Assalammualaikum!
Sesungguhnya, Allah maha merancang. Tapi, seringkali kita terlewat
mengetahui hikmahnya.
Sesungguhnya ALLAH lebih Maha Berkuasa dari segala makhluk yang ada di
alam nyata dan alam ghaib. Hanya kepada ALLAH kita memohon bantuan dan
berserah.
Di bawah ini, dilampirkan 2 buah artikel dari akhbar yang dirasakan
agak pelik dan boleh dijadikan ikhtibar.
Kebakaran aneh.
Harian Metro 3 Okt 2010
SABAK BERNAM: Lapan bulan sepanjang tahun ini menjadi tempoh paling
kritikal dan menyeksakan buat sebuah keluarga di Sungai Besar, di
sini, selepas saban hari berdepan kejadian aneh yang membawa kepada
kesudahan memilukan apabila rumah dan dua kereta mereka terbakar.
Mangsa, Abas Awang, 49, berkata kejadian aneh yang berlaku di rumahnya
di Parit 6 Timur, di sini, sejak Februari lalu menyebabkan kehidupan
isteri dan seorang anak gadisnya tidak tenteram.
“Pada mulanya, lampu rumah padam sendiri, barang di rumah seperti
pakaian dan peralatan dapur termasuk pisau bertaburan, malah sesekali
berterbangan.
“Selepas itu, penggera kereta dan hon berbunyi sendiri, malah ada
ketikanya enjin kereta hidup sendiri walaupun kunci ada di tangan
saya.
“Selang beberapa bulan, berlaku pula kebakaran kecil pada pakaian dan
dinding rumah, hinggalah kemuncaknya pada awal Ramadan lalu, rumah
saya hangus terbakar, selain sebuah motosikal dan kereta.
“Bagaimanapun, kereta itu hanya terkena tempias kebakaran dan masih
boleh digunakan selepas diperbaiki, ” katanya kepada Metro Ahad ketika
ditemui baru-baru ini.
Kebakaran itu membuatkan Abas dan keluarganya berpindah sementara ke
rumah mentua, tetapi kejadian aneh seperti di rumahnya tetap berlaku.
“Seminggu selepas menetap sementara waktu di rumah mentua, berlaku
kebakaran kecil di dalam bilik dan selepas memadam kebakaran itu dan
memastikan keadaan selamat, kami sekeluarga keluar rumah untuk mencari
pengamal perubatan bagi membantu mengatasi masalah itu.
“Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, penduduk memberitahu, rumah
mentua saya hangus terbakar. Saya dan keluarga menetap sementara waktu
di balai raya pula, tetapi kejadian aneh tetap berlaku,” katanya yang
turut membuat catatan mengenai kejadian aneh itu di buku nota.
Menurut Abas, ketika menetap di balai raya, berlaku juga kebakaran
kecil di bahagian tertentu, menyebabkan dia mengambil keputusan
‘menginap’ di khemah di luar dewan.
“Saya sekeluarga rela tinggal di khemah kerana bimbang balai raya pula
yang terbakar. Alhamdulillah, balai raya itu tidak menerima nasib sama
seperti rumah saya dan mentua.
“Namun, kejadian aneh sekali lagi berlaku apabila dalam tempoh dua
minggu sebelum Aidilfitri, sebuah lagi kereta yang dibawa isteri ke
sekolah terbakar dengan sendirinya. Mujur kebakaran sempat dikawal dan
kereta itu yang terbakar di bahagian kusyen belakang masih boleh
digunakan selepas diperbaiki dengan kos kira-kira RM2,000,” katanya.
Akibat kejadian aneh itu, Abas dan keluarganya menjadikan khemah di
luar balai raya berkenaan sebagai kediaman, termasuk ketika menyambut
Aidilfitri, sebelum rumahnya yang diperbaiki boleh diduduki semula
pada Aidilfitri keenam.
“Kebakaran kecil tetap berlaku, tetapi paling mengejutkan saya, kereta
yang terbakar di sekolah dulu, terbakar sekali lagi di depan rumah.
Hancur luluh hati saya apabila terpaksa berdepan musibah itu.
“Kereta itu terbakar di bahagian kusyen belakang serta bumbung dan
keadaan kereta sangat teruk kerana dipenuhi asap hitam. Bingung saya
memikirkannya,” katanya.
Pesara tentera itu berkata, sejak kejadian aneh itu berlaku dia
mendapatkan bantuan lebih daripada 10 pengamal perubatan.
“Semuanya tidak berkesan. Ada pengamal perubatan mengakui tidak mampu
menyelesaikan masalah yang saya hadapi dan ada pula yang turut
berdepan kejadian aneh, berlaku kebakaran kecil di bahagian karpet
kereta ketika dalam perjalanan ke rumah saya.
“Kali terakhir saya meminta bantuan seorang ustaz dan setakat beberapa
hari ini tidak berlaku kebakaran, namun gangguan tetap ada. Saya
bimbang meninggalkan rumah dalam keadaan kosong, takut terbakar lagi,”
katanya.
Abas tidak mahu menaruh prasangka kepada sesiapa di atas kejadian aneh
yang berlaku, sebaliknya reda kerana mungkin ada hikmah di sebaliknya.
“Pengamal perubatan mengakui kejadian yang berlaku mungkin berpunca
daripada perbuatan ilmu hitam, tetapi saya hanya berharap kejadian
aneh ini berakhir.
“Saya sudah berusaha mengatasi masalah ini seperti membuat laporan
polis dan mencuba menggunakan khidmat pengamal perubatan. Selebihnya
saya bertawakal dan berserah kepada Allah SWT,” katanya.
Abas mengucapkan terima kasih kepada penduduk, termasuk anak muda yang
sanggup berkawal di balai raya dan rumahnya.
Abas juga mengalu-alukan kepada sesiapa saja yang sudi membantunya
menyelesaikan ‘misteri’ yang dihadapinya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kebakarananeh/myMA/myArticle/
Angkara jin Ifrit
Harian Metro 3 Okt 2010
SABAK BERNAM: “Ini ujian yang
memerlukan kesabaran dan Allah akan
menaikkan darjat orang yang sabar di akhirat. Ujian itu ada hikmahnya
juga kerana Allah mahu kita semakin rapat dengan-Nya menerusi usaha
mempertingkatkan lagi ibadat kepada-Nya.
Hisham yang juga penduduk setempat turut menyaksikan kejadian
kebakaran secara tiba-tiba yang berlaku kepada kereta Abas ketika
berkunjung ke kediaman Abas pada Aidilfitri keenam.
Menurutnya, ia sememangnya kejadian aneh kerana kereta mangsa terbakar sendiri.
“Ketika berkunjung ke rumah Abas, secara tiba-tiba kereta jenis
Perodua Kelisa itu terbakar. Saya sendiri melihatnya.
“Ketika itu tiada sesiapa berada berdekatan kereta itu. Kebakaran
bermula daripada bahagian kusyen belakang dan api berjaya dipadamkan
sebelum keseluruhan kereta terbakar,” katanya.
Menurut Hisham, berdasarkan pengalamannya, kejadian aneh itu boleh
dikaitkan dengan angkara jin Ifrit kerana jin itu pembawa api.
“Ketika peristiwa Israk dan Mikraj, jin Ifrit mengejar Nabi dengan
membawa api, lalu malaikat Jibril mengajar Nabi ayat Tammah dan
akhirnya api jin terpadam dan jin itu tersungkur.
“Seperkara lagi, jika apa yang berlaku itu adalah angkara manusia,
diharap sesiapa yang terbabit segera bertaubat kerana melakukan sihir
itu dosa besar lagi syirik.
“Dosa syirik menghapuskan semua amalan kebaikan kita, lebih-lebih lagi
doa orang teraniaya tiada hijab,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/AngkarajinIfrit/myMA/myArticle/
No comments:
Post a Comment