orang buta di kampus ini. Mulanya terasa agak janggal membacakan buku untuk mereka. Tetapi semakin hari, kakak semakin senang melakukannya. Terasa satu kepuasan di hati kakak kerana dapat mencurahkan bakti kepada sesama manusia walaupun dalam keadaan yang sangat minimum.

              Begitulah Nadia. Di sini terdapat banyak kemudahan untuk mereka yang kurang bernasib baik. Dan kakak percaya, jika Nadia ke mari Nadia pasti akan dapat belajar dengan baik seperti mereka yang lain. Kalau Abang Zahari yang tidak dapat melihat itu lagikan boleh, ini pula Nadia yang masih dapat melihat.

               Ah, maaf Nadia. Kakak tidak bermaksud untuk membandingkan Nadia dengan sesiapa. Malah kakak juga tidak terniat untuk menilai Nadia seperti kakak menilai Abang Zahari yang buta itu. Kakak tahu Nadia tidak suka diperlakukan begitu. Dan sesungguhnya Nadia tidak buta, Nadia cuma tidak dapat melihat dengan baik. Kakak tidak pernah menganggap yang kakak mempunyai seorang adik yang buta. Percayalah Nadia.

               “Kawan-kawan ejek Nadia. Mereka kata Nadia buta Nadia tak dapat baca tulisan di papan hitam. Nadia...” begitu kakak ingat suatu hari Nadia pulang dari sekolah sambil menangis teresak-esak.

            Nadia ingat tak bagaimana mama dan kakak memujuk Nadia waktu itu? “Nadia tidak buta, sayang. Nadia mesti sabar. Tuhan akan membalas perbuatan orang-orang yang suka mengejek Nadia itu,” begitu kata mama.

            Dan Nadia memang senang dipujuk waktu itu. Sejurus kemudian, Nadia sudah berhenti menangis. Tetapi yang menangis selepas itu ialah mama. Kakak lihat mama menyapu matanya yang berkaca. Mama sedih mengenangkan nasib Nadia. Mama terlalu sayangkan Nadia.

             Malamnya, kakak dengar mama mengadu kepada papa. Mama kata dia mahu berhentikan saja Nadia dari sekolah. Mama tak sanggup melihat Nadia diejek terus-terusan. Mama tidak mahu anak mama dihina begitu. Dan yang jelas, papa dengan keras membantah. Papa mahu Nadia terus belajar, biar jadi orang yang pandai. Orang yang bijak. Papa mahu masa depan Nadia cerah.

           Syukurlah kerana Nadia akhirnya berjaya juga sampai ke tahap di mana Nadia berada sekarang. Tahap terakhir dalam dunia persekolahan. Selepas ini Nadia akan melangkah pula ke dunia kampus yang lebih mencabar. Sudahkah Nadia bersedia untuk itu?

               Nadia tidak perlu takut. Nadia telah membuktikan kepada semua orang bahawa Nadia dalam keadaan Nadia sekarang  mampu berjaya dalam pelajaran. Nadia memang anak yang pintar. Nadia ingat tak kata doktor dulu? Doktor kata Nadia tidak boleh belajar di sekolah biasa. Nadia mesti dihantar ke sekolah khas. Nadia mesti belajar braille. Mesti belajar sebagaimana orang-orang buta belajar.

            Tetapi mama enggan melepaskan Nadia pergi ke sekolah yang terletak jauh di Selatan itu. Mama tidak mahu Nadia jauh daripadanya. Mama tidak sanggup untuk berpisah dengan Nadia. Susah senang biarlah Nadia terus bersama mama. Dan Nadia telah membuktikan yang pendapat doktor itu salah. Seratus peratus salah. Tidakkah Nadia bangga dengan itu?

            Nadia tahu, kakak sering menceritakan hal Nadia kepada Abang Zahari. Maaf. Bukan kakak mengumpat Nadia. Tetapi sekadar menceritakan kisah Nadia. Kisah suka dan duka hidup sebagai seorang yang tidak dapat melihat keindahan alam ini sepenuhnya. Dan kata Abang Zahari, dia ingin sekali mengenali Nadia. Katanya lagi, dia kagum dengan Nadia. Kakak tidak tahu kenapa dia mesti kagum. Tetapi itulah yang diucapkannya.
Abang Zahari minta kakak sampaikan salamnya kepada Nadia. Kata Abang Zahari, dia mahu Nadia menjadi seorang yang tabah selalu. Dia tidak mahu Nadia menyesali takdir. Katanya, Nadia mesti belajar menerima kenyataan. Jangan mudah berputus asa dalam hidup.

              Sama sajakan Nadia? Apa yang dikatakan oleh Abang Zahari itu sama saja dengan apa yang mama serta kakak sering katakan kepada Nadia. Nadia mesti tabah. Kuat dalam menghadapi hidup kerana tidak ada kehidupan jika tidak ada ujian dan cabaran.

                Dan sesungguhnya kakak tahu yang Nadia memang seorang yang tabah. Kalau Nadia tidak tabah, barangkali Nadia tidak akan sampai ke tahap di mana Nadia berada sekarang. Cuma satu yang kakak lihat ialah Nadia sering benar menangis. Terlalu mudah menitiskan air mata. Pantang terusik sikit, Nadia pasti menangis.

              Entahlah ... barangkali itu sifat semula jadi Nadia. Tetapi sebolehnya Nadia jangan bersikap begitu. Air mata bukan jalan penyelesaian yang baik, dik. Banyakkanlah doa kepada Allah. Pasti Nadia akan diberi-Nya petunjuk dan ketenangan.

            Nadia, jika sesekali Nadia merasa begitu terasing dengan keadaan Nadia, atau sesekali jika Nadia dilanda kesedihan bila mengenangkan nasib diri Nadia, ingatlah bahawa sesungguhnya di dunia ini masih ramai lagi orang yang nasibnya lebih malang daripada Nadia. Yang hidup melarat tanpa ada sesiapa di sisi mereka. Dengan itu Nadia akan selalu bersyukur dengan pemberian Tuhan.

           Percayalah dik, Tuhan tidak akan melakukan sesuatu melainkan dengan menyelitkan hikmah di sebaliknya. Biar apa pun, Nadia masih tetap punya kakak, punya mama dan papa yang sentiasa mendoakan kesejahteraan Nadia, yang sentiasa mahu melihat Nadia bahagia dalam hidup.

             Justeru itu Nadia, Nadia mesti sentiasa menghormati mama dan papa. Jangan mudah mengambil hati dengan kekerasan sikap papa. Papa memang tegas orangnya. Tetapi di sebalik itu papa adalah seorang ayah yang penyayang. Nadia pun tahu bukan? Papa mahu mendidik Nadia menjadi seorang anak yang bisa berdikari. Papa tidak mahu mendidik Nadia menjadi seorang yang terlalu mengharapkan bantuan orang lain. Itu semua untuk kebaikan Nadia sendiri.

             Dan Nadia, jika sesekali pula mama menghalang Nadia daripada melakukan sesuatu, meskipun yang Nadia lakukan itu bukan satu kesalahan, janganlah Nadia mengambil hati. Bukan mama bencikan Nadia. Tetapi tidak mahu melihat Nadia tercedera. Mama sangat mementingkan keselamatan Nadia walaupun kakak akui sesekali sikap mama itu seperti mengongkong hidup Nadia. Bersabarlah dik. Percayalah bahawa bagi mama tidak ada yang lebih penting selain daripada keselamatan Nadia. Mama terlalu menyayangi Nadia.

            “Tak ada siapa yang faham keadaan Nadia, kak. Nadia hidup di antara dua keadaan. Nadia tidak buta. Tapi Nadia juga bukan sempurna,” kakak masih ingat kata-kata yang pernah Nadia ucapkan kepada kakak setahun yang lalu. Masih segar dalam ingatan kakak bagaimana air mata Nadia tergenang sewaktu Nadia mengucapkannya.

                   Tahukah Nadia betapa resahnya hati kakak waktu itu? Kakak tidak tahu bagaimana untuk membantu Nadia dengan persoalan yang Nadia kemukakan itu. Yang dapat kakak katakan adalah sesuatu yang sudah sering kakak ucapkan sebelumnya. Bersabarlah. Tuhan menyayangi orang yang sabar. Barangkali Nadia sudah jemu dengan kata-kata begitu. Namun hanya itulah yang berdaya kakak ucapkan meskipun ia tidak dapat menghapuskan air mata dan kesedihan Nadia.

            Memang dik. Memang sukar untuk memahami dunia orang lain jika kita tidak benar-benar hadir di dalamnya. Kakak, mama dan papa barangkali hanya dapat melihat apa yang Nadia alami. Namun tentu tidak akan sama dengan Nadia yang menanggungnya. Kerana itu maafkanlah kami, dik. Kami tidak tahu bagaimana untuk bertindak agar hati Nadia sentiasa terjaga. Telah kami usahakan. Tetapi sesekali kami masih juga membuat Nadia menangis dan bersedih.

             Paling akhir kakak melihat Nadia menangis di hadapan kakak ialah beberapa minggu sebelum kakak bertolak ke kampus dahulu. Waktu itu Nadia baru pulang dari menemui seorang pakar mata di hospital. Masuk saja ke bilik Nadia terus menangis tanpa kakak tahu puncanya.

             Dan seperti selalu, kakak tidak pernah, malah tidak akan senang setiap kali melihat Nadia menangis. Terasa air mata kakak juga mahu mengalir. Namun kakak tahankan. Kakak perlu kuat jika kakak mahu melihat Nadia tabah. Itulah pegangan kakak yang baru sekarang kakak nyatakan kepada Nadia. Kerana itulah barangkali, Nadia hampir tidak pernah melihat kakak menangis di hadapan Nadia.
“Nadia dengar doktor beritahu mama, suatu hari mata Nadia diramalkan akan menjadi buta sepenuhnya. Nadia takut kak.” Akhirnya Nadia menceritakan juga setelah puas kakak mendesak.

            Saat itu, hampir sahaja kakak hilang kekuatan. Kakak tidak percaya itu yang diucapkan oleh doktor. Tetapi masakan Nadia bergurau dalam perkara yang begini. Saat itulah kakak pertama kali menitiskan air mata di hadapan Nadia. Kakak benar-benar sedih waktu itu.

          Namun kemudian kakak sedar itu cuma satu ramalan. Nadia ingat apa yang kakak katakana kepada Nadia? Kakak kata, segala-galanya kuasa Tuhan. Doktor cuma boleh meramalkan namun Tuhanlah yang lebih bijak untuk menentukannya.

            Kerana itu, berdoalah semoga apa yang diramalkan itu tidak akan menjadi nyata. Malah kalaupun nanti Tuhan telah menyuratkan nasib Nadia harus sampai begitu, terimalah dengan segala kerelaan dan kesyukuran. Tidak ada antara kita yang boleh menahan kehendak takdir.

             Kakak masih ingat, lebih seminggu lamanya Nadia seperti seorang yang telah hilang semangat untuk meneruskan hidup. Nadia jadi muram dan sangat pendiam. Tetapi kemudian, entah kuasa apa yang telah membuatkan Nadia hidup kembali, kakak sendiri tidak tahu. Mungkin Tuhan telah memperkenankan doa kakak, mama dan juga papa untuk melihat Nadia kembali seperti biasa.

              Syukurlah kerana Nadia sekarang telah menjadi lebih tabah. Nadia telah lebih berani untuk menghadapi segala kemungkinan masa depan Nadia. Kakak kagum, Nadia. Kakak benar-benar bangga. Barangkali kalau perkara seperti itu terjadi ke atas kakak, kakak sendiri tidak akan dapat menjadi setabah Nadia.

               Ah! Sudahlah Nadia. Usahlah dibebankan fikiran Nadia dengan perkara yang cuma satu ramalan itu. Berserah sahaja kepada Tuhan. Dia yang lebih mengetahui akan segala sesuatu. Yang harus Nadia ingat sekarang ialah biar bagaimanapun keadaan Nadia, kakak, mama dan juga papa akan tetap menyayangi Nadia. Kasih sayang kami kepada Nadia tidak mungkin akan luntur.

              Tumpukanlah fikiran Nadia kepada pekara-perkara yang positif. Optimis dan yakinlah pada apa yang Nadia miliki. Tetapi jangan sekali-kali berbuat sesuatu yang di luar batas kemampuan fizikal Nadia. Itu pesan kakak, Nadia. Harapan kakak terlalu tinggi kepada Nadia. Suatu hari kakak mahu melihat Nadia menjejakkan kaki ke menara gading ini. Bukankah itu juga cita-cita Nadia?

              Oh ya, Nadia. Hampir terlupa kakak untuk memberitahu Nadia suatu perkara. Hujung bulan depan apabila peperiksaan kakak berakhir, kakak akan pulang menghabiskan cuti di kampung. Sudah lama benar kakak tidak pulang, kakak sudah terlalu rindu kepada semua yang ada di rumah. Rindu kepada mama dan papa. Lebih rindu lagi kepada Nadia.

             Tentu Nadia gembira. Nanti bolehlah kita bercerita panjang. Bolehlah kita bersiar-siar di tepi pantai seperti yang selalu kita lakukan dulu. Tidak sabar benar rasanya kakak untuk pulang segera.

             Tetapi, paling penting Nadia, kepulangan kakak kali ini membawa sesuatu. Sesuatu yang bukan sahaja untuk Nadia, tetapi juga untuk mama dan papa. Kakak mahu memperkenalkan seseorang kepada keluarga kita. Nadia tahu siapa? Dia adalah bakal ipar Nadia. Bagaimana? Kakak harap Nadia gembira kerana akan menerima seorang abang.

             Nadia mahu tahu orangnya bagaimana? Orangnya baik. Beriman. Perwatakannya lembut dan sopan. Kulitnya putih kuning. Rambutnya lurus. Barangkali tidak setampan mana. Tetapi yang pasti, kakak rasa dia cukup sesuai dengan kakak. Kakak yakin pilihan kakak tidak salah.

            Nadia jangan bimbang. Dia pasti akan dapat menerima Nadia seperti adiknya sendiri. Nadia pasti tidak akan merasa asing di sisinya. Dia akan memahami Nadia. Malah barangkali lebih daripada kakak memahami Nadia. Percayalah, sayang. Nadia pasti akan senang padanya.

                 Cuma yang kakak bimbang sekarang ialah penerimaan mama dan papa. Dapatkah mereka menerima dia sebagai ahli keluarga kita? Sesekali kakak seperti yakin yang mama dan papa akan merestui pilihan kakak. Tetapi sesekali yang lain ada debar-debar kencang di dada kakak yang menjadikan kakak teramat takut.

               Doakanlah kakak, dik. Doakanlah semoga semuanya berjalan lancar nanti. Dia juga berhak untuk disayangi, Nadia. Dia juga berhak untuk suatu hari bergelar suami. Kita tidak dapat menafikan haknya. Dan dia sebenarnya mampu menjadi seorang suami yang baik. Yang dapat  memimpin kakak ke jalan kebaikan. Kakak yakin itu.

               Nadia, dia adalah Zahari. Abang Zahari yang kakak ceritakan kepada Nadia itu. Semoga Nadia tidak terkejut, dan pinta kakak, rahsiakan dulu perkara ini daripada pengetahuan mama dan papa.

                     Biarlah masa yang menentukan segalanya

No comments: