DI TENGAH permukaan Tasik Baikal yang mengeras ketika musim sejuk dan angin dingin membeku bertiup dari Siberia, seorang seniman, Jim Denevan, dibantu pasukannya melakar kerja seni di atas permukaan seluas 20 kilometer persegi.
Saiz itu — jika ditukarkan kepada padang bola sepak — menyamai 4,469 Stadium Wembley di London.
Tasik Baikal mengandungi sehingga 20 peratus daripada air tawar dunia dan terletak di kawasan terpencil Siberia.
Diupah oleh firma pakaian mewah Anthropologie, lakaran itu dihasilkan sebagai satu daripada siri The Anthropologie yang digunakan sebagai promosi untuk produk mereka.
Denevan, 49, menghabiskan masa 15 hari di atas permukaan tasik itu untuk menyiapkan karya seni berkenaan.
Menggunakan ais hitam di bawah lapisan salji sebagai kanvas, Denevan dan pasukannya terpaksa berkampung di bawah khemah dalam kedinginan bagi menyiapkan tugasan itu.
Lakaran itu pula dihasilkan menggunakan jentera pemecah salji serta penyodok yang membentuk bulatan pelbagai saiz — paling kecil mempunyai ukur lilit 45.7 sentimeter.
Menurut Denevan, dia menggunakan rumusan matematik pakar bidang itu dari Itali, Fibonacci, untuk menghasilkan lebih 1,000 bulatan berasingan.
Untuk permulaan, kata Denevan, dia ‘melukis’ lakaran kasar lukisan itu menggunakan basikal dan kayu sebelum ia diperkemaskan anggota kumpulannya.
“Ini adalah lukisan terbesar di dunia dan memadam rekod saya sebelum ini,” katanya.
Menurut seniman yang menetap di California itu, lukisan terbesar sebelum itu yang pernah dihasilkan dibuat di atas padang pasir Nevada, meliputi kawasan seluas 14.5 kilometer persegi.
Katanya, lukisan di atas Tasik Baikal itu kira-kira 10 peratus lebih besar berbanding rekod sebelumnya.
“Bagaimanapun, ia dicipta dengan bentuk berbeza selepas mengambil kira keadaan tebing tasik,” katanya.
Menurut Denevan, bulatan di bahagian kanan mempunyai dimensi sama seperti di Nevada tetapi ia tidaklah dalam bentuk bulat sepenuhnya kerana keadaan geografi tasik itu.
Mengunjungi Khuzhir di Pulau Olkhon yang terletak di tengah Tasik Baikal, Denevan akhirnya berjaya mencipta lukisan itu mengikut keinginannya.
“Awalnya kami mahu ke Ross Ice Shelf di Antartika, tetapi selepas melakukan sedikit penyelidikan, kami sedar bentuk muka bumi di tasik ini mempunyai persamaan dengan permukaan padang pasir yang pernah kami gunakan,” katanya.
Jelas Denevan, biasanya kawasan itu mengalami tekanan rendah berpanjangan, menyebabkan salji tidak turun walaupun suhu berada pada paras lima hingga 10 darjah di bawah takat beku.
“Maknanya, kami boleh menghasilkan lakaran tanpa banyak gangguan daripada salji,” katanya.
Bagaimanapun, sesuai dengan sifatnya yang besar, usaha Denevan tidak selancar seperti dirancangnya.
Jelasnya, dia bermula dengan berbasikal sambil memegang kayu mengelilingi tasik berkenaan.
“Ia membolehkan saya melakar garis kasar menggunakan tayar dan kayu. Hanya selepas hari kelima, tiba-tiba salji turun dengan lebat dan menutup semua lakaran itu.
“Kami terpaksa bekerja keras mencari kesan yang ada bagi memastikan ia tidak tersilap,” katanya.
Akhirnya, selepas bertarung dengan cuaca sejuk mencucuk tulang angin Siberia itu, Denevan dan kumpulannya bertungkus-lumus menyiapkan lukisan itu di antara lapisan salji setebal 1.4 meter.
Menurut Denevan, pada hari kesembilan pula mereka berdepan ribut, menyebabkan sebahagian daripada lapisan atas salji ditiup semula menutup garisan dibuat.
Sesetengahnya, kata Denevan, selebar 2.4 meter. “Ia amat mengecewakan,” katanya.
Selepas bekerja siang malam, lukisan itu akhirnya disempurnakan pada hari ke-15, pada Mac lalu.
“Ini adalah lukisan hebat dan indah walaupun hanya bertahan selama sebulan sebelum ia luput,” katanya.
No comments:
Post a Comment