Saturday, May 21, 2011
Kirsty Bertarelli - Image Impian Wanita.
Dianugerahkan susuk tubuh yang memukau mata lelaki dan ditambah pula keindahan busana pereka fesyen terkemuka, kemunculan Kirsty Bertarelli sememangnya mencuri tumpuan dalam mana-mana majlis keraian.
KIRSTY dikatakan memiliki mata yang cantik dan senyuman yang menawan.
--------------------------------------------------------------------------------
"DIA jauh tersasar daripada jangkaan saya. Amat merendah diri dan mudah bergaul. Dia berdansa di atas meja. Dia lantang dan gemar berseronok," kata seorang tetamu di sebuah parti yang dihadiri Kirsty pada musim panas tahun lalu di selatan Perancis.
Pendek kata, hidup Kirsty Bertarelli dilimpahi keseronokan.
Dilahirkan sebagai Kirsty Roper di bandar kecil Staffordshire, England, gadis pingitan itu baru sahaja dinobatkan wanita terkaya Britain menerusi ikatan perkahwinannya dengan pewaris empayar farmasi Switzerland-Itali, Ernesto Bertarelli.
Dalam senarai wanita terkaya Britain pada tahun ini, dia berada di kedudukan teratas dan tersendiri sekali gus memintas Ratu Elizabeth II, J.K. Rowling dan Slavica Ecclestone.
Masakan tidak, kerana aset bersama Kirsty dan suaminya dianggarkan mencecah £6.87 bilion (RM33 bilion).
Ratu cantik
KIRSTY berjinak-jinak dengan dunia ratu cantik semasa berusia 17 tahun.
--------------------------------------------------------------------------------
Dengan rambut perangnya, bibir mongel dan paras rupa menawan, tidak sukar untuk meneka mengapa Ernesto boleh tertawan pada wanita itu kali pertama mereka bertemu.
"Mudah sahaja, Kirsty ada rupa, Ernesto pula miliki wang. Wanita itu juga membuatkan hidupnya seronok," kata seorang rakan pasangan tersebut.
Kepada keluarga hartawan Bertarelli yang berpindah dari Itali ke Switzerland pada tahun 1970-an susulan ugutan culik oleh kumpulan militan Briged Merah, Kirsty tak ubah seperti jelitawan eksotik apabila mereka pertama kali melihatnya dalam dakapan Ernesto.
Wanita itu jauh berbeza dengan mana-mana gadis yang dianggap sepadan dengan pewaris kekayaan empayar farmasi tersebut.
Buat permulaan, Kirtsy merupakan bekas ratu cantik Britain dan pemenang tempat ketiga Miss World. Dia juga gemar berpakaian seperti seorang gadis rock kerana itulah dirinya yang sebenar - gadis yang meminati bidang muzik dan memiliki kerjaya kedua sebagai pencipta lagu pop.
Malah, semasa Kirsty pertama kali bersua dengan Ernesto di Sardinia, Itali dia mencipta sebuah lagu cinta untuknya yang berjudul Black Coffee.
Lagu tersebut kemudian muncul sebagai lagu popular kumpulan penyanyi wanita Britain, All Saints.
Jika ramai lelaki berfantasi untuk dibuai cinta seorang bekas ratu cantik, kehadiran Kirsty adalah satu realiti untuk Ernesto.
Pasangan itu berkahwin pada tahun 2000 di Switzerland dalam majlis yang dipenuhi pemandangan menarik Banjaran Alphine disusuli parti untuk 250 tetamu di Geneva.
Menyoroti kehidupan harian mereka seterusnya sebagai pasangan suami isteri boleh menimbulkan perasaan cemburu di sanubari sesiapa sahaja.
Seiringan bersama, dia dan Ernesto akan berseronok dalam parti hujung minggu yang diadakan di atas kapal persiaran mereka, Vava, di perairan Selatan Perancis dan Sardinia.
Jaga penampilan
KEKAYAAN KIRSTY dan Ernesto kini melebihi harta Ratu Elizabeth II.
--------------------------------------------------------------------------------
"Seperti anda jangkakan, terdapat hidangan arak mahal dan tetamu yang hebat," kata seorang rakan yang menghadiri parti tersebut.
Ernesto kemudian akan membenarkannya bersantai bersama rakan-rakan perempuannya di atas kapal berkenaan untuk mengembalikan tenaga selepas penat berparti.
"Mereka membuang toksin, mengawasi berat badan, memakan salad, kacang almond dan menolak satu sama lain ke dalam laut apabila sudah penat," kata seorang rakannya.
Kirsty semenangnya mementingkan penjagaan kejelitaan aslinya dan dia dikatakan amat menyukai jenama Dior, Chanel dan Armani.
Wanita itu merupakan segelintir individu bertuah yang memiliki tubuh menawan, wang dan gaya hidup elegan.
Dia pernah muncul dengan memakai seluar legging berharga £3,000 (RM14,588) sewaktu menyanyi di sebuah konsert persendirian di Switzerland.
Namun, adalah silap untuk menyatakan Kirsty dan Ernesto sebagai pasangan yang gemar hidup berfoya-foya.
Apabila berada di Switzerland, mereka hidup tenang dan cuma muncul untuk majlis amal di samping bermain golf, tenis, berbasikal, bermain ski atau berkhemah bersama keluarga dengan membawa sebuah dapur gas kecil.
Rentak kehidupan pasangan suami isteri itu bertukar apabila pasangan itu berjauhan dari rumah.
Ketika itu, mereka adalah individu sofistikated yang sinonim dengan jet peribadi, kapal persiaran dan tentunya parti.
Kemunculan mereka di luar kawasan tidak lengkap tanpa iringan pasukan pengawal peribadi dan limosin kalis peluru.
Ernesto pernah berkata, sekiranya diberi pilihan, beliau mahu menghabiskan kebanyakan masanya bersama keluarga dan kapal persiarannya dan bukan di pejabat seperti dilakukan bapanya yang meninggal dunia di usia muda.
Namun, realiti adalah berbeza dan gaya hidup mewah yang mereka nikmati turut memiliki cabarannya tersendiri.
Beberapa bulan lalu, Ernesto mengadakan parti hebat sempena hari jadi ke-40 Kirsty dengan kos mencecah AS$3 juta (RM9 juta). Rancangannya adalah untuk menyewa hartanah tepi pantai seluas 2,694 meter persegi di pantai Miami untuk tujuan tersebut.
Bagaimanapun, pasangan itu dimaklumkan oleh pihak berkuasa bahawa memajak keseluruhan tempat awam untuk majlis peribadi tidak dibenarkan di Miami.
Kata Kunci:
Tokoh Dunia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment