Pantaulai Aku Dengan Emailmu:

Total Pageviews

Ramai Yang Meminati: Anda bagaimana pula?

Pages

Kenalilah dunia ciptaan sahabat-sahabatku:

Jika langit di duniamu runtuh, berhijrahlah ke duniaku.

Salam segunung rindu untuk kekasih di hujung talian:

Kasih manusia sering bermusim, madah helahnya tiada bertepi;
Dengan harapan kubina impian,
kau sentuh runtuh tinggal kenangan.
Biarpun hatiku retak seribu,
kau tetap kukunci di dalam hatiku.

Love me but, leave me not,
Kiss me but, miss me not,
Hit me but, hate me not,
Remember me but, forget me not.

Teman!
Di taman ini aku menantimu bersama segunung rindu yang sarat. entahkan bila ketemu penawarnya. Aku kehilangan, yang tinggal hanyalah kerinduan.
Di sini, akumengukir syair di atas air, meniti buih mengejar pelangi. Beralaskan mimpi syahdu kelmarin, kini menjadi igauan siangku. rindu ini di manakah noktahnya? Cinta ini bilakah ajalnya?
Ketahuilah sesungguhnya secebis kasih membuat kita sayang. seucap janji membuat kita percaya. sekecil luka akan membuat kita kecewa. tetapi, sebuah persahabatan akan selamanya bermakna."
rinduku padamu tak bisa pudar, kasihku padamu belum tercemar.

Pelangi! Kau ciptaan Allah yang sungguh istimewa.

Terimalah madah pujangga dari: Michael Jordan Quotes

There was an error in this gadget

Apakah yang anda cari?

Loading...

Tuesday, August 2, 2011

Kenapa Awak Buta?

Assalammualaikum!

Sejak bila jadi macam ni? Kenapa awak buta? adalah 2 soalan lazim yang sering ditanya apabila menjalinkan perkenalan. Rata2, ramai yang ingin tahu sebab-musabab kebutaanku, samada kerana ‘concern’ atau sahaja ingin tahu. Kebutaanku adalah setua umurku. Ianya adalah 1 anugerah dari Maha Pencipta agar aku sentiasa mengkaguminya. Ya Allah! sesungguhnya aku berterimakasih kerana memilih sepasang mataku untuk menantiku di syurga. Aku berusaha untuk mencukupi amal agar berupaya menyusul mataku ke syurga, kelak.

 

Hari ini, banyak sekali tragedi yang sengaja diadakan untuk membutakan mata. Adakah mereka tidak pandai mengsyukuri nikmat Allah? Tahun, demi tahun, setiap ramadan pasti membutakan beberapa biji mata anak Adam. Perkara ini terlalu lumrah, sehingga ibubapa terlepas pandang lalu tetap membelikan anak mereka berkotak2 mercun!

Setelah itu, manusia mula mempelbagaikan cara membutakan mata. Terdapat beberapa tragedi menyimbah asid. Buta kerana terkena gas pemedih mata. Dan yang paling baru ialah kisah Buta kerana bola, buta kerana bisul lambat dirawat. Malah ada juga kisah Buta kerana kemalangan kecil: telur.

Hargailah mata anda. Paandai2lah menggunakannya, dengan cara yang bermanfaat. Di bawah ini juga dilampirkan sekali sebuah artikel kesihatan mengenai keburukan merokok yang boleh menyebabkan buta.

 

Buta Kerana Telur.

 

PARIS : Seorang kanak-kanak berusia 9 tahun buta selepas memanskan telur rebus dalam ketuhar gelombang mikro.Dia dikatakan memasukkan telur tanpa menanggalkan kulitnya dan memanaskannya dengan suhu maksimum selama 40 minit.

Kemudian dia menggeluarkan telur itu dan memasukkannya kedalam mangkuk,Selepas 30 saat ,telur itu meletup semasa dia membawanya ke meja,menyebabkan dia menglami kecederaan pada muka dan mata kanan.
Kecederaan matanya amat teruk dan kata doktor kanak-kanak itu terpaksa menjalani beberapa pembedahan dan hanya dapat melihat dengan bantuan kanta plastik.

 

Koma & Buta Kerana Disimbah Asid

 

Johor Bahru: “Mereka yang melakukan ini dayus. Akibatnya suami saya bukan saja melecur hampir keseluruhan muka dan badan hingga ke paras pinggang, malah cacat penglihatan seumur hidup,” kata isteri kepada mangsa simbahan asid, Zaiton Aris, 50, semalam.
Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, akibat perbuatan itu suaminya, seorang pemandu teksi, Khairul Zaman Jaiman, 47, bertarung nyawa di Wad Rawatan Kebakaran di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.
Menceritakan insiden menyayatkan hati itu, Zaiton berkata, kejadian pada jam kira-kira 12 tengah hari, 5 Mei lalu apabila teksi suaminya ditahan dua lelaki menaiki Proton Saga warna putih di Jalan Sena di Taman Rinting, di sini, iaitu satu kilometer dari kediaman mereka.
“Saya difahamkan, dia memberhentikan kenderaan apabila dua lelaki mahu bertanya arah. Apabila suami menurunkan cermin kenderaan, seorang daripada mereka menyimbah asid ke muka suami.
“Suami meraung kesakitan sambil meminta tolong sebelum orang awam yang berada di lokasi menyiram air dan menghantarnya ke hospital,” katanya. -hm

 

 

  BANNER  

02 Ogos 2011Home » bisul , borak kosong » Kesian adik buta kerana bisul
Kesian adik buta kerana bisul

GOMBAK – Seorang kanak-kanak, Putri Nur Natashah Mirsha Muhammad Amin, 6, yang pada mulanya hanya didakwa mengalami bengkak akibat gigitan nyamuk mengalami nasib malang apabila mata kanannya kini buta.

Ibu kanak-kanak itu, Nurul Huda Ahmad, 28, berkata, keadaan bengkak pada mata Nur Natashah pada mulanya dikesan ketika dia berusia dua tahun tiga bulan iaitu pada tahun 2008.

Selepas bengkak tersebut semakin membesar, anaknya dibawa ke Hospital Selayang pada 12 Mac 2008 untuk menjalani rawatan namun, Bahagian Kecemasan di hospital tersebut memberitahu, bengkak yang berlaku berpunca daripada kesan gigitan nyamuk.

“Mereka kata tiada apa yang harus dirisaukan walaupun ketika itu anak saya meronta-ronta kesakitan,” ujarnya kepada Kosmo! di rumahnya di Selayang Baru di sini semalam.

Bagaimanapun, pada petang hari yang sama, Nurul Huda datang semula ke Hospital Selayang membawa anaknya kesakitan tetapi dia masih dimaklumkan perkara yang sama.

“Tidak puas hati dengan alasan gigitan nyamuk yang diberi doktor di Hospital Selayang saya kemudian membawa anak saya ke sebuah klinik di Selayang dua hari kemudian dan doktor di klinik itu mengesahkan bahawa ia bisul dan memberi surat rujukan ke Hospital Selayang untuk membuat pembedahan membuang nanah,” ujarnya.

Menurut Nurul Huda, ketika itu, mata anaknya sudah tersembul keluar dan keadaan di sekeliling matanya juga membengkak.

sumber : kosmo onlin

Pelajar buta terkena serpihan gas pemedih mata

 

Seorang pelajar buta sebelah mata setelah terkena serpihan objek daripada gas pemedih mata ketika rusuhan penyokong bola sepak Kelantan di luar stadium malam Selasa lepas.
Ketika kejadian, Muhammad Huzaifah Mohd Noor, 18, dari Kampung Pasir Tok Kambing di Kota Bharu sedang mengemas barangan jualan di gerai minuman milik sepupunya, lapor Bernama.
Mata kanan Muhammad Huzaifah, pelajar Institut Latihan Perindustrian Pengkalan Chepa, gagal dipulihkan walaupun menjalani pembedahan lebih empat jam di hospital sejurus selepas kejadian.
Menceritakan detik kejadian, Muhammad Huzaifah berkata kejadian itu berlaku ketika beliau sedang membantu sepupunya Abdul Rahman Hussein di gerai yang terletak 100 meter dariStadium Sultan Muhammed IV, dan bersiap untuk pulang.
"Tiba-tiba saya tengok keadaan jadi kecoh dan orang ramai berlari sambil terdengar polis memberi arahan supaya bersurai.
"Saya berpaling ke arah anggota polis berkenaan yang kebetulan melepaskan gas pemedih mata ke arah saya, tanpa sempat saya mengelak, objek itu terkena mata kanan saya," mangsa dipetik berkata di Hospital Raja Perempuan Zainab II semalam.
Abdul Rahman pula berkata beliau sempat tunduk apabila gas pemedih mata itu dilepaskan yang terkena Muhammad Huzaifah dan beliau melihat darah keluar dari mata kanan mangsa sambil menjerit kesakitan.
"Saya dan beberapa orang lagi terpaksa memapah beliau ke hospital yang letaknya tidak jauh dari tempat berkenaan," katanya.
Ibu mangsa Kamariah Hussein, 60, berkata apa yang berlaku sangat menyedihkan beliau sekeluarga tambahan pula suaminya Mohd Noor Abdul Rahman, 72, baru tiga hari dibenarkan keluar dari hospital kerana sakit jantung.
Menurut Kamariah, lapor agensi berita itu lagi, aduan polis telah dibuat pada malam kejadian dan keluarganya turut menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terlibat.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi kelmarin mengesahkan seorang remaja berusia 18 tahun cedera selepas terkena gas pemedih mata.

 

 

BERITA HARIAN 1 Ogos 2011 - Lelaki kena mercun buta

Mata dimasuki serpihan letupan ketika sokong Harimau Malaya

PETALING JAYA: Seorang peniaga yang bertandang ke Stadium Nasional, Bukit Jalil, Khamis lalu untuk memberi sokongan kepada skuad Harimau Malaya ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Singapura, buta mata kanan akibat terkena serpihan mercun dilempar penonton.Mangsa, Ahmad Jazimin Jalaluddin, 29, yang mengusahakan perniagaan mencetak kad kahwin di Bangi, pecah bola mata kanannya dan dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, sejak malam Khamis lalu. AHMAD JAZIMIN selepas menerima rawatan di PPUM, semalam.

Lebih menyedihkan, akibat kejadian itu, mangsa juga tidak dapat menemani isterinya, Nur Hardyawati Ismail, 28, yang dimasukkan ke wad bersalin hospital sama, pagi semalam, untuk menimang cahaya mata pertama mereka.

Ahmad Jazimin berkata, kejadian berlaku jam 8.40 malam, sejurus selepas lagu Negaraku dimainkan apabila beliau yang duduk di tempat duduk terbuka bertentangan tempat kenamaan, mendengar bunyi letupan sebelum mata kanannya terasa pedih.

“Saya kemudian merasakan sesuatu keluar dari kelopak mata kanan dan apabila dipegang, saya melihat darah pada tangan selain lendir berwarna putih sebelum dipapah keluar stadium oleh dua rakan.

“Dalam keadaan kesakitan, dua rakan memapah saya keluar dari stadium di celah-celah orang ramai sebelum ternampak sebuah ambulans di pekarangan stadium dan saya dibawa ke PPUM untuk rawatan,” katanya yang ditemani ibu, Surakiah Mamat, 63, ketika ditemui di PPUM, semalam.

Ahmad Jazimin yang juga ahli Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net) menjalani pembedahan hampir lima jam mulai jam 4 pagi, Jumaat lalu, namun doktor mengesahkan mata kanannya tidak dapat diselamatkan.

Difahamkan, beliau masih diberikan rawatan rapi bagi mengelak jangkitan kuman yang boleh menyebabkan saraf matanya rosak.

Bagaimanapun, Ahmad Jazimin tetap bersemangat dan tidak serik ke stadium untuk menyaksikan perlawanan skuad kebangsaan selepas ini, tetapi berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pengurusan stadium mengambil langkah pencegahan lebih ketat bagi mengelak kejadian menimpanya berulang.

“Saya sedih memikirkan nasib keluarga kerana punca pendapatan bergantung kepada perniagaan yang saya jalankan. Malah, saya terkilan kerana tidak dapat menemani isteri yang akan melahirkan cahaya mata pertama kami pada bila-bila masa,” katanya.

Rakannya, Mohd Azhari Ariffin, 29, berkata beliau kesal kerana aspek keselamatan tidak dititikberatkan pada perlawanan itu memandangkan ketika masuk ke dalam stadium, anggota keselamatan yang mengawal pintu masuk tidak membuat pemeriksaan rapi, sebaliknya hanya bertanya sama ada beliau membawa pemetik api.

Beliau membuat laporan polis berhubung kejadian menimpa Ahmad Jazimin di Balai Polis Bukit Jalil, Jumaat lalu.

Presiden Persatuan Anak Kelantan Darul Naim Selangor dan Kuala Lumpur (PERSADA), Ali Hanafiah Mohamed, berkata pihaknya akan menyediakan khidmat guaman bagi membolehkan Ahmad Jazimin menyaman pihak berkaitan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Oleh Wan Faizal Ismayatim - wfaizal@bharian.com.my -2011/08/01

Buta Akibat Merokok.

MAJORITI masyarakat dewasa di Malaysia mengetahui tentang bahaya merokok kepada organ paru-paru, jantung dan otak. Pendedahan secara meluas mengenai risiko barah paru-paru, penyakit jantung dan strok (angin ahmar) juga sering dipaparkan media cetak dan media elektronik.

Walaubagaimanapun, masyarakat kita kurang didedahkan mengenai risiko buta di kalangan individu yang merokok.

Dalam satu kajian yang dijalankan di kalangan remaja Britain berusia antara 16 hingga 18 tahun, 30 peratus mengetahui bahaya merokok kepada jantung.

Namun, 90 peratus daripada remaja-remaja tersebut tidak mengetahui tentang kesan merokok kepada mata.

Mereka bagaimanapun mengakui lebih bimbang kepada kemungkinan menjadi buta akibat merokok melebihi risiko barah paru-paru, masalah jantung dan strok.

Merokok boleh menyebabkan buta akibat penyakit katarak, penyakit degenerasi makula (age related macula degeneration atau ARMD), saluran darah arteri tersumbat pada lapisan retina (central retinal artery occlusion) dan saluran darah vena tersumbat pada lapisan retina (central retinal vein occlusion).

Penyakit katarak

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit katarak merupakan punca utama masalah buta di seluruh dunia.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, lebih 18,000 orang pesakit negara ini menjalani pembedahan katarak pada tahun 2004 sahaja.

Angka ini tidak termasuk mereka yang mendapatkan pembedahan di klinik-klinik atau hospital-hospital swasta. Bilangan ini juga dijangka semakin meningkat setiap tahun.

Katarak sememangnya berlaku akibat peningkatan faktor usia. Tetapi, penyelidikan di serata dunia telah mengenal pasti merokok merupakan faktor yang menyumbang kepada berlakunya penyakit katarak.

Mereka yang kuat merokok dan telah merokok untuk tempoh yang lama dikatakan lebih berisiko menjadi buta akibat penyakit katarak.

Individu yang merokok melebihi satu kotak rokok sehari didapati lebih berisiko tinggi untuk menjadi buta akibat penyakit katarak.

Bagi perokok yang merokok kurang dari satu kotak rokok sehari, risiko katarak mereka hanya akan turun dan menyamai risiko katarak seperti individu yang tidak merokok selepas 10 tahun perokok tersebut berhenti merokok.

Pesakit yang mengalami masalah katarak biasanya mengadu kabur penglihatan secara beransur-ansur.

Pada peringkat yang teruk, pesakit mempunyai keupayaan melihat yang sangat terhad. Mereka tidak dapat melihat pada jarak jauh dan hanya boleh melihat objek-objek yang besar pada jarak yang dekat.

Mereka biasanya terpaksa bergantung kepada bantuan orang lain untuk melakukan aktiviti harian seperti makan, minum dan menguruskan keperluan diri.

Tembakau menyebabkan terhasilnya radikal-radikal bebas di dalam mata. Radikal bebas ini menyebabkan kerosakan secara langsung pada struktur kanta mata yang asalnya bersifat jernih.

Ini menyebabkan kanta mata bertukar keruh secara perlahan-lahan. Keadaan ini menghalang cahaya memasuki mata dan menjejaskan imej yang terbentuk pada lapisan retina.

Pesakit yang mengalami penyakit katarak pada peringkat teruk perlu menjalani pembedahan bagi memulihkan penglihatan mereka. Pembedahan perlu dilakukan supaya pesakit tidak terus hidup dalam keadaan yang gelap dan suram.

Berhenti merokok atau tidak merokok sama sekali merupakan satu pilihan yang tepat bagi mengurangkan risiko buta akibat penyakit katarak.

Penyakit Degenerasi makula

Penyakit degenerasi (kemerosotan) makula merupakan salah satu punca masalah buta di kalangan individu berumur antara 55 hingga 60 tahun di serata dunia.

Sebanyak 3.5 peratus daripada individu berusia antara 40 hingga 80 di kalangan bangsa Melayu di Singapura dilaporkan mengalami masalah ini.

Kaum lelaki merupakan majoriti yang mengalami penyakit ini berbanding kaum wanita.

Kajian di kalangan warga Australia di Sydney juga menunjukkan peratusan yang sama. Walaubagaimanapun, kita masih tidak mempunyai data untuk prevalens (sebaran) penyakit ini di Malaysia.

Penyakit ini juga berlaku akibat faktor peningkatan usia. Namun, para penyelidik telah mengenal pasti hubung kait yang jelas di antara amalan merokok dengan penyakit degenerasi makula.

Mengikut laporan yang diterbitkan dalam salah satu jurnal perubatan antarabangsa pada awal tahun ini, mereka yang merokok pada usia muda dan telah berhenti merokok berisiko lebih tinggi untuk mengalami buta akibat penyakit degenerasi makula berbanding mereka yang tidak merokok.

Dalam satu kajian yang berasingan, mereka yang merokok mempunyai risiko tiga kali ganda lebih tinggi mengalami penyakit ini berbanding individu yang tidak merokok. Penyakit ini juga didapati berlaku 10 tahun lebih awal di kalangan mereka yang merokok.

Pesakit degenerasi makula biasanya mengadu kabur penglihatan pada bahagian tengah dan mengalami kesukaran untuk membaca, menulis, menonton dan memandu.

Keadaan ini bagaimanapun tidak menyebabkan rasa sakit atau kemerahan pada bola mata. Lama-kelamaan pesakit boleh menjadi buta sepenuhnya.

Ubat untuk merawat penyakit ini melibatkan kos yang mahal. Penglihatan pesakit juga sukar dipulihkan sekiranya terdapat parut pada bahagian makula.

Sekiranya ini berlaku, pesakit akan mengalami buta secara kekal dan perkara ini pasti menjejaskan satu kehidupan yang berkualiti dan berwarna-warni.

Penyakit ini boleh dicegah pada peringkat awal. ‘Jangan merokok’ merupakan langkah pencegahan yang utama dan sepatutnya menjadi amalan kita.

Banyakkan pengambilan sayuran hijau seperti bayam dan sawi. Khasiat sayur-sayuran ini memberi kebaikan kepada salur darah pada lapisan retina.

Senaman sebanyak tiga kali seminggu juga dilaporkan dapat mengurangkan risiko mengalami penyakit ini sebanyak 70 peratus.

Saluran darah arteri tersumbat pada lapisan retina

Saluran darah arteri yang tersumbat pada lapisan retina juga menyebabkan pesakit mengadu kabur penglihatan secara tiba-tiba.

Penyakit ini juga dikenali sebagai ‘strok pada mata’. Ia merupakan satu keadaan kecemasan dan perlu diberi rawatan segera bagi mengelakkan pesakit menjadi buta.

Penyakit ini berlaku pada individu yang berusia melebihi 50 tahun dan berkait rapat dengan amalan merokok. ]

Di Amerika Syarikat, penyakit ini berlaku pada kadar 0.85 bagi setiap 100,000 individu pada setiap tahun. Penyakit ini juga lebih banyak berlaku di kalangan pesakit lelaki berbanding pesakit wanita.

Pesakit biasanya mengalami masalah jantung atau saluran arteri karotid yang sempit selain amalan merokok dan tahap kolesterol yang tinggi.

Darah beku dari jantung atau saluran arteri karotid menyebabkan saluran arteri pada lapisan retina tersumbat secara tiba-tiba.

Ini menyebabkan kekurangan oksigen yang ketara pada lapisan retina dan mengakibatkan mata menjadi buta.

Pesakit boleh menjadi buta secara kekal sekiranya rawatan kecemasan tidak diberikan dalam tempoh empat hingga enam jam yang pertama atau lambat mendapatkan rawatan doktor setelah mengalami gejala-gejala yang disebutkan di atas.

Penyakit ini perlu dicegah sebelum berlaku. Sebanyak 65 peratus pesakit menjadi buta kekal akibat penyakit ini.

Amalkan cara hidup yang sihat. Pesakit perlu mendapatkan rawatan perubatan yang konsisten dan teratur bagi memastikan penyakit jantung dan paras kolesterol berada pada tahap yang terkawal.

Berhentilah merokok atau jangan merokok merupakan asas yang penting untuk mencegah mata anda daripada buta.

Saluran darah vena tersumbat pada lapisan retina

Saluran darah vena pada lapisan retina yang tersumbat menyebabkan pesakit mengadu kabur penglihatan secara tiba-tiba. Pesakit biasanya tidak mengalami gejala sakit atau bola mata yang kemerahan.

Penyakit ini berlaku pada individu yang berusia melebihi 50 tahun dan juga mempunyai hubung kait dengan amalan merokok.

Selain itu, pesakit juga turut mengalami masalah perubatan seperti kencing manis, darah tinggi dan paras kolesterol darah yang tinggi.

Amalan merokok menyebabkan saluran vena mengalami kecederaan dan mengakibatkan berlaku tindak balas sel-sel darah pada tempat tersebut. Keadaan ini menyebabkan saluran vena menjadi sempit dan mudah tersumbat.

Saluran vena yang tersumbat ini menyebabkan kekurangan peredaran darah pada keseluruhan lapisan retina. Ini diikuti dengan terjadinya pendarahan dan bengkak pada lapisan retina.

Keadaan ini menyebabkan pesakit menjadi buta. Rawatan laser ditawarkan dalam kes-kes tertentu yang melibatkan bengkak dan timbul salur darah baru pada lapisan retina.

Sekali lagi, rawatan pencegahan amat penting. Dapatkan rawatan moden bagi memastikan penyakit kencing manis dan darah tinggi terkawal, serta pengawalan paras kolesterol yang optimum. Tinggalkan tabiat merokok yang terbukti menyumbang kepada masalah buta.

Sumber :  Utusan Malaysia

No comments: