KESERONOKAN mandi bersama ikan kelah yang jinak mungkin pengalaman yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
MERIAH...gelagat pengunjung menangkap kelah yang licin dan berlendir memeriahkan suasana.
KENANGAN INDAH...peluang mandi bersama ikan kelah pasti tidak dapat dilupakan.
Itulah yang akan dirasai tatkala berkunjung ke Kelah Santuari Sungai Petang, kira-kira 21 kilometer dari jeti Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, Terengganu.
Bagaimanapun, untuk sampai ke Kelah Santuari itu, pengunjung perlu melalui halangan kecil yang mencabar tetapi menyajikan panorama indah alam semula jadi dengan merentas hutan kira-kira 45 minit.
Demi merebut peluang merasai keseronokan menangkap kelah dengan tangan serta mandi bersamanya, penulis bersama rakan media lain bersedia menyahut cabaran.
Di awal perjalanan, semua bagaikan tidak sabar dan cukup bersemangat merentas hutan untuk sampai ke lubuk Kejor yang dihuni oleh ratusan ribu ikan kelah spesies hijau dan merah.
Namun, selepas 20 minit berjalan, keriuhan gelak tawa dek gurauan rakan-rakan di awal perjalanan sudah tidak kedengaran.
Tetapi, selepas melihat ratusan ribu ikan kelah berebut makanan, keriuhan mula kedengaran kembali sekali gus menghilangkan keletihan yang dirasai.
Keseronokan mula dirasai apabila seorang demi seorang turun ke permukaan air dan cuba menangkap ikan kelah dengan menggunakan tangan.
Menariknya, pengunjung juga berpeluang mandi serta berenang bersama ikan kelah yang cukup jinak.
Penguat Kuasa Tasik Kenyir, Razali Saad, berkata dulu, ikan Kelah di lubuk itu tidak banyak dan agak liar.
Katanya, bagi memastikan ia sentiasa di lubuk itu dan membiak serta jinak, pihaknya terpaksa datang ke lubuk itu dan memberi makan kepada ikan-ikan itu.
“Kini, semua itu tidak perlu lagi kerana ikan-ikan di sini mempunyai sumber makanan sendiri, antaranya pokok neram, buah semareh dan pokok ara yang tumbuh di sepanjang sungai ini selain makanan daripada pengunjung,” katanya.
Melihat saiz ikan kelah yang ditangkap rakan,
Razali berkata ikan kelah paling besar pernah dijumpai di Tasik Kenyir seberat 15 kilogram (kg),” katanya.
Sepanjang trek memasuki Kelah Santuari ini, pengunjung berpeluang menikmati keindahan alam semula jadi selain ketenangan air sungai yang mengalir.
Bukan itu saja, pengunjung juga berpeluang mengenal pelbagai jenis pokok yang mungkin tidak pernah dilihat seperti pokok penaga, kempas, medang dan rengas.
Selain itu, untuk memudahkan pengunjung ke Kelah Santuari itu, mereka perlu mengikut laluan yang ditandakan berwarna merah dan kuning untuk keluar.
Ia juga bagi mengelak pengunjung sesat.
Bagi menjaga kebersihan, kehijauan dan ikan kelah di santuari itu, pengunjung dilarang merokok dan membuang bekas minuman atau makanan.
“Selain itu, anda dilarang memasukkan jari ke mulut ikan kelah bagi mengelak kematian.
“Mandi atau membasuh tangan menggunakan sabun juga dilarang di sini,” katanya.
Dengan berkeluasan 4,464 hektar dan diwartakan sebagai zon perlindungan untuk perlindungan, pengawetan dan pengeluaran ikan air tawar di Tasik Kenyir, aktiviti memancing tidak dibenarkan.
Selain berpeluang merasai keseronokan main bersama atau mandi bersama ikan kelah, pengunjung juga berpeluang menikmati keindahan alam semula jadi dengan flora dan faunanya yang cukup mengagumkan.
Sudah pasti fikiran yang serabut dan runsing akan menjadi tenang setenang air yang mengalir tatkala berada di Kelah Santuari itu.
No comments:
Post a Comment