Total Pageviews

Ramai Yang Meminati: Anda bagaimana pula?

Pages

Kenalilah dunia ciptaan sahabat-sahabatku:

Salam segunung rindu untuk kekasih di hujung talian:

Kasih manusia sering bermusim, madah helahnya tiada bertepi;
Dengan harapan kubina impian,
kau sentuh runtuh tinggal kenangan.
Biarpun hatiku retak seribu,
kau tetap kukunci di dalam hatiku.

Love me but, leave me not,
Kiss me but, miss me not,
Hit me but, hate me not,
Remember me but, forget me not.

Teman!
Di taman ini aku menantimu bersama segunung rindu yang sarat. entahkan bila ketemu penawarnya. Aku kehilangan, yang tinggal hanyalah kerinduan.
Di sini, akumengukir syair di atas air, meniti buih mengejar pelangi. Beralaskan mimpi syahdu kelmarin, kini menjadi igauan siangku. rindu ini di manakah noktahnya? Cinta ini bilakah ajalnya?
Ketahuilah sesungguhnya secebis kasih membuat kita sayang. seucap janji membuat kita percaya. sekecil luka akan membuat kita kecewa. tetapi, sebuah persahabatan akan selamanya bermakna."
rinduku padamu tak bisa pudar, kasihku padamu belum tercemar.

Apakah yang anda cari?

Sunday, March 21, 2010

Mah Hassan Omar, Presiden SBM, Tokoh OKU Lelaki 2004

Mah Hassan Omar, Presiden SBM, Tokoh OKU Lelaki 2004
Oleh Mohd Fekkeri Bin Mat Jusoh

Dipetik dari: Majalah SBM: Januari-April 2006

Presiden SBM, Mah Hassan Omar telah terpilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Orang Kurang Upaya (OKU) Lelaki Peringkat Kebangsaan 2004. Anugerah telah disampaikan oleh YB. Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga pada 4 Dis 2004.
Mah Hassan dilahirkan pada 19 Jun 1961 di Besut, Terengganu. Telah berkeluarga dan mempunyai lima orang anak. Semasa dilahirkan, Mah Hassan adalah seorang kanak-kanak yang normal. Namun takdir telah menentukan, pada usia lima tahun, beliau telah menghidap demam panas yang membawa kepada hilangnya daya penglihatan. Namun, kekurangan daya penglihatan yang dihadapi bukan penyebab untuk beliau menyisihkan diri untuk mengejar kemajuan.
Atas kesedaran dan semangat tinggi ibu bapa, beliau telah dihantar untuk mendapatkan pendidikan awal di Princess Elizabeth School for the Blind Johor Bahru. Pendidikan menengah diperoleh di S.M.J.K. Jalan Temerloh, Kuala Lumpur dan Sekolah Menengah St. John, Bukit Nanas, Kuala Lumpur yang menjalankan sistem pendidikan integrasi di mana beliau belajar dalam kelas yang sama dengan murid-murid normal.
Pada tahun 1982, beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya dalam bidang Undang-undang dan berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda dengan kepujian.

Pada tahun 1991 pula, beliau telah memperoleh Ijazah Sarjana Undang-undang dari Universisi Southampton, England. Seyogia diperhatikan bahawa sebagai pelajar cacat penglihatan yang pertama mengikuti pengajian ijazah undang-undang di Malaysia, beliau telah merintis jalan bagi kejayaan golongan cacat penglihatan yang lain dalam kerjaya yang sama.

Selain akademik, kecemerlangan dan sumbangan beliau boleh juga dilihat dalam beberapa bidang lain termasuk profesionnya sebagai peguam, kepimpinan, penasihat, fasilitator, sukan dan beberapa bidang yang lain.

Profesion Guaman:

Pada tahun 1988, beliau telah menerima pentauliahan Mahkamah Tinggi Malaysia sebagai peguam bela & peguam cara. Malaysia Book Of Records telah memberi pengiktirafan dengan memasukkan catatan rasmi beliau sebagai peguam cacat penglihatan yang pertama di negara ini. Atas pencapaian yang sama, beliau telah dianugerahkan dengan “The Guinness National Best Effort Award” seiring dengan tokoh-tokoh tanahair yang lain.

Kerjaya guaman beliau bermula di Syarikat Ranjit Thomas & Kula, Kuala Lumpur, selama dua tahun. Beliau kemudiannya berkhidmat dengan Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) selama dua belas tahun dengan jawatan terakhir sebagai pegawai penasihat undang-undang BSKL. Pada bulan Ogos yang lepas, beliau telah memulakan babak baru dalam kerjayanya dengan menubuhkan syarikat guamannya sendiri di Kuala Lumpur.

Kepimpinan Persatuan:

Seyogia diperhatikan bahawa bakat kepimpinan beliau telah terserlah sejak di bangku sekolah rendah lagi apabila semasa dalam darjah enam, beliau telah dianugerahkan dengan pingat “the best boy” Sekolah Princess Elizabeth Johor Bahru. Dalam kesibukan kerjayanya, beliau masih dapat meluangkan masa untuk kerja-kerja sukarela memimpin persatuan-persatuan orang cacat penglihatan. Semenjak tahun 1993 beliau telah menganggotai majlis kepimpinan tertinggi Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) yang mana diikuti dengan pelantikan beliau sebagai Presiden pertubuhan tersebut sehingga sekarang. Pencapaian besar hasil kepimpinan beliau termasuklah usaha mewujudkan Skim Pinjaman Modal Perniagaan. Hasilnya lebih 100 orang cacat penglihatan telah dibantu menjayakan perusahaan masing-masing.
Sementara penganjuran Seminar Urut Refleksologi Peringkat Antarabangsa di Kuala Lumpur pada tahun 2001 telah menjadi pemangkin kepada bercambahnya klinik-klinik urut yang diusahakan oleh golongan cacat penglihatan di seluruh negara.

Dari tahun 1989 hingga 2002 pula beliau telah memimpin Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia dan salah satu pencapaian penting ialah bila buat julung kalinya diterbitkan Al-Qur’an dalam tulisan Arab Braille secara berkomputer.

Anggota Majlis Penasihat Dan Perundingan OKU:

Pembentukan Majlis Penasihat dan Perundingan Kebangsaan Orang Kurang Upaya pada tahun 1998 telah menyaksikan beliau serta beberapa individu cacat lain telah dilantik sebagai anggota majlis selaras dengan pendekatan bahawa OKU perlu diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam membuat keputusan berkaitan perkara-perkara yang bersangkutan dengan mereka. Majlis seterusnya telah melantik beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Teknikal Perundangan yang bertanggungjawab menggubal draf Akta Orang Kurang Upaya negara.

Fasilitator Seminar:

Sumbangan idea serta buah fikiran beliau khususnya dalam usaha mempromosi isu-isu berkaitan hal-ehwal OKU yang diutarakan melalui peranan luas beliau sebagai penceramah dan pembentang kertas kerja di seminar-seminar tertentu adalah amat besar nilainya. Terlalu panjang untuk disenaraikan kesemuanya di sini. Yang paling terkini ialah pada 7 – 10 Oktober 2004 apabila beliau telah diundang untuk mengendalikan siri Kursus Kepimpinan Khas bagi faedah warga cacat penglihatan dan agensi-agensi yang terlibat dalam menyediakan perkhidmatan kepada golongan tersebut di negara Brunai.

Sukan:

Sentuhan beliau dalam memajukan sukan OKU, khususnya permainan catur, tidak kurang juga pentingnya. Beliau pernah merangkul juara kebangsaan acara pingpong bagi kategori cacat penglihatan pada tahun 1979 dan beberapa kali kemudiannya dalam acara catur kategori cacat penglihatan dan juga OKU. Pada bulan Disember 2003, beliau telah berkongsi tempat kedua dalam Kejohanan Catur Asia, Orang Cacat Penglihatan yang telah diadakan di Mumbai India.

Berasaskan pencapaian serta sumbangan cemerlang beliau seperti di atas, maka sememangnya telah kena pada tempatnya beliau dianugerahkan sebagai tokoh orang kurang upaya (lelaki) bagi tahun 2004.

No comments: