Total Pageviews

Ramai Yang Meminati: Anda bagaimana pula?

Pages

Kenalilah dunia ciptaan sahabat-sahabatku:

Salam segunung rindu untuk kekasih di hujung talian:

Kasih manusia sering bermusim, madah helahnya tiada bertepi;
Dengan harapan kubina impian,
kau sentuh runtuh tinggal kenangan.
Biarpun hatiku retak seribu,
kau tetap kukunci di dalam hatiku.

Love me but, leave me not,
Kiss me but, miss me not,
Hit me but, hate me not,
Remember me but, forget me not.

Teman!
Di taman ini aku menantimu bersama segunung rindu yang sarat. entahkan bila ketemu penawarnya. Aku kehilangan, yang tinggal hanyalah kerinduan.
Di sini, akumengukir syair di atas air, meniti buih mengejar pelangi. Beralaskan mimpi syahdu kelmarin, kini menjadi igauan siangku. rindu ini di manakah noktahnya? Cinta ini bilakah ajalnya?
Ketahuilah sesungguhnya secebis kasih membuat kita sayang. seucap janji membuat kita percaya. sekecil luka akan membuat kita kecewa. tetapi, sebuah persahabatan akan selamanya bermakna."
rinduku padamu tak bisa pudar, kasihku padamu belum tercemar.

Apakah yang anda cari?

Sunday, July 10, 2011

Khasiat Tumbuhan.

MANUSIA DAN TUMBUHAN : DAUN DALAM KEHIDUPAN

ISI KANDUNGAN

1.0 Pengenalan

2.0 Bunga dan Kehidupan

2.1 Daun Lidah Buaya

2.2 Daun Selasih

2.3 Daun Senggani

2.4 Daun Sireh

2.5 Daun Katuk

2.6 Daun Lidah Ular

2.7 Daun Mungsi Arab

2.8 Daun Gelenggang

2.9 Daun Pecut Kuda

2.10 Daun Ungu

2.11 Daun Nilam

3.0 Penutup

4.0 Lampiran

1.0 PENGENALAN

Di dunia ini terdapat pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan yang mana mempunyai nilai perubatan yang tinggi terutamanya dalam perubatan tradisional. Sebelum terciptanya perubatan moden yang serba canggih, perubatan tradisional telah memainkan peranan penting dalam merawati pelbagai jenis penyakit. Kebanyakkan pengamal perubatan tradisional telah menggunakan tumbuhan sebagai ubat-ubatan. Sesuatu jenis tumbuhan itu bukan sahaja mempunyai kesan ke atas satu jenis penyakit tetapi ia berguna lebih banyak daripada itu lagi. Perkara ini dapat dilihat apabila satu jenis tumbuhan itu mempunyai pelbagai kegunaannya dalam masyarakat mengikut kaum, tempat dan budaya mereka. Tetapi yang pentingnya, mereka semua telah menggunakan tumbuh-tumbuhan di dalam perubatan mereka.

Cara perubatan tradisional yang menggunakan tumbuhan semakin mendapat tempat di hati masyarakat sekarang. Buktinya, perusahaan jamu dan kosmetik yang berasaskan tumbuhan serta perdagangan ubat-ubatan Cina telah meningkat di pasaran. Namun begitu, penggunaan ubatan tradisional masih lagi mengekalkan kemurnian ramuannya supaya ia lebih berkhasiat dalam mengubati sesuatu penyakit tersebut.

Pada tahun 1993 doktor-doktor di Asia telah menubuhkan ‘Association for Modernize Promotion of Asian Tradisional Medicine’. Penubuhan persatuan ini adalah bagi memajukan lagi bahan-bahan perubatan tradisional di dalam dunia perubatan moden yang begitu canggih sekarang. Di sini jelas menunjukkan bahawa penggunaan ubatan tradisional semakin diminati dengan meluas di mana sahaja.

Ilmu pengetahuan moden yang diperkenalkan dari Barat hanya menilai ‘daun’ sekadar sebagai sekelompok klorofil yang “diikat” dengan selulosa. Daun hanyalah karbon, hidrogen, nitrogen dan unsur-unsur lain yang berkelompok membentuk molekul serta memperolehi cahaya dari matahari. Helaian daun-daun tersebut memperolehi air dan karbon dioksida serta tenaga daripada cahaya matahari. Seterusnya membentuk karbohidrat, protein dan lain-lain lagi yang mana ia dapat memberi kepentingan kepada tumbuhan tersebut. Tenaga ynag diperolehi juga penting kepada kehidupan lain seperti manusia, binatang dan jasad hidup lain termasuk bakteria dan juga virus.

Falsafah Timur (India, Jepun, China dan Asia Tenggara) mentafsirkan ‘daun’ bukan sekadar mempunyai klorofil yang seterusnya mengalami proses fotosintesis yang akhirnya dapat membentuk karbohidrat. Daun sebenarnya dapat memberikan ‘getaran’ tenaga yang tidak nampak. Menurut kepercayaan masyarakat Jawa khususnya, daun mempunyai kuasa iaitu apabila orang yang memiliki “Ilmu kebal” akan hilang kekuasaannya kalau diusap dengan daun-daun tertentu yang mempunyai tenaga (kuasa) yang tidak diketahui itu (misalnya daun kelor).

Daripada dua fahaman tersebut, masih lagi menimbulkan tanda tanya terutama di kalangan masyarakat kini. Sebagai contohnya masyarakat Jawa yang mempercayai bahawa ‘daun dewa’ (Gynura pseudocina) adalah daun ‘supersakti’ di mana ia hanya digunakan oleh dewa-dewa sahaja. Namun begitu mengikut ilmu perubatan moden, daun itu hanya mempunyai alkoloid, saponin, flaronoid dan tannin yang dapat mengubati tumor.

2.0 DAUN DALAM KEHIDUPAN

Daun sememangnya mempunyai klorofil , namun ianya dipercayai menyimpan banyak lagi misteri dan rahsia yang tersendiri. Di sini akan dihuraikan beberapa jenis daun yang boleh digunakan sebagai ubat.

2.1 DAUN LIDAH BUAYA

Daun Lidah Buaya atau nama Latin ialah Aloe barbadensis adalah berkhasiat sebagai penyubur rambut, ubat sakit kulit dan penyembuh luka. Ia mengandungi aloin, barbaloin, polisakarida, glukomanan, asid krisofan dan enzim protease. Kebiasaannya daun ini mempunyai ukuran tinggi 30 – 50 cm dan lebar 2 – 5 cm. Mempunyai daun tunggal, tebal dan bergetah kuning. Bentuk daunnya pula memanjang dan runcing di hujung.

Bagi menyuburkan rambut, kita bolehlah menggunakan Daun Lidah Buaya di mana kulit luarnya dibuang. Isi Daun Lidah Buaya tersebut bolehlah digosokkan di kepala agar rambut akan kelihatan sihat dan lebih berseri.

2.2 DAUN SELASIH

Daun selasih, Ocimum basilicum atau dengan nama lainnya telasih ataupun solanis. Ia adalah bercabang di bahagian atas, tinggi 50 – 80 cm dan juga berbau harum. Daun ini adalah boleh mengubati demam dan sakit kepala, melancarkan air susu ibu dan ubat gangguan pencernaan.

Daun selasih mengandungi minyak seperti ocimene, alpha pinene, eucalyptole, linalool dan juga eugenol mefil eter. Bagi mengubati demam, 15 gram daun selasih yang segar direbus. Kemudian hasil rebusan tadi diminum 2 kali sehari iaitu pagi dan petang.

2.3 DAUN SENGGANI

Melastoma Malabathricum atau dengan nama lainnya senduduk. Ia merupakan tanaman yang tegak, tinggi sekitar 4 meter. Daunnya tunggal, berhadapan, bertangkai serta berbentuk bulat telor dan memanjang serta juga berwarna hijau. Mempunyai panjang daun

2 – 20 cm dan lebar. Ia adalah berkhasiat bagi mencegah radang usus dan juga hepatitis serta cirit-birit.

Daun Senggani mempunyai bahan tanin. Bagi mengubati cirit-birit, 2 gram Daun Senggani yang segar dicuci bersih dan dicampur dengan garam secukupnya. Selepas itu, daun tersebut hendaklah dikunyah dan airnya ditelan. Insya Allah cirit- birit akan berkurangan.

2.4 DAUN SIREH

Daun Sireh, Piper betle adalah tumbuhan memanjat. Daunnya adalah bulat dan memanjang di mana pangkal daun seperti jantung sedangkan hujungnya adalah runcing sedikit. Ukuran panjang daun lebih kurang 5 – 8 cm dan lebar 2 – 5 cm. Daun Sireh adalah sesuai bagi penyakit keputihan, bronchitis, antiseptik dan juga sebagai pengharum nafas.

Cara menggunakannnya ialah ambil 7 helai daun sireh dan sepotong gula batu direbus dengan 2 gelas air sehingga mendidih dan dibiarkan mendidih sehingga air hanya tinggal separuh sahaja. Selepas itu, bolehlah air tersebut diminum sebanyak 1/3 gelas 3 kali sehari. Daun sireh mengandungi minyak asiri, karibol, hidrosikarikol, eugenol metil eter, fenil propena, tannin, kariofelen, diastase dan juga gula.

2.5 DAUN KATUK

Nama Latin bagi Daun Katuk ialah Sauropus androgynus dan dikenali juga sebagai cengkok manis ataupun simani. Daun ini adalah sesuai sebagai ubat bisul dan juga demam. Ia mengandungi bahan seperti saponini, flavonoid dan juga tannin. Kebiasaannya daun ini dikenali sebagai sayur-sayuran.

2.6 DAUN LIDAH ULAR

Daun Lidah Ular, Oldenlandia speciosa dikenali juga sebagai kermah atau keci. Ia selalunya dijumpai di dalam semak dan tumbuh menjalar serta mempunyai ketinggian 20 – 50 cm. Daunnya adalah tunggal dan tersusun berhadapan secara berpasangan. Manakala warna daunnya adalah hijau dan panjang daun adalah 1.5 – 2 cm sahaja.

Daun Lidah Ular adalah boleh mengubati penyakit tumor. Caranya ialah ambil 45 gram Daun Lidah Ular dan dicampur dengan akar lalang sebanyak 15 gram serta 100 gram gula merah. Selepas itu direbus dengan 3 000 cc air. Bahan tersebut direbus sehingga air yang tinggal hanya 200 – 300 cc. Bolehlah diminum sebanyak 3 kali bagi merawati penyakit tersebut.

2.7 DAUN MUNGSI ARAB

Nama Latin bagi Daun Mungsi Arab ialah Artemisia cina. Daun Mungsi Arab boleh ditemui di dalam semak dan tingginya adalah lebih kurang 15 cm sahaja. Ia mempunyai daun tunggal dan di permukaan bawahnya adalah berbulu. Daun ini senang dikenali kerana warnanya adalah hijau keputihan.

Daun ini juga mempunyai alkaloid, saponin dan juga polifenol yang mana ia boleh menjadi ubat cacing. Bagi mengubati penyakit ini, 20 gram Daun Mungsi Arab yang segar direbus dengan 2 gelas air selama 20 minit. Setelah disejukkan dan ditapis, bolehlah diminum 2 kali sehari iaitu pagi dan petang.

2.8 DAUN GELENGGANG

Gelenggang juga dikenali sebagai daun kurap dan juga ‘ludangan’. Ia juga merupakan tumbuhan yang digunakan di dalam perubatan tradisional iaitu untuk ‘ubat kurap’. Nama Latin bagi gelenggang ialah Cassia alata daripada famili Leguiminosae. Famili ini juga dikenali sebagai Fabaceae. Sinonim yang terdahulu digunakan dalam dunia sains untuk Gelenggang, Cassia alata ialah Herpetica alata. Gelenggang ini boleh didapati di kawasan tropika. Walau bagaimanapun ia berasal daripada Amerika Tropika.

Di negara kita, gelenggang tumbuh pada kawasan terbiar, tebing sungai, tepi jalan, tepi pagar dan juga kawasan lain yang terdedah kepada cahaya matahari. Daun gelenggang ini juga amat sesuai untuk mengubati kurap dan penyakit-penyakit kulit yang lain. Cara mengubatinya ialah dengan menggosok daun pada tempat berkurap. Ia juga boleh ditumbuk lumat dan dicampurkan dengan kapur atau bahan lain sebelum ditampal pada tempat yang berpenyakit kulit seperti kurap.

2.9 DAUN PECUT KUDA

Daun Pecut Kuda, Stachytarpheta jamaicensis dikenali juga sebagai daun jarong, biron ataupun sekar laru. Ia tumbuh tegak dan tinggi sekitar 50 cm. Manakala daunnya pula terletak berhadapan dengan daun yang lain, berbentuk bulat telur, berwarna hijau dan juga mempunyai tepi daun yang bergerigi.

Daun Pecut Kuda ini boleh digunakan bagi penyakit hepatitis A. Ia mengandungi bahan seperti glikosida dan alkaloid. Bagi mengubati penyakit hepatitis A, 5 – 10 batang (daun dan bunga) direbus. Hasil rebusan tadi ditambah dengan gula batu dan hendaklah diminum 2 kali sehari iaitu pagi dan petang.

2.10 DAUN UNGU

Daun ungu, Graptophyllum pictum juga dikenali sebagai daun pudin ataupun daun temen. Tinggi pokok ini adalah lebih kurang 2 meter. Daunnya adalah tunggal dan berbentuk bulat telur dan mempunyai permukaan atas yang berkilat. Panjang daunnya adalah 15 – 25 cm dan lebar 5 – 11 cm serta berwarna ungu dan kadang kala berwarna ungu tua.

2.11 DAUN NILAM

Daun nilam, Pogostemon cablin atau dikenali sebagai Daun Dilem. Merupakan pokok yang tinggi lebih kurang 1 – 2 meter. Ia mempunyai daun tunggal, tepi daun yang bergerigi dan permukaan daun yang berbulu. Manakala panjang daun ini adalah 6 – 7 cm dan lebar 5 – 6 cm.

Permukaan Daun Nilam ini adalah berwarna hijau serta bawahnya berwarna hijau keunguan. Daun ini berkhasiat bagi mengubati cirit-birit dan juga menghilangkan bau badan. Untuk menghilangkan bau badan, 100 gram Daun nilam yang segar dicuci bersih dan selepas itu direbus dengan menggunakan 10 liter air selama 15 minit. Air rebusan tadi digunakan semasa mandi.

3.0 PENUTUP

Terdapat berbagai-bagai jenis tumbuhan di alam ini. Ia bergantung kepada kebijaksanaan manusia dalam membongkar rahsia yang ada pada tumbuhan tersebut. Manusia akan cuba menyingkap rahsia dan misteri di sebalik kepentingan tumbuh-tumbuhan dalam perubatan khususnya khasiat ‘daun’.

Pengamal perubatan tradisional mestilah bekerjasama dengan dunia perubatan moden dalam mencari kepentingan tumbuhan ubatan yang ada di atas muka bumi ini. Allah menjadikan kelebihan dan kepentingan tumbuhan kepada manusia bagi digunakan di atas muka bumi ini. Jadi kita patutlah bersyukur di atas anugerah dan pemberian-Nya. Sebagai contohnya bumi yang dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan menghijau serta penuh dengan kedamaian dan keselesaan untuk semua kehidupan. Alhamdulillah.

4.0 RUJUKAN

B. Sarwono, 1994, Majalah Trubus 297 : Daun Ubatan, Yayasan Sosial Tani Membangun, Indonesia.

Muhammad B. Zakaria & Mustafa Ali Mohd., 1994, Traditional Malay Medicinal Plants, Penerbit Fajar Bakti Sd. Bhd., Kuala Lumpur.

Iin Hashim, 1994, Majalah Trubus 298 : Daun dan Kehidupan, Yayasan Sosial Tani Membangun, Indonesia.

Suana Jaid, Tumbuh-tumbuhan dalam Perubatan Tradisional.

http://www.geocities.com/Hearthland/Oaks/8964

No comments: