MELANGKAH saja masuk ke Taman Herba Tasik Kenyir, hati terasa tenang melihat pokok menghijau dan kicauan burung yang merdu menyambut kedatangan.
Terletak di Pulau Sah Kecil, salah satu daripada 340 pulau di tasik itu, pengunjung yang datang pasti akan terpegun melihat kepelbagaian tumbuhan herba yang mempunyai nilai perubatan ada di situ.
Hutan hujan tropika berhampiran garisan khatulistiwa, kaya dengan pelbagai spesies tumbuhan.
Justeru, lebih 12,500 spesies tumbuhan berbunga ditemui dan lebih 1,200 spesies direkodkan ada nilai perubatan yang penting di negara ini. Di samping itu, penggunaan tumbuhan sebagai bahan perubatan tradisional sememangnya sudah lama diamalkan masyarakat Melayu, Cina, India dan Orang Asli di negara ini untuk mengubati pelbagai penyakit. Gabungan amalan penggunaan tumbuhan ubatan mereka melahirkan satu bentuk ubatan herba tradisional Malaysia yang unik.
Justeru, dengan keluasan 15.84 hektar, Taman Herba Tasik Kenyir yang mula dibangunkan sejak 1995 kini mempunyai kira-kira 26,000 pokok herba meliputi 230 jenis pokok.
Antara pokok herba yang ditanam di situ termasuk pecahan herba seperti Tongkat Ali Haji Samat, Tongkat Ali Baginda dan tongkat ali biasa.
Selain itu, taman ini juga mempunyai beberapa herba yang jarang ditemui di tempat lain seperti pokok jerangau, tongkat ali itam, mas cotek, sekentut, ganda rusa dan raja berangkat.
Tumbuhan makan ulaman dan perasa masakan (antioksidan), rawatan antiradang, antimikrob, darah tinggi, kencing manis, khusus untuk lelaki dan perempuan, tumbuhan beraroma serta yang tidak pernah kita terfikir juga ada di taman itu.
Oleh itu, hanya 15 minit menaiki bot laju dari Pangkalan Gawi atau sejauh tujuh kilometer (km), kunjungan anda ke situ pastinya tidak sia-sia.
Apa yang menarik, selain melihat kepelbagaian tumbuhan herba di sini, pengunjung berpeluang menikmati minuman tongkat ali dan kacip fatimah atau mas cotek yang di masak di sini khusus untuk dinikmati.
Taman herba itu juga bakal mempunyai tarikan batu iaitu sebuah spa yang pastinya akan menggamit pengunjung untuk singgah ke taman itu.
Bukan itu saja, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) berhasrat membangunkan pusat rawatan perubatan tradisional seperti aroma terapi, mandian herba dan perubatan berasaskan herba.
>INFO
> Malaysia dianggarkan mempunyai lebih 12,500 spesies tumbuhan berbunga dan lebih 1,200 spesies direkodkan ada nilai perubatan yang penting
> Taman Herba Tasik Kenyir mempunyai 26,000 pokok herba
> Hanya 15 minit iaitu tujuh km menaiki bot laju dari Pangkalan Gawi
> Taman Herba itu mempunyai keluasan 15.84 hektar
No comments:
Post a Comment