Total Pageviews

Ramai Yang Meminati: Anda bagaimana pula?

Pages

Kenalilah dunia ciptaan sahabat-sahabatku:

Salam segunung rindu untuk kekasih di hujung talian:

Kasih manusia sering bermusim, madah helahnya tiada bertepi;
Dengan harapan kubina impian,
kau sentuh runtuh tinggal kenangan.
Biarpun hatiku retak seribu,
kau tetap kukunci di dalam hatiku.

Love me but, leave me not,
Kiss me but, miss me not,
Hit me but, hate me not,
Remember me but, forget me not.

Teman!
Di taman ini aku menantimu bersama segunung rindu yang sarat. entahkan bila ketemu penawarnya. Aku kehilangan, yang tinggal hanyalah kerinduan.
Di sini, akumengukir syair di atas air, meniti buih mengejar pelangi. Beralaskan mimpi syahdu kelmarin, kini menjadi igauan siangku. rindu ini di manakah noktahnya? Cinta ini bilakah ajalnya?
Ketahuilah sesungguhnya secebis kasih membuat kita sayang. seucap janji membuat kita percaya. sekecil luka akan membuat kita kecewa. tetapi, sebuah persahabatan akan selamanya bermakna."
rinduku padamu tak bisa pudar, kasihku padamu belum tercemar.

Apakah yang anda cari?

Sunday, April 4, 2010

Botol Arak di Tangan Si Mati.

Bapa mati semasa genggam botol arak

BERSEMPENA dengan Hari Bapa pada 15 Jun ini, saya rasa elok kalau saya berkongsi sebuah pengalaman yang amat berguna kepada bapa yang kehilangan anak, mahupun bapa ditinggalkan anak, tetapi tentang bapa yang gagal menjadi contoh kepada anak-anak.
Betul, Hari Bapa adalah hari istimewa untuk anak menghargai jasa bapa. Tetapi bagaimana pula kalau bapa menjadi contoh buruk kepada anak-anak? Kalau bapa borek, apa akan jadi kepada anak-anak?
Jadi, izinkan saya  ceritakan kepada pembaca sekalian, tentang sebuah kisah sedih yang saya lalui tidak berapa lama dahulu, agar ia menjadi pedoman dan pengajaran kepada kita semua. Pengalaman sedih ini berlaku tidak berapa lama dahulu, apabila pagi itu saya mendapat panggilan telefon daripada sebuah hospital meminta saya uruskan mayat seorang duda berusia 60-an. Hospital mana, maaflah, saya tak dapat beritahu.
Di sekitar tempat saya ini, memang sudah menjadi kebiasaan pihak hospital berkenaan menghubungi saya bagi menguruskan mayat 'orang luar'. Maksud saya, jenazah itu adalah orang dari luar Kuala Lumpur, misalnya Pahang atau Melaka, dan kaum keluarganya minta hospital uruskan. Setelah itu mereka akan bawa jenazah tersebut pulang ke kampung.
Dengan segera saya memandu van jenazah, ke bilik mayat hospital berkenaan. Selesai segala urusan dokumen, keranda jenazah tersebut pun diangkat ke dalam van dengan dibantu oleh tiga orang anak si mati.
Sejurus sebelum van meninggalkan bilik mayat, tiba-tiba anak arwah yang lingkungan usia 30-an, menyapa saya.
"Mintak maaflah ustaz, saya tak dapat bersama membantu ustaz uruskan jenazah arwah bapa saya ni. Saya terpaksa pergi sebab ada hal mustahak," beritahu anak muda itu yang juga anak sulung arwah.
"Kalau dah macam tu, tak apalah," jawab saya walaupun di dalam hati saya mula rasa tak seronok. Mustahak sangatkah urusan dunianya jika dibandingkan dengan bapa sendiri, fikir saya.
Van dipandu deras dan apabila sampai ke surau di kawasan kediaman saya ini, keranda berisi jenazah itu pun diturunkan, kemudian dimasukkan ke bilik khas. Dua orang anak arwah yang berusia 20-an, seorang lelaki dan seorang perempuan, turut membantu saya.
Ketika itulah berlaku sesuatu yang tidak akan saya lupakan sampai bila bila...
Sewaktu membuka penutup keranda, tiba-tiba mata saya terbeliak. Alangkah terkejutnya saya apabila mendapati jenazah di hadapan saya ini berada dalam bungkusan plastik hitam.
Saya segera hubungi pihak hospital. seorang pegawai bilik mayat yang bernama Azman menjawab panggilan saya.
"Ada apa masalah ustaz?" tanya Azman.
Saya pun terangkan keadaan mayat tersebut. Kata saya, kebiasaannya penghidap HIV sahaja yang dibungkus seperti itu. Saya khuatir pihak hospital tersilap.
Azman menafikannya. Dia menjelaskan, "Betullah mayat tu, ustaz. Tapi kami terpaksa bungkus dengan plastik sebab...!!!" kata Azman lalu menerangkan sebab-musababnya.
Betul ke? Saya terus buka bungkusan hitam itu. Demi diselak sahaja bahagian kepala mayat, serta-merta menusuk bau yang sangat memeritkan hidung. Betul kata Azman tadi, mayat berkenaan dibungkus dengan plastik hitam sebab baunya terlampau busuk. Astaghafirullahalazim... saya rasa hendak termuntah!
Cepat-cepat saya tutup semula jenazah tersebut. Di waktu itu juga anak arwah datang menegur saya.
"Ustaz, kenapa tutup semula jenazah bapa saya? Kami pun nak tengok juga, kata anak perempuan tersebut.
Saya mula rasa serba salah. Hendak dilarang, tak boleh sebab itu ayah mereka. Saya pun berikan isyarat tangan, mempersilakan dua orang anak muda ini melihat jenazah bapa mereka. Apabila saya buka saja plastik hitam itu, anak-anak arwah serta-merta memalingkan muka dan menutup hidung. Dan tanpa saya duga...
Huweekkk! Huweekkk!!!
Saya lihat sendiri kedua-dua anak arwah itu termuntah. Yang paling menyedihkan, mereka termuntah di atas muka jenazah tersebut!
Saya beristighfar. Sedih, tidak sampai hati saya melihat muka arwah berlumuran lendir muntah si anak. Saya mengucap beberapa kali apabila melihat kedua dua anak si mati kemudian berlari keluar dari bilik tersebut sambil menutup mulut dan hidung supaya tidak ada lagi muntah yang keluar.
Mengapa begini sekali bau jenazah ini? Sudah berpuluh-puluh jenazah saya uruskan, tak pernah saya bertemu mayat yang baunya sedahsyat ini. Saya segera panggil pembantu saya minta dia tolong basuhkan muka jenazah tersebut. Setelah siap dicuci dan semua peralatan disediakan, saya buka keseluruhan plastik itu. Astaghafirullahalazim... sekali lagi saya tersentak. Kedua-dua tangan jenazah ini bukannya terkiam,tapi terangkat hingga hampir ke paras bahu.
Tangan kiri seperti sedang menggenggam sesuatu dan yang menakutkan, tapak tangannya itu ada luka besar. Dan pada luka besar itu pula dihurung ulat. Ulat-ulat putih itu merayap memakan daging di luka tersebut. Sementara itu, ibu jari dan jari telunjuk di tangan yang kanan pula sedang memegang cebisan kertas. Kertas putih itu kecil saja dan seperti telah digunting kelilingnya.
"Kertas apa pulak ni?" saya bertanya tanya di dalam hati.
Apabila saya amat-amati cebisan kertas itu, saya terkejut. Ia seperti...! Ah, saya tak percaya! Saya tak mahu bersangka jahat. Mungkin bukan kertas itu!
Saya cuba renggangkan kedua-dua jari itu, tetapi tidak boleh. Ia sudah begitu kuat mencengkam dan melekat. Bagi mendapatkan kepastian dan lebih daripada itu, untuk memudahkan urusan memandi serta mengapan jenazah, saya pun melembutkan jari jemari arwah dengan membaca ayat ayat al-Quran yang berkaitan. Saya ulang-ulangi ayat itu sambil menarik kedua-dua jari yang melekat itu dan  Ya Allah, memang benar, kertas itu..!!
Tanga berlengah, saya buang cebisan kertas itu dan segera memandikan jenazah tersebut. Saya buang ulat-ulat yang menghurungi luka di tapak tangan kanan arwah dan urut perutnya bagi mengeluarkan sisa-sisa najis. Anehnya, tidak ada najis yang keluar.
Saya mula pelik. Kalau tiada najis, kenapa busuk sangat mayat ini?
Saya urut lagi perut jenazah beberapa kali, pun tidak ada sebarang najis atau lendir yang keluar dari rongga rongga di badannya.
Oleh kerana tidak ada jalan lagi, saya minta pembantu saya tolong angkatkan badan arwah hingga seperti dalam keadaan duduk. Apabila diangkat sahaja badannya, maka dengan serta-merta keluarlah daripada mulut jenazah itu bermacam-macam rupa lendir, muntah dan najis.
Ada yang keras, ada yang lembut, bermacam-macam warna keluar. Baunya tidak tertahan lagi. Saya dan pembantu saya terpaksa menahan nafas. Walaupun perut dah memulas, rasa hendak termuntah, kami tahankan juga.
Saya perhatikan anak-anak arwah. Kesian, mereka juga menutup hidung. Yang perempuannya menangis. Memang sedih melihat keadaan anak anak bila mayat bapa mereka begitu. Kalau terjadi pada saya, saya pun akan sedih juga. Tapi persoalannya, kenapa mayat arwah jadi begitu? Persoalan ini terus bermain di fikiran saya.
Saya segera membasuh najis dan lendir yang termuntah dari mulut arwah. Selesai dimandi jenazah itu diletakkan di atas tilam untuk dikapankan.
Namun sekali lagi saya menjadi bingung. Kain kapan yang sudah siap diukur mengikut saiz badan arwah, tiba tiba tidak mencukupi bagi membalut tubuhnya. Balut di kanan, di kiri terkeluar. Dibalut sebelah kiri, sebelah kanan badan terkeluar. Saya mula pening. Hendak dikatakan salah kain, jawapannya tidak, kerana telah diukur sejak awal tadi. Lalu saya gantikan kain kapan itu kepada yang lebih besar saiznya, XXL, dan boleh membungkus dua kali ganda tubuh jenazah ini.
Maha suci Allah, kejadian pertama tetap berulang. Kain terasa seperti mengecil. Jika dibungkus juga, maka jenazah itu akan kelihatan seperti bungkusan nasi lemak berlauk ayam. Bahagian atas tidak boleh bercantum. Oleh kerana tidak ada jalan lagi, saya meminta kedua-dua anak arwah keluar dari bilik tersebut.
Sehelai kain kapan yang baru, kami bentangkan. Kemudian, jenazah diletakkan di atas kain kapan tersebut. Dengan perlahan-lahan, saya dan pembantu saya tadi menggolekkan jenazah itu di atas kain kapan tersebut. Kami lakukannya dengan berhati-hati sehinggalah kain kapan itu membalut seluruh tubuhnya.
Saya tau, kaedah ini tidak sepatutnya dilakukan, tapi hendak buat macam mana lagi sedangkan itulah saja jalan yang berjaya mengapankan jenazah tersebut. Setelah selesai, jenazah diangkat ke dalam surau. Ketika itu waktu Zuhur sudah pun masuk. Entah apa balanya, tengah hari itu selepas lebih setengah jam menunggu, tidak ada seorang pun ahli kariah datang ke surau. Padahal surau tersebut terkenal sebagai surau paling aktif dan jemaahnya sangat ramai.
Setahu saya, jika ada solat jemaah di tengah hari, tidak kurang daripada 50 jemaah akan turut serta. Namun pelik, keadaannya berbeza pada hari ini. seorang pun tidak nampak batang hidung.
Akhirnya saya mengimamkan sendiri solat jenazah tersebut dengan dimakmumkan oleh pembantu saya serta anak arwah. Selesai solat, jenazah dibawa ke dalam van.
Anehnya, apabila menghidupkan kaset bacaan al-Quran di dalam van, radio tidak berbunyi pula. Saya pelik kerana pagi tadi saya pasang radio semasa hendak mengambil jenazah di hospital masih elok. Jadi, saya terpaksalah mengaji sendiri sepanjang jalan untuk disedekahkan kepada arwah. Memang letih, tapi apa boleh buat!
Setelah empat jam perjalanan, sampailah di kampung halaman arwah. Saya memandu ke arah masjid kampung tersebut, namun anak arwah membantah. Katanya, kami perlu terus ke kawasan perkuburan kerana tidak ada sesiapa yang menunggu jenazah bapanya di masjid.
Saya tidak setuju. Kata saya, kita mesti hormat masyarakat setempat yang mungkin ingin menziarahi arwah.
Van sudah sampai di hadapan masjid. Ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 5.00 petang. Saya turun dan melihat ke kawasan masjid. Lengang, tidak ada seorang pun yang menunggu di situ.
Pelik sungguh, tidak pernah saya lihat orang kampung tidak menunggu jenazah. Kalau di bandar mungkin juga, tapi kalau di kampung, susah untuk saya terima.
Oleh kerana tidak ada penduduk kampung yang menunggu di masjid itu, kami terus ke kawasan perkuburan. seperti di masjid, kawasan kubur juga lengang. Tidak ada orang kampung menunggu di sana.
Dengan bantuan anak arwah yang lelaki dan pembantu saya tadi, jenazah itu pun dibawa masuk ke dalam kubur yang telah siap digali oleh penduduk kampung tersebut.
Maha suci Allah, sekali lagi saya mengurut dada kerana apabila jenazah hendak dimasukkan ke dalam liang lahad, berlaku satu lagi masalah. Kepala jenazah tersangkut dan tidak dapat dimasukkan.
Tentu pembaca rasa apa yang saya ceritakan ini macam drama swasta. Tidak logik. Mayat berbau, tak boleh dikapan, sekarang tak boleh dimasukkan ke dalam lahad pula. Saya tahu, memang anda akan berkata cerita ini seperti dibuat-buat.Tetapi ingin saya tegaskan di sini, dengan nama Allah, saya tidak mereka reka cerita. Mayat arwah memang tidak dapat dimasukkan ke dalam liang lahad walaupun ketinggiannya sudah diukur beberapa kali.
Yang saya sedih, selepas tiga kali mayat diturunkan, lahad dibesar dan dipanjangkan tetapi tetap tidak dapat memuatkannya. Ketika ini berlaku lagi sesuatu yang amat menyayat hati.
Saya lihat anak lelaki arwah turun ke dalam kubur dan sewaktu saya berpaling ke arah lain, tiba-tiba kedengaran bunyi PRAPP! PRAPP! seperti dahan patah.
Saya segera melihat ke dalam kubur. Alangkah terkejutnya saya apabila melihat anak arwah sedang menekan kuat kepala bapanya untuk dipaksa masuk ke liang lahad.
Saya mengurut dada. Darah saya berderau. Mungkin tengkuk jenazah patah akibat dipaksa dan ditekan kuat oleh anaknya supaya masuk ke liang lahad.
Kami segera kambus kubur tersebut dan saya berdoa memohon Allah mengampunkan dosa-dosa arwah. Walaupun saya tidak tahu masalah yang sebenar, namun saya tetap mengharapkan arwah akan dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang mendapat pengampunan-Nya.
Selesai talkin dan semua urusan lain, saya segera keluar dari kawasan perkuburan itu untuk pulang ke Kuala Lumpur. Hari sudah lewat petang, saya perlu balik cepat. Bagaimanapun, sebelum balik, saya singgah sebentar di pekan sari kampung tersebut untuk membeli sedikit makanan sebagai bekal perjalanan kami.
Sudah ditakdir Allah, baru beberapa langkah turun dari van, datang seorang lelaki tua kepada saya. Orang tua itu bertanya, jenazah siapa yang saya bawa. Mungkin orang tua itu pelik melihat van jenazah yang beralamat Kuala Lumpur memasuki kampung tersebut.
Saya beritahulah, saya bawa jenazah polan bin polan. Mendengar sahaja nama tersebut, orang tua itu terkejut.
"Aik, mati dah orang tua tu? Isy, isy, isy," dia menggelengkan kepala.
Lalu saya segera menanyakan kepada orang tua itu, apakah masalah yang sebenar. Saya pun hendak tahu sebab sejak tadi lagi banyak persoalan bermain di fikiran saya.
"Macam ni..." kata orang tua itu sambil menarik tangan saya ke suatu tempat yang tidak ramai orang.
"Nak cerita memang tak sedap, tapi untuk pengetahuan ustaz, arwah itu Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) di kampung kami," beritahu orang tua tersebut.
Bagaimanapun, sambung orang tua itu, arwah tidak disukai penduduk kampung. Ini kerana tabiatnya yang menjadikan rumahnya sebagai tempat berjudi dan meminum arak semenjak kematian isterinya.
Setiap malam, rumah arwah akan penuh dengan golongan veteran sepertinya, untuk bermain judi. Malah, mereka juga kerap membawa masuk 'betina' ke rumah tersebut.
Ramai yang menegur perbuatan arwah menjadikan rumahnya sebagai sarang maksiat, namun masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Yang beri nasihat itu yang kena marah semula.
Menurut orang tua itu lagi, dia mengetahui arwah koma tiga hari yang lalu. Tetapi yang mengejutkan ialah, arwah koma semasa sedang asyik berjudi!
"Saya tak bohong, saya tengok dengan mata kepala saya sendiri bagaimana ketika koma, tangan arwah masih lagi pegang botol arak dan sebelah lagi, pegang daun terup," terang orang tua itu.
Pegang botol arak? Pegang daun terup? Ya Allah... saya rasa saya sudah mendapat jawapan kepada beberapa persoalan yang sejak tadi bermain di fikiran saya!
Orang tua itu menyambung ceritanya dengan memberitahu, khabarnya arwah jadi begitu akibat serangan jantung. Kaki dan tangannya menjadi kejang sehingga botol arak itu melekat di tangan manakala daun terup melekat di celah jari. Kawan-kawan arwah cuba menarik botol dan daun terup itu, tapi tidak boleh.
Orang tua itu menambah, arwah juga selalu bergaduh dengan orang masjid kerana tidak senang dengan bunyi azan dan kuliah agama yang dikumandangkan oleh pembesar suara. Dia minta pihak masjid tutup 'speaker' luar kerana mengganggunya.
"Mungkin dia tak mau dengar kuliah yang menceritakan tentang judi haram, arak haram dan main betina pun haram. Maklumlah, kena atas batang hidung dia. Tambahan pula dia pengerusi JKKK yang berkuasa dalam kampung ini," terang orang tua itu.
Apabila permintaannya itu tidak diendahkan, arwah telah memanjat bumbung masjid di tengah malam dan memotong wayar pembesar suara. Tidak cukup setakat itu, arwah juga selalu membuka pintu pagar masjid di waktu malam supaya lembu dan kambing masuk menajisi rumah Allah itu!
Saya geleng kepala dengar cerita tersebut. Saya betul-betul tak sangka ada orang Islam yang berperangai keji seperti itu.
"Ustaz," sambung orang tua tersebut, "perkara yang paling orang tak dapat terima apabila dia telah bertindak mencuri tabung masjid yang dibuat khas bagi membeli tirai masjid. Kami tak tau apa dia buat dengan duit tu, tapi tak mustahil untuk dibuat berjudi dan beli arak!"
Setelah bertemu dengan orang tua itu, saya pulang ke Kuala Lumpur. Dalam perjalanan, pembantu saya menceritakan satu lagi perkara mengejutkan. Katanya, bunyi PRAPP! seperti dahan patah semasa di kubur tadi adalah akibat anak arwah tekan kepala bapanya dengan kaki! Lepas pijak sampai leher arwah bunyi berderap dan jenazah dapat dimasukkan ke dalam lahad, baru anak arwah itu gunakan tangan!
Sampai di rumah, saya segera hubungi anak lelaki arwah bagi menanyakan hal bapanya. Saya kena tanya sebab saya tak mahu dengar sebelah pihak. Paling saya takut, adalah fitnah.
Sambil menangis, anak arwah itu memberitahu saya, dia tak tahu kegiatan bapanya, sebab dia adik-beradik tinggal di Kuala Lumpur. Yang anak arwah itu tahu, apabila koma, arwah dibawa ke hospital di Kuala Lumpur dalam keadaan tangannya memegang botol arak dan daun terup. Yang itu dia tak nafikan.
Kata anak arwah lagi, mereka sudah berusaha untuk membuang botol arak tersebut, namun gagal. Daripada koma,sampailah bapa mereka meninggal dunia, begitulah keadaannya. Botol dan daun terup itu sudah melekat di tangan arwah.
Akhirnya anak arwah meminta bantuan pihak hospital membuangnya.Usaha itu berjaya, tetapi dengan cara yang amat menyakitkan iaitu menyiat kulit tapak tangan arwah! Menurut anak arwah lagi, hanya dia, doktor dan seorang pegawai bilik mayat sahaja yang melihat kejadian itu.
Saya tahu, mungkin ada di antara pembaca yang menganggap kisah ini tidak logik. Macam reka-reka cerita.Tapi ingin saya tegaskan, inilah kekuasaan Allah. Apabila Dia ingin tunjukkan sesuatu, tiada apa yang boleh menghalang.
Saya ceritakan ini bukan untuk mengaibkan arwah, tapi untuk dijadikan pengajaran oleh sekalian pembaca.
Sempena Hari Bapa ini, saya harap pembaca yang bergelar bapa, ambillah kisah ini sebagai teladan. Allah amanahkan bapa untuk menjaga keluarga, didik isteri dan anak-anak menjadi hamba Allah yang bertakwa.
Kalau diabaikan tanggungjawab itu,tidak mustahil peristiwa yang saya ceritakan tadi akan berulang lagi. Akhirnya,yang malu adalah anak-anak...
*********
Nota:
Selepas temubual ini, Ustaz Amer memberikan nombor telefon kakitangan bilik mayat hospital berkenaan bagi membolehkan kami mendapat pengesahan ceritanya. Apabila dihubungi,kakitangan tersebut mengakui memang kejadian lelaki koma dalam keadaan memegang botol arak itu dilihatnya sendiri. Ceritanya juga sama dengan apa yang diceritakan oleh Ustaz Amer.
Sumber:

Mastika Jun 2008

No comments: