Sepucuk Surat Cinta
Oleh Amy Suzani Ainuddin, Pengkalan Cepa, Kelantan
Dipetik dari: Majalah SBM Januari-April 2005
HARUSKAH warkahnya ini kubalas? Entah berapa kali sudah soalan itu kuulang. Tapi anehnya, semakin kerap aku bertanya aku menjadi semakin tidak pasti. Sungguh aku kini sudah tidak tahu keputusan apakah yang paling baik untuk kuambil.
Perlahan-lahan aku mencapai kembali warkah biru yang kuterima pagi tadi. Warkah itu datangnya daripada abang Haz. Seorang penulis buta yang sangat kukagumi bakatnya. Aku sendiri sudah tidak tahu berapa kali warkah itu telah kubaca. Dan kali ini aku mengulanginya lagi.
“Ida adikku sayang; sebelum coretan pena ini berbicara lebih jauh lagi, terlebih dahulu aku ingin kau ketahui bahawa sesungguhnya tiada penyesalan yang harus ditangisi, kerana kusangkakan panas hingga ke petang rupa-rupanya hujan kini turun di tengah hari.”
Terasa sayu benar hatiku membaca perenggan permulaan warkah abang Haz. Kiranya dia benar-benar kecewa dengan tindakanku. Ya, tak pernah kuduga bagaimana persahabatan yang begitu erat terjalin tiba-tiba kini harus terurai. Detik-detik pertemuan yang kemudiannya membuahkan persahabatan itu masih segar dalam ingatanku. Aku sendiri yang memulakannya dan kini akulah juga yang mengakhirinya. Oh! Apakah aku ini sungguhnya kejam?
Hari itu aku pulang dari kelas tambahan bersama Zila temanku. Ketika sedang menunggu bas kami dipertemukan dengan abang Haz yang juga sedang menunggu bas bersama seorang rakannya. Di situlah pertemuan yang bertaut atas nama takdir itu kemudiannya membuahkan perkenalan. Dan perkenalan itu lalu membuahkan pula persahabatan yang erat.
Hari-hari yang berlalu kian memesrakan kami. Aku sebenarnya sangat simpati pada nasib yang menimpa abang Haz. Sejak lebih sepuluh tahun kini, abang Haz melalui hidupnya dalam dunia yang serba hitam dan gelap. Kata abang Haz penglihatannya hilang setelah suatu hari terlibat dalam satu kemalangan jalan raya.
Namun abang Haz ternyata punya keistimewaannya sendiri. Abang Haz seorang penulis yang berbakat. Lama sebelum aku mengenali abang Haz, aku sebenarnya telah pun mengikuti karya-karyanya. Malah aku cukup meminati karya-karya abang Haz. Mungkin juga kerana itulah aku senang bersahabat dengan abang Haz.
Selepas pertemuan itu, persahabatan kami terjalin hanya melalui warkah-warkah yang saban minggu bertukar ganti. Namun itu tidak pula persahabatan kami daripada memutikkan bunga-bunga kemesraan yang meriangkan. Malah aku sendiri sudah menganggap abang Haz tak ubah seperti abang kandungku.
‘Ida, sungguh pun betapa berat hatiku untuk meninggalkan dirimu, tapi apalah yang hendak dikatakan lagi. Akhirnya perhubungan kita diibaratkan sebuah kapal yang telah tenggelam di tengah-tengah samudera. Apalah dayaku, pengayuh yang kupegang telah hanyut dibawa arus yang deras.”
“Dik, tinggallah sayang. Usahlah diriku ini kau tanyakan lagi. Aku sedar siapa aku yang sebenarnya. Kalau dulu aku sentiasa mengharapkan seteguk kasih daripadamu. Kini ternyata yang diriku telah jatuh ke lembah kecewa yang rebah bangunnya aku sendiri akan menghadapi.”
Ah! Kiranya abang Haz telah menyalah tafsirkan segala kemesraan dan kasih sayang yang kuberikan padanya selama ini. Aku sungguh tak menduga betapa persahabatan yang kubina atas dasar keikhlasan itu harus berubah demikian rupa.
“Kau jangan rapat sangat dengan abang Haz tu, Ida. Dia ada simpan hati pada kau. Kau tahu tak?” Beritahu Zila padaku suatu petang.
Mulanya aku enggan mempercayai kata-kata Zila. Masakan abang Haz ada menyimpan hati terhadapku. Mustahil barangkali Zila telah silap membuat tafsiran. Tapi kiranya tafsiran akulah yang silap. Seminggu sesudah Zila memberitahuku tentang hal itu aku menerima sepucuk surat daripada abang Haz. Sepucuk surat cinta yang terlalu indah bahasanya. Ketika itulah aku mula menyedari kebenaran kata-kata Zila.
“Ida, perhubungan kita tidak panjang. Aku percaya kau tentu senang dengan keputusan yang kulafazkan dalam warkahku yang terakhir ini. Aku sedar kau seorang yang cantik dan datang daripada keluarga yang berada. Sedang aku, hanyalah seorang penulis buta yang tak punya apa-apa. Ya, mana mungkin pipit boleh terbang bersama enggang.”
Benar abang Haz. Perhubungan kita tidak panjang. Tapi aku sesungguhnya tak pernah pasti apakah aku bahagia dengan perpisahan ini. Saat aku menerima sepucuk surat cintamu dulu aku jadi cukup serba salah. Aku bagaikan telah kehilangan arah dan tidak tahu lagi apa yang harus kulakukan.
“Tak usah layan, Ida. Lebih baik kau diamkan saja diri kau. Jangan balas lagi surat-suratnya. Kalau kau layan nanti panjang pula ceritanya,” demikian kata Zila sewaktu aku meminta pandangannya.
Entah mengapa, pandangan Zila itu kuterima bulat-bulat. Walaupun kemudian berpucuk-pucuk surat abang Haz kirimkan padaku, aku tetap menyepikan diri. Kukira tindakanku itu akan akhirnya membuat abang Haz melupakan aku. Jauh di dalam hati aku berdoa semoga kesepianku itu akan dengan sendirinya memberikan jawapan kepada abang Haz. Sesungguhnya aku tak ingin melihat abang Haz terluka. Tapi... Oh!
Kurenung lagi warkah abang Haz yang ditaipnya dengan cukup kemas dan terang itu;
“Adikku, sepuluh jari kususun memohon kemaafan daripadamu. Maafkan aku kerana mencintaimu. Biarlah luka di hati ini kupendam sendiri. Rasanya di dunia ini memang sudah tidak ada lagi insan yang berhati mulia dan sudi membalut kelukaanku. Setinggi-tinggi gunung Ledang tinggi lagi sayangku terhadapmu, dik.”
“Kini segala impianku untuk hidup bahagia di sampingmu telah hancur berkecai. Tidak pernah kuduga segalanya ini boleh berlaku. Justeru kau selama ini terlalu baik padaku. Kalaulah aku ini tidak cacat seperti pemuda lain, aku yakin kau pasti dapat menerimaku. Tapi... apalah daya diriku dik. Takdir telah menyuratkan segalanya ke atasku.’
Oh, abang Haz! Maafkanlah aku! Aku tak pernah bermaksud untuk menghina kecacatanmu. Seharusnya kau ketahui bahawa aku kini belum bersedia untuk menjerumuskan diriku ke jurang cinta. Tidak selagi aku belum mencapai cita-citaku! Rasanya aku masih terlalu muda untuk bercinta, bang.
Barangkali semua ini berpunca daripada kesilapanku sendiri. Aku yang tidak bijak mengambil tindakan. Kenapalah aku harus menyepi hingga membuat abang Haz merasakan yang dirinya terlalu rendah? Kenapa aku tidak berterus-terang saja? Namun apalah ertinya penyesalan kini. Yang penting adalah warkah abang Haz yang terbaru ini. Haruskah ia kubalas? Terasa persoalan itu kian menghimpit perasaan dan fikiranku.
“Ida, nampaknya cukuplah di sini saja bicaraku buatmu. Sebagai penyudah kata, selamat tinggal adikku sayang. Maafkan aku seandainya bicara dalam warkahku ini menyakiti hatimu. Dari jauh aku mendoakan agar suatu hari kau akan dipertemukan dengan seorang suami yang baik. Bahagialah dirimu, dik. Dan usahlah diriku ini. Kau kenangi lagi.”
Warkah abang Haz kulipat perlahan-lahan dan kumasukkan ke dalam sampulnya. Aku mahu melupakan saja warkah itu. Namun hatiku benar-benar dilanda kepiluan. Bicara-bicara abang Haz dalam warkahnya itu seolah-olah bergema di cuping telingaku.
Haruskah warkah itu kubalas? Perlukah aku memujuk abang Haz untuk menerima kenyataan? Perlukah aku menjelaskan segalanya kepada abang Haz? Akan mengertikah abang Haz walaupun nanti aku berterus-terang dengannya?
Tidakkah nanti abang Haz akan mengatakan yang aku sengaja mereka-reka alasan? Dan kalaupun aku terus menyepi, apakah abang Haz akan terus dengan kekecewaannya? Putus asakah dia?
Pertanyaan demi pertanyaan bergema di ruang fikirku. Namun segala pertanyaan itu masih belum mampu kusediakan jawapannya. Terasa aku kini berada dalam situasi serba salah yang cukup menekan perasaanku.
Sejak mengenali abang Haz, rasanya aku sudah cukup masak dengan gerak tingkahnya. Dia sesungguhnya seorang pemuda yang baik. Malah abang Haz juga sangat perasa orangnya. Hatinya mudah tersinggung meski kerana satu perkara kecil atau sepatah perkataan cuma. Justeru itulah aku selalu berusaha menjaga hati abang Haz. Tapi... kiranya kemesraan yang kuberikan padanya kini telah memerangkap diriku sendiri?
Begitu pun, aku juga sesungguhnya tak ingin melihat kemesraan kami berakhir sampai di sini. Kalau boleh aku mahu abang Haz terus menjadi sahabatku. Aku selalu percaya bahawa abang Haz dan mereka yang senasib dengannya adalah manusia istimewa. Aku selalu yakin bahawa yang gelap hanyalah penglihatan mereka. Sedang hati mereka jauh lebih terang daripada hati mereka yang sempurna penglihatannya.
Itulah kebesaran dan kekuasaan Tuhan. Dan abang Haz telah membuktikan itu kepadaku. Namun dalam keadaan sekarang terus mendampingi abang Haz bererti terus memberikan harapan cinta buatnya. Sedangkan cinta itu sesungguhnya tak pernah berputik di hatiku. Lalu bagaimana lagi?
Akhirnya aku nekad. Aku nekad untuk terus menyepikan diriku. Rasanya aku tak perlu menjelaskan apa-apa kepada abang Haz. Perlu apa kujelaskan kalau ia tak akan mengubah keadaan. Biarlah! Biarlah abang Haz menganggap apa saja terhadapku. Soalnya aku jujur pada diriku sendiri. Dan Tuhan maha mengetahui kejujuranku itu. Aku tak perlu membalas sepucuk surat cinta abang Haz justeru aku sebenarnya tak pernah tahu apa itu cinta.
Akan kuasuh hati untuk melupakan segalanya. Melupakannya bukan kerana aku benci atau memandang hina pada abang Haz. Tetapi kerana ada sesuatu yang lebih penting yang perlu kufikir dan kuperjuangkan kini. Di depanku ada lautan cita-cita yang harus kuseberangi dengan segala dayaku. Di depanku juga ada segunung harapan keluarga yang sering mendoakan kejayaanku. Aku takut aku akan kandas andai fikiran dan perasaanku bercabang.
Terasa fikiranku benar-benar lega setelah berjaya membuat keputusan. Aku bangun meninggalkan bilikku. Sudah hampir dua jam aku berkurung. Kepalaku mula terasa berat. Perutku pula mula menyanyikan irama keroncongnya. Sejak pulang dari sekolah tadi, belum setitik air pun masuk ke kerongkongku. Di depan bilikku, aku terserempak dengan ibu yang baru keluar dari kamar mandi.
“Baru habis belajar, Ida?” Ibu bertanya sebaik melihatku.
Aku sekadar mengangguk. Tak tahu aku apa yang patut kujawab lagi selain hanya mengangguk.
“Kalau ya pun nak belajar, makanlah dulu. Ini tidak. Balik saja dari sekolah terus berkurung di bilik. Nanti sakit, Ida juga yang susah,” Ibu memulakan leterannya. Sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan ibu bila setiap kali melihat aku lewat makan. Sungguhlah ibu memang sentiasa mengambil berat tentang diriku.
Aku terus membisu. Malas aku hendak melayan leteran ibu. Pun, hati kecilku seperti mengutuk diriku sendiri. Rasanya aku telah berdosa pada ibu. Betapa tidak ibu menaruh sepenuh kepercayaan agar aku belajar. Sedangkan selama hampir dua jam berkurung di bilik tadi tidak sebaris nota pun yang kubaca. Tidak sebuah buku pun yang kusentuh. Ibu, maafkanlah aku! Aku berjanji tak akan mengulanginya lagi.
Baru aku akan menyendukkan nasi ke pinggan, tiba-tiba telefon di ruang tamu berbunyi nyaring. Aku bergegas menjawabnya.
“Hello! Itu Ida, ya?” Kedengaran suara di hujung gagang. Aku cukup kenal dengan suara itu. Suara abang Azmi, rakan baik abang Haz. Apa pula halnya dia telefon aku? Jantungku mula berdegup kencang.
“Ya, Ida. Ada apa abang Azmi telefon Ida ni?” Tanyaku penuh rasa tidak sabar. Sedang hati terus berdebar kencang. Semacam ada sesuatu yang tidak baik yang akan abang Azmi sampaikan padaku.
“Abang cuma nak sampaikan pesan abang Haz. Dia nak jumpa Ida petang nanti. Pukul lima di restoran Anggerik,” beritahu abang Azmi tanpa berlengah.
Aku rasa seluruh anggotaku jadi lemah mendengar kata-kata abang Azmi itu. Gagang telefon hampir terlepas dari tanganku. Ah! Perlu apa lagi pertemuan? Mestikah cerita cinta ini harus disambung babaknya sedang baru sebentar tadi aku telah nekad untuk meletakkan noktah padanya?
“Datang ya, Ida. Jangan tidak-tidak. Abang Haz benar-benar berharap tu. Ada perkara mustahak katanya. Kasihan dia Ida, kalaupun Ida tak boleh terima dia janganlah buang dia sejauh itu,” suara abang Azmi masih mampu kutangkap. Nadanya penuh mengharap. Atau mungkin juga penuh mendesak.
“Tengoklah nanti,” balasku ringkas. Aku segera meletakkan gagang telefon tanpa menunggu untuk mendengar apa-apa lagi yang mungkin akan abang Azmi katakan. Entah kenapa aku jadi takut untuk mendengarnya.
Spontan aku jadi terduduk di kerusi ruang tamu itu. Perutku yang tadinya lapar terasa kenyang tiba-tiba. Namun yang kian memberat adalah fikiranku.
Haruskah aku menemui abang Haz? Aku kembali dilanda serba salah. Oh! Kenapalah aku mesti terlibat dalam semua ini?
Saat-saat begini rasanya aku seperti menyesali pertemuan kami dulu. Namun perlu apa nak dikesalkan sekarang!
Di dapur, suara leteran ibu menyuruhku makan mula kedengaran. Tapi aku sudah melangkah kembali ke kamarku. Ibu, untuk kedua kalinya maafkan aku!
Tuesday, February 9, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment