Sayang Anak Mak
Oleh:
Zabariah bt Zakaria, Selama, Perak
Dipetik dari: Majalah SBM May-ogos 2006
Kepala gas kupusingkan ke kanan. Serentak dengan itu tersembur api membentuk satu bulatan dan kemudian bersatu. Nyalaan itu tak ubah seperti unggun api kecil. Sekilas bola mataku memandang bahan memasak yang tersedia di atas meja. Setelah minyak yang sesudu besar itu kelihatan sudah panas, aku mula menumis. Rempah giling yang kubeli di pasar tadi kumasukkan setelah bawang yang ditumis kelihatan kekuningan. Sementara menunggu rempah itu mengeluarkan bau yang menyelerakan, aku membasuh beberapa bekas kotor di dalam singki. Hidangan perlu disiapkan. Amirul suamiku dan anak-anakku akan pulang dan bersama-sama makan tengah hari.
“Amir...” Nama itu tiba-tiba terpancul dalam ingatan. Cepat-cepat aku ke pintu antara dapur dengan ruang tamu.
Kelihatan Amir duduk di atas sofa sendirian. Melepas pandangan jauh ke hadapan. Rancangan kartun Doremon yang sedang ditayangkan di kaca televisyen menjadi teman berhibur. Sesekali Amir ketawa kecil. Mungkin geli hati dengan gelagat watak-watak dalam kartun itu. Amir begitu manis dipandang setelah aku mandikan dan kupakaikan baju. Aku tersenyum dan kembali ke dapur untuk memasak. Amir adalah anak bongsu yang amat kusayangi. Begitu juga dengan suami. Aku dan suami begitu gembira menyambut kelahiran Amir lapan tahun yang lalu. Amirlah satu-satunya anak lelaki tunggalku. Seorang kakak Amir, Amira belajar dalam tingkatan satu manakala Amiza dalam darjah lima.
“Anak encik terpaksa saya tahan kerana suhu badannya melebihi tahap normal”
“Baiklah doktor lakukanlah yang terbaik untuk anak saya.” balas Amirul perlahan.
Amir dimasukkan ke hospital selama seminggu kerana demam panas luar biasa. Azira ibu yang sebulan melahirkan anak lelaki itu mudi dan tidak henti-henti membuang air mata di samping bayi comel itu. Azira tidak berdaya melihat keadaan bayi itu apabila tiba-tiba sahaja kekejangan diserang sawan. Setelah diberi suntikan dan dimasukkan air, keadaan Amir semakin pulih dan kemudian dibenarkan doktor pulang setelah seminggu dirawat.
“krinnngg....krinnngg....” Deringan telefon berbunyi menjerit minta diangkat.
Aku bergegas ke ruang tamu sebaik sahaja menutup api gulai ikan yang sudah masak. Mataku sempat menjeling ke arah Amir yang asyik ‘menonton’.
“Hello” Bicaraku sepatah sebaik sahaja gagang kemas diletakkan pada mulut.
“Assalamualaikum” Terdengar suara garau lelaki memberi salam di hujung talian.
“Waalaikummussalam” Jawabku sambil ligat meneka pemilik suara yang pernah kudengar itu.
“Puan Azira ya, Cikgu Hamzah bercakap di sini”
Aku terkedu apabila mendengar nama itu. Lelaki seorang pendidik yang mengajar di sekolah Amiza yang juga salah seorang penduduk di kawasan itu tidak pernah berputus asa.
“Puan..puan..masih di situ?”
“Ya cikgu saya masih di sini. Ada apa cikgu?” Aku cuba mengawal agar perasaan tidak senangku dihidu oleh lelaki berkaca mata itu.
“Petang nanti lebih kurang pukul 3.00, pegawai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat ingin berjumpa dengan puan suami isteri. Boleh?”
“Baiklah” Jawabku sepatah.
Salam daripada Cikgu Hamzah mengakhiri perbualan itu.
Aku memandang penuh kasih Amir yang mula gelisah di sofa. Kupandang lama-lama wajah comel itu. Tiba-tiba tanpa kusedari titik jernih mengalir di pipiku. Aku cepat-cepat menyapu dengan jari kedua-dua belah tanganku. Tiba-tiba telefon menjerit lagi. Aku terkejut dan segera mencapai gagang telefon.
“Ira abang ni. Ira tengah buat apa tadi?” Suara lelaki yang paling dicintai itu mereda ombak duka yang menghempas pantai perasaan.
“Ira... Ira tengah masak bang. Abang di mana? Tak balik makan tengah hari ke?” Suara lembutku melenggok manja.
“Tengah masak. Tentu sedap. Abang balik sekarang ya. Tunggu kita makan bersama-sama dengan anak-anak.” Penjelasan itu membuatkan aku tersenyum.
Aku melangkah ke dapur mengemas dan sibuk menghidangkan makanan yang baru dimasak.
Gulai ikan, daging kicap, sambal tumis udang, sup sayur dan beberapa ekor ikan goreng, siap terhidang. Amiza di sebelah kiriku manakala Amira di sebelah kanan Amirul. Amir anak kesayangan kami suami isteri di tengah-tengah antara aku dan Amirul. Sepotong doa dibaca oleh Amirul sebelum menjamah.
“Amir mak suap ya” Beritahuku.
“Tak nak! Amir nak suap sendiri.” Minta Amir manja.
“Tak apalah, mak suap. Senang sikit.” Pujukku.
Entah kenapa semenjak akhir-akhir ini Amir selalu minta untuk melakukan sendiri. Amir diam. Air mukanya berubah.
“Biarlah Ira. Biar Amir suap sendiri. Amir dah besar dah boleh buat sendiri” Amirul bersuara setelah keadaan sepi seketika.
Amirul menjeling ke arahku, memberi isyarat membiarkan Amir menyuap sendiri nasi tengah hari itu. Amirul meletakan pinggan di hadapan Amir. Amir tersenyum apabila menyentuh pinggan yang diletakan di hadapannya. Aku menyendok nasi ke pingannya dan mencubit isi ikan dan sedikit sup sayur ke dalam pinggan Amir.
“Makan Mir, mak dah letakan lauk” Beritahuku.
Jari jemari halus Amir mula menyentuh pinggannya. Aku cukup tersentuh melihat Amir menyuapkan nasi ke mulut. Menguis-nguis nasi dan mencampurkan lauk lalu disuap lagi. Air mataku sekali lagi tumpah. Tak sanggup melihat. Amirul merenungku lama dan kemudian menjeling ke arah Amiza dan Amira. Bimbang kalau-kalau anak-anak gadisnya itu menyedari perubahan pada ibu mereka. Kedua-dua anak itu asyik makan tanpa sedar gelodak yang menyerang hati ibu mereka.
“Abang. Tadi Cikgu Hamzah telefon. Dia beritahu pegawai dari jabatan kebajikan masyarakat nak datang petang ni lebih kurang pukul 3.00.” Aku memberitahu. Beberapa saat aku menanti tindak balasnya. Namun Amirul tidak memberi apa-apa reaksi dengan kenyataan itu. Sekadar mengangguk-angguk kepala sahaja.
“Amir, meh mak basuhkan tangan”
“Tak nak. Amir nak pergi basuh sendiri dekat singki.” Aku terdiam lagi.
Amirul mengangguk kecil tanda mengikut. Amir bangun dari kerusi dan membawa pinggannya bergerak ke dapur. Kakinya melangkah perlahan dan teragak-agak. Aku memandang ke arah lain kerana tidak sanggup melihat.
Amir seorang kanak-kanak lincah. Mulutnya tak henti-henti berceloteh membuatkan ramai yang suka padanya. Cukup sahaja diberikan sebuah bola kecil. Amir akan riang bermain bersama-sama kakaknya. Kusangkakan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengahari. Keadaan Amir berubah ketika berusia dua tahun. Amir tidak seriang dulu bermain. Malah Amir banyak menangis dan berdiam sahaja. Merengek-rengek minta ibu dan ayah sentiasa bersamanya. Suatu perkara yang kuperhatikan. Amir mula melihat dengan jarak yang dekat. Kerap terlanggar dan jatuh ketika berjalan. Malah apabila aku menghulurkan botol susu yang diminta Amir tidak segera menyambut seperti dahulu. Aku dan suami resah.
Suatu hari kami membawa Amir ke hospital untuk menerima rawatan. Doktor mengambil masa untuk mengenal pasti keadaan Amir. Sehinggalah suatu hari doktor memberi tahu Amir mengalami masalah penglihatan yang dipanggil ‘gloucoma’. Doktor memberitahu bahawa Amir akan menerima risiko untuk menjadi buta. Betapa remuknya dan berkecainya hati ini mendengar penjelasan itu. Pagi, petang, siang, malam aku tidak senang duduk. Susah hati memikirkan masa depan Amir.
Seperti yang dijangkakan, Amir akhirnya menjadi buta. Meskipun begitu kasih dan sayangku padanya tidak pernah berubah malah semakin bertambah. Setiap hari aku akan pastikan keadaannya terurus. Aku akan memandikan, memakaikan baju, menyuapkan makanan malah apa yang diminta dipenuhi. Aku tidak akan biarkan Amir keseorangan apatah lagi untuk berpisah.
“Amir perlu menerima pendidikan seperti kanak-kanak lain. Saya yakin Amir boleh berjaya dalam pendidikan paling tidak pun apabila Amir dewasa nanti Amir mampu berdikari tanpa bergantung harap pada orang lain. Kami sedia membantu menguruskan pendaftaran dan seterusnya memastikan Amir bersekolah dengan baik.”
“Amir tidak boleh berpisah dengan kami. Tidak. Kami akan menjaganya. Kami akan pastikan keadaannya baik. Tegasku sambil memeluk Amir erat.
“Jangan begitu puan. Kalau puan suami isteri betul sayangkan Amir, Amir perlu diberi peluang bersekolah. Sekurang-kurangnya bila puan dan encik sudah tiada lagi di dunia ini, Amir mampu hidup sendiri dan tidak perlu menyusahkan orang lain. Saya tahu puan dan encik punya anak-anak lain yang boleh diharap menjaga Amir. Tapi anak-anak lain perempuan, suatu hari akan mendirikan rumah tangga. Kalau mereka sudi menjaga Amir sekalipun bagaimana dengan suami mereka nanti. Amir akan berterima kasih dengan puan dan encik jika Amir diberi peluang bersekolah, bertemu dan bermain dengan kanak-kanak lain dan dapat merasai kehidupan seperti orang lain.”
“Tidak. Tidak.” Aku mula menangis.
“Beginilah puan dan encik, saya cadangkan puan suami isteri ikut kami melawat sekolah dan pusat-pusat latihan orang-orang macam Amir. Mungkin puan dan encik akan yakin dan faham tentang keperluan masa depan Amir.”
“Baiklah kami bersetuju.” Jawab suamiku yang dari tadi mendiamkan diri. Aku sendiri tidak tahu apa yang telah menyebabkan suamiku mengambil keputusan mengikut cadangan dua pegawai yang datang ke rumah bersama-sama Cikgu Hamzah petang itu. Hatiku tidak henti-henti memprotes tindakan suamiku itu. Setinggi gunung sekalipun protesku, aku perlu mengikut Amirul. Amirul suamiku. Aku isterinya tidak boleh membantah.
Pagi itu kami bertiga anak-beranak bersama-sama dua orang pegawai ke sekolah rendah pendidikan khas. Kami disambut oleh guru besar sekolah itu. Seorang perempuan yang berbadan agak gempal. Sekolah itu cantik sekali. Lengkap dengan taman permainan dan keperluan-keperluan lain. Sekolah itu juga menyediakan asrama bagi kanak-kanak seperti Amir.
Kami dibawa ke kawasan kelas. Telingaku menangkap suara kanak-kanak belajar. Riuh rendah. Setiap kelas tidak ramai muridnya. Antara enam hingga 15 orang sahaja. Cikgu-cikgu yang mengajar pula kelihatan tekun mengajar serta sabar melayan kerenah murid-murid. Amir yang di pimpinku berjalan di sebelah kelihatan takut-takut. Sesekali jariku mengusap rambut Amir penuh kasih.
Kami dibawa masuk ke sebuah kelas yang sedang asyik bermain dengan permainan yang dibekalkan.
“Baik semua sekarang kita ada pelawat. Kena buat apa?” Suara nyaring itu membuatkan sekumpulan kanak-kanak berhenti bermain. Mereka segera bangun dan salah seorang memberi ucapan selamat diikuti oleh yang lain. Kemudiannya Amir dibawa oleh guru besar itu berjumpa dengan kanak-kanak itu. Mereka bersalaman.
“Seronok sekolah di sini?” Tanyaku pada seorang kanak-kanak perempuan yang hampir denganku.
“Seronok. Macam-macam ada. Boleh belajar. Boleh main. Kawan pun ramai.” Jawab kanak-kanak itu sambil tersenyum riang.
Kami kemudian dibawa ke kawasan asrama. Aku terfikir bagaimana kanak-kanak ini menguruskan diri. Kami dibawa berjumpa dengan seorang penyelia asrama. Kami melalui kawasan dewan makan.
“Kami menyediakan pengasuh untuk menguruskan kanak-kanak di sini. Pengasuh-pengasuh ini sekadar mengawasi dan membantu perkara-perkara yang sukar dilakukan oleh mereka. Selebihnya pengasuh-pengasuh akan cuba mengajar dan melatih mereka melakukan sendiri.” Terang penyelia itu sambil mengiringi kami ke asrama lelaki.
Aku lihat kanak-kanak itu menguruskan sendiri hal masing-masing. Bergerak ke bilik mandi, memakai baju malah melipat pakaian sendiri. Mereka kelihatan begitu gembira. Hatiku cukup tersentuh melihat keadaan mereka. Tidak kusangka bahawa mereka mampu melakukan sendiri. Amir yang tadi kelihatan takut-takut sudah mula tersenyum. Malah Amir berbual mesra dengan seorang kanak-kanak lelaki yang dilantik sebagai ketua di kalangan mereka.
Guru besar yang dikenali dengan nama Puan Rokiah bermurah hati menyediakan kami makan tengah hari. Selepas makan seadanya, kami dibawa melihat kemudahan-kemudahan yang disediakan. Sebuah perpustakaan mini yang lengkap dengan buku-buku braille dan juga buku-buku yang dicetak dengan tulisan bersaiz besar turut disediakan. Kemudiannya kami dibawa ke sebuah bilik muzik yang lengkap dengan peralatan. Ketika kami sampai di bilik itu, beberapa orang pelajar sedang rancak bermain alat-alat muzik yang diawasi oleh seorang guru berbangsa India.
Pada sebelah petang lebih kurang pukul 5.00 petang, kami dibawa ke sebuah taman permainan. Aku lihat kanak-kanak lelaki dan perempuan asyik bermain. Riang dan bergelak ketawa sesama sendiri sama seperti kanak-kanak normal lain. Sesuatu yang membuatkan aku tidak percaya ialah apabila melihat sekumpulan kanak-kanak lelaki bermain bola sepak. Bola itu mengeluarkan bunyi dan kanak-kanak itu berpandu kepada bunyi itu untuk bermain. Percaya atau tidak ia sudah aku saksikan sendiri.
Keesokan kami ke sebuah pusat latihan. Pusat ini menyediakan pelbagai bentuk latihan untuk manfaat golongan cacat penglihatan. Kami diperkenalkan kepada pengetua pusat tersebut. Seorang lelaki cina yang fasih berbahasa Melayu. Kami diberi penerangan ringkas oleh pengetua tersebut sebelum melawat. Pelatih-pelatih yang menerima latihan kemahiran terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, lelaki dan perempuan, yang mempunyai penglihatan kabur dan juga buta sepenuhnya. Individu yang berumur 18 tahun ke atas layak memohon untuk mengikuti latihan di situ. Aku kagum melihat kerja-kerja tangan yang dilakukan. Kemesraan antara pelatih sesama pelatih dan juga tenaga pengajar membuatkan hatiku berbunga. Terdapat juga bilik memasak untuk para pelatih belajar memasak sendiri dan diawasi oleh tenaga pengajar. Selain mengikuti latihan, pelatih yang beragama Islam tidak ketinggalan menghadiri kelas fardu ain. Begitu juga pelatih bukan beragama Islam menghadiri kelas bimbingan moral.
“Sudah lama belajar di sini?” Soal suamiku kepada seorang pelatih Melayu yang berada di situ.
“Baru tiga bulan. Sebelum ini saya belajar di sekolah khas. Keputusan saya tidak sebaik rakan-rakan lain sebab itu saya gagal meneruskan pelajaran dan mengambil keputusan mengikuti latihan di sini.” Jawabnya panjang lebar. Pemuda yang bernama Nazri ini begitu ramah walaupun kali pertama bertemu.
“Saya dulu masuk sekolah lambat. Sebab mak dan ayah tidak membenarkan saya bersekolah. Entah macam mana bila mak dan ayah baca berita dan tengok televisyen menyiarkan kejayaan seorang buta masuk universiti, mak dan ayah hantar saya bersekolah. Saya betul-betul gembira sebab mak dan ayah beri peluang saya bersekolah dan sekarang saya mampu bergerak sendiri dan boleh mengatur kehidupan sendiri.” Pengakuan itu membuat aku terpanah dek tindakanku selama ini. Begitu juga dengan suamiku.
Sebelum pulang, kami ke surau menunaikan solat Asar bersama-sama pelatih di situ. Aku perhatikan mereka membentang sejadah dan salah seorang daripada mereka dilantik menjadi imam. Aku tertarik dengan bacaan yang dibaca oleh anak muda itu. Syahdu dan menyentuh hati sesiapa yang mendengarnya. Lancar dan fasih. Malah di akhir solat, dibacanya doa yang aku sendiri tidak tahu membacanya. Ketika menuju ke kereta untuk pulang, suamiku sempat memberitahu bahawa dia bertanya kepada anak muda yang menjadi imam di situ tempat dia belajar mengaji. Pemuda yang bernama Rosman itu memberitahu bahawa dari sekolah rendah lagi dia memasuki dan diajar tentang agama Islam. Menurut Rosman lagi sebelum masuk ke pusat latihan itu dia telah mengikuti kursus asas membaca al-Quran yang ditawarkan kepada golongan sepertinya.
Ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, aku dan suami bisu seribu bahasa. Amir yang kelihatan letih nyenyak di pangkuan. Rambut Amir kuusap perlahan. Wajahnya yang comel kurenung dalam-dalam. Entahlah kasihku pada anak lelaki tunggal ini sungguh mendalam. Aku tetap dengan keputusan yang satu ini. Keputusan yang membuktikan aku betul-betul sayang kepada Amir.
“Sayang anak mak” Dahi Amir kucium perlahan.
Friday, February 19, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment